Badminton pun rasuah juga?

Gempar dikatakan baru-baru ini apabila Taufik Hidayat, pemenang pingat emas acara perseorangan badminton Olimpik 2004 Athens mendakwa cuba dirasuah oleh pegawai sukan Malaysia sebelum perlawanan separuh akhir Sukan Asia 2006 di Doha berlangsung membabitkan beliau dan Datuk Lee Chong Wei. 

 

Amaun yang ditawarkan adalah sebanyak RM60,000, iaitu dua kali ganda daripada ganjaranyang dijanjikan kerajaan Indonesia jika Taufik Hidayat memenangi kejohanan tersebut. Lebih mengejutkan, Datuk Lee Chong Wei mengenali individu yang dimaksudkan oleh Taufik Hidayat. 

 

Malah, Datuk Lee Chong Wei juga mengakui pernah beberapa kali cuba disogok oleh pihak tidak bertanggungjawab sepanjang karier beliau dalam sukan badminton. 

 

Terdahulu, sukan badminton tanah air pernah dikejutkan dengan insiden mengatur perlawanan oleh dua pemain badminton negara, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang. Akibatnya Zulfadli digantung oleh Persekutuan Badminton Dunia (IBF) daripada terlibat dengan sukan badminton selama 20 tahun manakala Chun Seang pula selama 18 tahun. 

 

Dunia sukan di Malaysia mula terpalit dengan najis rasuah pada tahun 1994. Ketika itu, lebih 100 pemain dan jurulatih bola sepak Liga Malaysia telah ditahan untuk soal siasat. Seramai 84 orang daripada mereka didapati bersalah dan telah digantung daripada menyertai sukan bola sepak seumur hidup.

 

Walau bagaimanapun, pada tahun 2016, 78 orang daripada mereka telah mendapat pengampunan selepas rayuan mereka diterima oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM). Baki rayuan enam orang bekas pemain masih lagi belum diluluskan oleh badan induk tersebut. 

 

Menurut Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, takrifan rasuah dalam sukan termasuk perolehan dana dengan cara yang salah, penyalahgunaan jawatan dalam proses keputusan dan juga pengaturan perlawanan.

 

Ini bermakna rasuah dalam arena sukan bukan berkitar dalam kalangan atlet dan jurulatih sahaja, malah melibatkan pegawai dan jawatankuasa tertinggi persatuan. 

 

Sukan merupakan satu bentuk hiburan kepada masyarakat bagi menghilangkan tekanan terutama ketika wabak pandemik melanda. Maka tidak hairanlah pertandingan sukan peringkat antarabangsa seperti EURO 2020 dan Olimpik Tokyo 2020 diteruskan juga walaupun setelah setahun tertunda. 

 

Skil dan kemahiran atlet yang dipamerkan akan mengujakan penonton seterusnya menjadikan mereka sebagai idola. Perasaan ini hanya lahir jika atlet tersebut beraksi dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan. 

 

Sifat kepura-puraan dan aksi yang tidak semenggah hanya akan merosakkan imej sukan. Masyarakat akan mula hilang percaya pada erti kesukanan sedangkan terdapat banyak nilai murni yang boleh digarap seperti semangat berpasukan dan kesetiaan kepada negara. 

 

Justeru, janganlah kita cemari dunia sukan yang indah ini dengan najis rasuah yang membusuk. Sifat amanah serta kejujuran tinggi yang ditunjukkan oleh Taufik Hidayat dan Datuk Lee Chong Wei adalah contoh yang wajar diteladani oleh semua warga sukan.

 

Semoga dunia sukan kekal bersih daripada najis rasuah yang merosakkan nilai kemanusiaan.

 

Muhannad Jamil
Perunding Takaful
Aktivis IKRAM Negeri Sembilan

[supsystic-social-sharing id='1']

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia