Azam Tahun Baharu 2025: Utamakan Cari Rezeki Halal

Tahun baharu bukan sekadar pertukaran kalendar, tetapi juga peluang untuk bermuhasabah dan menetapkan azam yang membawa perubahan positif dalam kehidupan.

Dalam Islam, azam bukan hanya tertumpu pada matlamat duniawi, tetapi juga kepada usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Salah satu aspek penting yang sering diabaikan ialah memastikan rezeki yang diperoleh adalah halal serta bebas daripada elemen haram dan menyucikan harta untuk memperoleh keberkatan dalam kehidupan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 168 bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada rezeki yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

Seruan dalam ayat tersebut bukan sahaja merujuk kepada pemakanan tetapi semua wasilah atau cara untuk mendapatkan sumber harta sesama manusia. Selain itu, yang turut ditekankan dalam pencarian sumber rezeki yang halal ialah tentang sumber-sumbernya yang baik serta tidak membahayakan tubuh badan dan akal fikiran.

Dalam mengejar matlamat kewangan dan kejayaan, umat Islam harus memahami bahawa rezeki halal adalah tunjang kepada keberkatan hidup. Pendapatan yang diperoleh secara halal memberikan ketenangan jiwa, meningkatkan kesejahteraan keluarga dan menyumbang kepada masyarakat.

Sebaliknya, pendapatan haram membawa kesan buruk yang melampaui aspek material, mencemarkan hubungan dengan Allah SWT dan melemahkan asas moral dalam kehidupan. Artikel ini mengajak pembaca menjadikan tahun 2025 sebagai peluang untuk memastikan sumber pendapatan mereka halal, bersih dan jauh daripada syubhah (keraguan).

Azam baharu dan perancangan kewangan

Umat Islam digalakkan menetapkan azam untuk memperbaiki sumber kewangan mereka. Perancangan kewangan yang rapi adalah kunci untuk memastikan keberkatan rezeki. Beberapa langkah utama yang boleh diambil adalah:

1. Semak sumber pendapatan

Langkah pertama dalam memastikan rezeki halal ialah menyemak kembali sumber pendapatan yang diperoleh melalui pekerjaan, perniagaan atau pelaburan. Umat Islam diwajibkan menjauhi elemen-elemen haram seperti riba, penipuan dan perjudian yang jelas dilarang oleh syariat. Firman Allah SWT (maksudnya):

“Dan janganlah kamu makan harta orang lain dengan jalan yang batil” (Surah al-Baqarah: 188)

Pekerjaan: Pastikan kerjaya yang diceburi tidak melibatkan aktiviti haram atau bercanggah dengan ajaran Islam. Contohnya, pekerjaan yang terlibat dalam industri arak, perjudian atau riba tidak dibenarkan. Pilih pekerjaan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan mematuhi prinsip Islam.

Perniagaan: Dalam menjalankan perniagaan, elakkan melakukan penipuan seperti menipu harga, mengurangkan timbangan atau menjual barangan yang haram. Perniagaan yang berjaya adalah perniagaan yang dijalankan dengan kejujuran dan keberkatan, sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, siddiqin dan syuhada pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Pelaburan: Periksa setiap pelaburan yang dilakukan. Hindari pelaburan yang terlibat dalam unsur haram seperti saham syarikat perjudian, perniagaan arak atau produk kewangan konvensional yang melibatkan riba. Pastikan setiap pelaburan adalah patuh syariah dan disahkan oleh badan berautoriti seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia melalui senarai saham patuh syariah.

2. Bajet berdisiplin

Mengurus kewangan dengan baik adalah salah satu cara memastikan keberkatan rezeki. Bajet yang terancang membolehkan seseorang mengelakkan pembaziran dan memastikan penggunaan harta berada dalam lingkungan keperluan, bukan kehendak. Allah SWT berfirman (maksudnya):

“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan” (Surah al-Isra’: 27)

Di sini, dikongsikan perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian dalam pengurusan bajet yang berdisipilin:

• Utamakan keperluan asas: Pastikan perbelanjaan keluarga meliputi perkara keperluan seperti makanan, pakaian, pendidikan dan kesihatan terlebih dahulu.

• Elakkan hutang yang tidak perlu: Hindari hutang yang melibatkan riba atau yang hanya memenuhi kehendak gaya hidup.

• Gunakan wang secara berhemah: Pelajari teknik pengurusan kewangan seperti membandingkan harga sebelum membeli atau mengutamakan barangan yang tahan lama kerana ia boleh membantu menjimatkan perbelanjaan.

• Amalkan budaya menabung: Simpan sebahagian daripada pendapatan untuk kegunaan masa hadapan atau kecemasan. Tabungan yang dilakukan melalui institusi kewangan Islam seperti akaun simpanan patuh syariah juga membantu memastikan rezeki bersih daripada unsur riba.

 

3. Pelaburan patuh syariah

Pelaburan adalah salah satu cara memperkembang harta, tetapi ia mesti dilakukan dengan mematuhi prinsip syariah. Islam tidak melarang umatnya untuk mencari keuntungan, tetapi cara yang digunakan mesti bebas daripada unsur haram. Antara langkah-langkah yang perlu dipertimbangkan dalam penyertaan sebarang pelaburan ialah:

Produk kewangan Islam: Gunakan perkhidmatan yang disediakan oleh institusi kewangan Islam seperti:

• Saham patuh syariah: Pelaburan dalam syarikat yang disahkan mematuhi syariah oleh badan berautoriti.

