SERI KEMBANGAN – Kakitangan Jabatan Pendidikan Masyarakat di Ibu Pejabat Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Atriza Umar, telah dianugerahkan Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) kerajaan Negeri Sembilan.
Pengurniaan ini berlangsung pada sesi kedua istiadat penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat kerajaan Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan ke-77 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Majlis penuh adat istiadat tersebut diadakan di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti pada Isnin, 20 Januari lalu.
Pingat PMC merupakan pengiktirafan terhadap individu yang memberikan khidmat bakti luar biasa kepada masyarakat. Atriza menyatakan penghargaannya dipilih untuk menerima anugerah tersebut.
“PMC bukan sekadar perhiasan di dada. Ia merupakan simbol pengorbanan, dedikasi dan khidmat bakti yang telah dicurahkan. Para penerima membuktikan bahawa kejayaan sejati bukan diukur dengan kekayaan material, tetapi dengan impak positif kepada kehidupan orang lain,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, “Sebagaimana kata yang sering diungkapkan, ‘Jadilah manusia yang memanusiakan manusia.’ Penganugerahan ini sangat bermakna untuk saya terus memberikan manfaat dan menjadi yang bermanfaat buat diri dan ummah.”
Atriza yang juga ahli IKRAM kawasan Serdang, menjelaskan bahawa penerimaan PMC bukan penamat, tetapi permulaan kepada cabaran baharu.
“Pingat ini adalah amanah untuk terus mempertingkatkan mutu khidmat. Ia menggalakkan saya membimbing lebih ramai individu untuk turut berbakti.”
“Dengan kemahiran dan kompetensi yang ada, saya berazam menyebarkan penulisan yang baik, memberi kesedaran dan meningkatkan kefahaman masyarakat. Semua ini adalah usaha memastikan perkhidmatan yang bermanfaat dapat dihamparkan, demi kesejahteraan bersama,” tambahnya lagi.
“Daulat Tuanku. Patik menjunjung kasih atas penganugerahan Pingat Khidmat Masyarakat Cemerlang (PMC) ini.”
Beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
“Semoga Allah memberkati pemerintahan Kebawah Duli Tuanku Sempena Hari Keputeraan Ke-77 pada 14 Januari 2025 bersamaan 14 Rejab 1446 Hijrah yang lalu.”
Atriza turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun dan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, Dato’ MK Ibrahim Abd Rahman serta pasangannya.
Atriza Umar merupakan seorang penulis dan kolumnis Malaysia yang aktif membincangkan isu-isu semasa, sejarah serta kepemimpinan wanita dalam masyarakat. Beliau adalah kolumnis Malaysiakini dan penulis buku “Makin Diuji Makin Berani” bersama Dr. Hamidah Mat.
Selain itu, Atriza juga merupakan seorang aktivis dalam pertubuhan Du’at Al-Falah dan Felo di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR).
Beliau telah menghasilkan lebih daripada 1,000 artikel yang menyentuh pelbagai topik, termasuk isu semasa, agama, politik dan pendidikan, dengan tujuan untuk menyebarkan kebaikan yang bermanfaat kepada ummah.
Atriza turut mempunyai pengalaman luas bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan beliau telah berkhidmat selama 15 tahun sejak penubuhan organisasi tersebut.
Di Ibu Pejabat IKRAM, perjalanan beliau bermula di Jabatan Penerangan dan Media sebelum melanjutkan khidmat bakti di Jabatan Pendidikan Masyarakat.
Penglibatan beliau mencerminkan dedikasi tinggi terhadap pembangunan masyarakat melalui pendidikan, penerangan dan advokasi, sekali gus memperkukuh peranan beliau sebagai seorang individu yang komited dalam usaha membina masyarakat madani.
Pertubuhan IKRAM Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Atriza Umar atas pencapaian ini. IKRAM percaya anugerah ini akan terus membakar semangat beliau untuk memberikan sumbangan terbaik kepada masyarakat dan menjadi inspirasi kepada orang lain.
Tahniah Atriza Umar! Semoga terus berjaya dan cemerlang dalam mendidik masyarakat, insya-Allah.
*Makluman foto utama: Puan Atriza Umar berada di hujung sebelah kanan gambar.