Di Malaysia, kebanyakan pelajar tidak mendapat pendedahan tentang pelbagai kerjaya atau laluan pendidikan berbeza yang boleh memimpin mereka kepada kerjaya atau pendidikan yang diidamkan.
Pendedahan yang terhad terhadap pilihan sering membawa kepada keputusan kerjaya yang tergesa-gesa tanpa mengetahui maklumat lanjut dan berdasarkan tekaan semata-mata. Pendek kata, kurangnya pengetahuan adalah punca yang menyekat generasi muda Malaysia daripada mencari tempat mereka di dunia kerjaya.
Natijahnya, anak-anak muda yang terperangkap dalam kitaran pilihan yang terhad dan membuat keputusan melulu kerana kekurangan maklumat, akan mensia-siakan potensi kerjaya jangka panjang mereka.
Pada era digital yang semakin maju ini, teknologi memainkan peranan yang sangat penting dalam mempermudahkan pelbagai aspek kehidupan, termasuklah dalam memilih kerjaya yang sesuai.
Salah satu aplikasi yang semakin mendapat perhatian dalam hal ini ialah Schola, yang direka khas untuk membantu individu khususnya pelajar untuk mengenali minat, kecenderungan dan bakat mereka dalam memilih kerjaya yang tepat.
Pengenalan aplikasi Schola
Schola ialah inisiatif yang dibangunkan untuk memperkasakan pelajar Malaysia dengan menyediakan sumber percuma untuk perancangan kerjaya.
Kandungan dan aktiviti yang ditawarkan boleh diakses sepenuhnya oleh semua, jadi pengguna boleh meneroka masa depan tanpa halangan.
Dengan menggabungkan ujian psikometrik dan analisis data, Schola membantu pengguna mengenal pasti bidang pekerjaan yang selari dengan kemahiran, minat dan kekuatan peribadi mereka.
Aplikasi ini sangat sesuai digunakan oleh pelajar sekolah menengah, mahasiswa dan individu yang sedang mencari panduan dalam kerjaya mereka.
Bagaimana Schola berfungsi
Schola menggunakan beberapa siri soalan yang bertujuan untuk menilai kecenderungan kerjaya berdasarkan minat, keperibadian dan kemahiran pengguna.
Antara ujian yang sering digunakan ialah Ujian Minat Kerjaya RIASEC (Realistic, Investigative, Artistic, Social, Enterprising dan Conventional) yang membantu mengenal pasti jenis pekerjaan yang paling sesuai dengan personaliti seseorang.
Setelah ujian tersebut selesai, Schola akan memberikan laporan terperinci mengenai beberapa bidang kerjaya yang dicadangkan berserta penerangan tentang peranan-peranan yang terdapat dalam setiap bidang tersebut.
Aplikasi ini juga menyediakan maklumat mengenai pendidikan atau kemahiran tambahan yang diperlukan untuk berjaya dalam kerjaya yang dicadangkan. Ia boleh dicapai melalui alamat URL seperti berikut – https://schola.org.my/
Kelebihan menggunakan aplikasi Schola
- Penilaian yang Disesuaikan – Setiap individu mempunyai personaliti dan minat yang berbeza. Dengan aplikasi Schola, pengguna dapat mengenal pasti kekuatan serta kelemahan mereka dan bagaimana faktor-faktor ini boleh disesuaikan dengan pelbagai kerjaya yang ada.
- Panduan Berdasarkan Data – Keputusan yang diberikan oleh Schola adalah berdasarkan data yang dikumpulkan daripada ujian psikometrik yang terbukti sahih dan telah lama digunakan dalam kaunseling kerjaya. Ini memastikan keputusan yang diterima adalah tepat dan boleh dipercayai.
- Akses Mudah dan Fleksibel – Schola boleh diakses dengan mudah melalui telefon pintar atau tablet, menjadikannya sesuai untuk digunakan di mana-mana sahaja. Pelajar atau pengguna tidak perlu menunggu sesi kaunseling formal untuk mendapatkan panduan kerjaya. Sebaliknya, mereka boleh menjalani ujian ini pada bila-bila masa.
- Sokongan Pendidikan dan Kerjaya – Selain memberikan cadangan kerjaya, Schola juga menyediakan maklumat tentang program pendidikan atau latihan yang diperlukan untuk mencapai matlamat kerjaya yang dicadangkan. Ini membantu pengguna merancang langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencapai cita-cita mereka.
Fungsi akan datang
Selain daripada memberikan cadangan kerjaya yang bersesuaian dengan minat dan kemahiran pengguna, pembangun aplikasi Schola turut menjanjikan fungsi-fungsi seperti berikut pada masa akan datang.
- Perbandingan Kerjaya – Pengguna boleh membuat perbandingan pelbagai kerjaya berdasarkan aspek tertentu untuk mengetahui pekerjaan yang sesuai untuk mereka.
- Perbandingan Program Pra-universiti – Pengguna dapat membandingkan pelbagai program pra-universiti untuk mengetahui laluan selepas SPM yang bersesuaian dengan mereka.
- Panduan Pendidikan – Pengguna boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang pelbagai pilihan pendidikan yang sedia ada.
- Pembiayaan Pendidikan – Pengguna dapat mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan biasiswa, pinjaman dan cara lain untuk pembiayaan pengajian mereka.
Kepentingan menentukan kecenderungan kerjaya sejak awal
Menentukan kecenderungan kerjaya sejak awal penting untuk memastikan masa depan yang lebih terancang. Apabila seseorang mengetahui minat dan kemahiran mereka dengan jelas, mereka boleh fokus dalam membina kemahiran yang diperlukan dalam bidang tersebut.
Schola membantu individu untuk lebih yakin dalam membuat pilihan yang tepat, sekali gus mengelakkan daripada membuat pilihan yang mungkin tidak selaras dengan minat atau bakat mereka.
Kesimpulan
Aplikasi Schola menawarkan penyelesaian yang praktikal, fleksibel dan berdasarkan data untuk membantu individu, khususnya pelajar dalam menerokai kecenderungan kerjaya mereka.
Dengan teknologi yang semakin berkembang, aplikasi seperti Schola memberikan peluang kepada generasi muda untuk lebih bersedia dan terarah dalam memilih kerjaya yang sesuai dengan minat serta kemahiran mereka.
Jadi, bagi sesiapa yang ingin membuat keputusan kerjaya yang lebih tepat, Schola adalah aplikasi yang patut dicuba.
Ts. Mohd Fitri Edros
Ketua Bahagian Infrastruktur ICT di Pusat Pengurusan & Pembangunan Digital
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)