• Takaful: Alternatif kepada insurans konvensional yang bebas daripada riba, gharar (ketidakpastian) dan maysir (perjudian).

• Perbankan Islam: Akaun simpanan, pelaburan dan pembiayaan yang berdasarkan prinsip syariah seperti mudarabah (perkongsian keuntungan) dan ijarah (sewaan).

 

Keuntungan yang diberkati: Melabur dalam produk kewangan Islam bukan sahaja memastikan keuntungan tetapi juga memberikan keberkatan kepada harta. Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud:

“Harta yang baik adalah milik orang yang soleh.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Elakkan risiko yang melampau: Pastikan pelaburan tidak melibatkan spekulasi yang berlebihan atau pelaburan yang tidak jelas hasilnya. Islam menggalakkan keseimbangan dalam mencari keuntungan.

Dengan mengikuti langkah-langkah ini, umat Islam bukan sahaja memastikan rezeki mereka halal, tetapi juga mengurus harta secara bijak dan berlandaskan syariah. Perancangan kewangan yang baik menjamin kesejahteraan hidup dunia dan akhirat, menjadikan rezeki lebih bermakna dan diberkati oleh Allah SWT.

Larangan mengambil sumber pendapatan haram dan galakan menghindari syubhah

Islam melarang keras segala bentuk pendapatan haram seperti riba, rasuah, penipuan dan judi. Firman Allah SWT bermaksud:

“Dan janganlah kamu makan harta orang lain dengan jalan yang batil.” (Surah al-Baqarah: 188)

Pendapatan haram bukan sahaja menghapuskan keberkatan, malah boleh menjadi punca kehancuran moral dan sosial. Selain itu, umat Islam juga digalakkan menghindari perkara syubhah, iaitu sesuatu yang diragui status halalnya. Nabi Muhammad SAW bersabda (maksudnya):

“Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Antara keduanya terdapat perkara-perkara syubhah yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Bagi mengenal pasti status harta sama ada berada dalam keadaan yang halal, haram atau syubhah, berikut dikongsikan kategori harta yang perlu diberikan perhatian:

a. Harta yang bercampur dan kebanyakannya haram

Apabila sesuatu harta bercampur antara unsur halal dan haram, dan unsur haramnya lebih dominan, maka harta tersebut dianggap haram. Imam Ahmad berpendapat bahawa harta sebegini perlu dijauhi kerana sifat haramnya mengatasi halal.

b. Harta yang bercampur tetapi kebanyakannya halal

Sekiranya unsur halal lebih banyak, harta tersebut dianggap harus digunakan. Sebagai contoh, sebuah hadis daripada al-Harith dan Ali bin Abi Talib menyebut bahawa Rasulullah SAW pernah diberi makanan oleh ahli kitab (Musyrik). Nabi SAW tetap memakan makanan tersebut, walaupun ia tidak sepenuhnya bebas daripada unsur haram, kerana majoritinya halal.

c. Sukar membezakan antara halal dan haram

Jika sukar membezakan antara kadar unsur halal dan haram dalam sesuatu harta, ia dianggap syubhah (meragukan). Oleh itu, adalah lebih baik untuk meninggalkan harta tersebut demi menjaga kebersihan harta. Pendapat ini juga disokong oleh ulama seperti Sufyan ath-Thauri dan Imam Ahmad.

 

Kaedah penyucian harta menurut perspektif syariah

Berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87 Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (23-25 Jun 2009), wang atau harta yang diperoleh secara tidak halal seperti riba, gharar, perjudian, rompakan atau penipuan perlu disalurkan mengikut kaedah berikut:

1. Diserahkan kepada golongan fakir miskin

Harta tersebut boleh disalurkan kepada mereka yang memerlukan seperti fakir miskin tanpa niat mendapatkan pahala kerana ia bertujuan membersihkan harta.

2. Digunakan untuk maslahah umum

Sebahagian harta yang tidak diketahui pemilik asalnya hendaklah digunakan untuk tujuan pembangunan masyarakat seperti pembinaan jalan, jambatan, masjid dan infrastruktur lain.

Jika harta tersebut adalah hasil rompakan, pencurian atau penipuan yang jelas pemiliknya, maka harta itu perlu dikembalikan kepada pemilik asal. Jika pemilik tidak dapat ditemui atau dikenal pasti, ia hendaklah diserahkan kepada Baitulmal untuk diuruskan demi manfaat umat Islam.

Pendekatan ini selaras dengan prinsip Islam untuk memastikan harta yang bercampur dengan elemen haram dapat disucikan dan dimanfaatkan secara kolektif.

Tahun baharu 2025 adalah masa terbaik untuk memperbaiki diri dan menjadikan usaha mencari rezeki halal sebagai keutamaan.

Dengan memastikan sumber pendapatan bersih daripada unsur haram dan syubhah, umat Islam dapat mencapai keberkatan hidup, membina keluarga yang sejahtera dan menyumbang kepada masyarakat.

Ingatlah, rezeki yang halal bukan sahaja mencukupi keperluan dunia, tetapi juga menjadi bekalan amalan di akhirat kelak.

“Mari jadikan azam tahun baharu ini sebagai permulaan untuk membina kehidupan yang lebih bermakna, diberkati dan diredai Allah SWT.”

Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman

Koordinator MIBF dan Program Eksekutif

Arshad Ayub Graduate Business School, UiTM Shah Alam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia