Apakah erti pendidikan percuma zaman COVID-19?

Pada zaman parti-parti politik bertelagah dahulu tentang erti pendidikan percuma, rancak perbahasan mengenai sama ada patut atau tidak kita mansuhkan pinjaman PTPTN.

Pendek kata, pendidikan percuma atau mampu milik (affordable) pada zaman itu adalah dikaitkan dengan sama ada pelajar atau keluarga pelajar itu mampu menanggung yuran pembelajaran dan juga mampu menyara hidupnya sepanjang pengajiannya, terutamanya untuk pelajar di institusi pengajian tinggi.

Namun begitu, pandemik penyakit koronavirus (COVID-19) telah mengubah lensa kita menanggapi apakah erti pendidikan percuma atau pendidikan mampu milik itu.

Jika dahulunya kita membayar cukai (untuk sekolah kerajaan) dan yuran (untuk pengajian tinggi) untuk mendapatkan akses kepada pendidikan dan fasiliti pendidikan yang disediakan, kini cukai dan yuran itu seolah-oleh tidak bermakna lagi kerana kita terputus terus dengan akses terhadap perkhidmatan dan fasiliti-fasiliti pendidikan tersebut.

Para pelajar dan mahasiswa tidak boleh bersemuka dengan guru-guru dan pensyarah mereka. Mereka juga tidak boleh menggunakan fasiliti sekolah seperti perpustakaan, makmal, bengkel dan juga akses Internet di premis-premis pusat pendidikan.

Keadaan kini tidak lain tidak bukan memerlukan muhasabah kembali sama ada berbaloikah yuran yang dibayar kepada pihak universiti untuk semester terkini memandangkan baki pengajian yang perlu dihabiskan bukannya akan dilaksanakan di premis universiti, tetapi di rumah sendiri.

Hal ini bermakna, pelajar tidak menggunakan fasiliti universiti seperti yang disebutkan di atas dan tidak juga tinggal di kolej-kolej kediaman. Maka tindakan yang sewajarnya dilakukan ialah memulangkan sebahagian daripada yuran tersebut kepada pelajar.

Satu tindakan yang boleh dipuji ialah ada antara  Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di beberapa universiti tempatan sudah pun mula menggerakkan usaha dan menyediakan kertas cadangan untuk memastikan pemulangan sebahagian yuran pelajar ini satu realiti.

Sekurang-kurangnya ada usaha ke arah itu. Selebihnya ialah bergantung kepada tanggungjawab moral pihak pentadbiran universiti sendiri untuk mempertimbangkan perkara ini.

Namun, masalah yang paling besar bukanlah semata-mata pada yuran sahaja, tetapi hakikatnya terletak kepada kemampuan pelajar untuk menyambung pengajian di rumah masing-masing.

Ya, kita perlu berbincang tentang akses terhadap Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Mahu tidak mahu, jika pengajian tidak ditangguh, untuk golongan penuntut pengajian tinggi yang tidak diberi pengecualian, mereka mesti menyambung pengajian di rumah secara dalam talian.

Tetapi tidak semua pelajar bernasib baik untuk mendapatkan capaian khidmat Internet yang memuaskan untuk pembelajaran dalam talian. Malah faktanya ialah, berada di Malaysia itu sendiri merupakan suatu bala untuk pembelajaran dalam talian di Malaysia.

Walaupun kelajuan Internet jalur lebar tetap (fixed broadband) di Malaysia[1] boleh dikatakan agak memuaskan iaitu 67.15 Mbps di belakang Singapura dan Thailand di rantau ASEAN, namun tidak semua kawasan di Malaysia menikmati kelajuan Internet yang sama.

Sebagai contoh, masih banyak lagi kawasan luar bandar yang tidak mempunyai peluang untuk capaian Internet fiber seperti Unifi dan TIME Broadband.

Malah, kelajuan Internet jalur lebar mudah alih (mobile broadband) pula jauh lebih rendah iaitu pada kelajuan 20.49 Mbps di belakang Singapura, Laos, Myanmar dan Vietnam untuk rantau ASEAN. Hakikat yang lebih memalukan ialah jika di luar bandar pula, tidak semua akan mampu dapat kelajuan Internet mudah alih melebihi 10 Mpbs pun.

Malah, bagi penduduk luar bandar pula, mereka terpaksa membuat pertimbangan yang sukar, sama ada mahu kuota Internet yang tinggi tapi dengan kelajuan yang rendah atau mengorbankan kuota demi kelajuan Internet yang tinggi.

Tetapi pembelajaran dalam talian tidak sepatutnya begitu. Pembelajaran begini memerlukan kedua-dua data tanpa had dan juga kelajuan yang tinggi.

Kelajuan yang tinggi adalah penting untuk memastikan proses pembelajaran langsung seperti telesidang dan kelas dalam talian secara langsung dapat berjalan dengan lancar dan tidak tersekat-sekat.

Kuota yang tinggi atau tanpa had juga adalah diperlukan bagi memastikan sepanjang pembelajaran terpaksa berjalan dalam talian, akses kepada video-video yang berkenaan, sebagai contoh video pemeriksaan fizikal pesakit untuk panduan pelajar perubatan dapat ditonton agar sedikit sebanyak dapat menggantikan pengajaran langsung di hospital.

Namun dengan keadaan sekarang, kita masih belum mampu lagi. Malah tidak cukup dengan kelemahan Internet kita, ada antara kita tidak memiliki peranti yang terbaik untuk pembelajaran dalam talian.

Tidak semua semua pelajar mempunyai komputer riba (laptop) yang cukup baik untuk menggunakan perisian pembelajaran telesidang seperti Zoom dan Micorosft Teams. Sedikit sahaja juga yang mempunyai iPad dan tablet Android. Tidak semua pelajar juga memiliki telefon pintar yang memuaskan untuk multitasking.

Kesemua faktor ini menjadikan pembelajaran dalam talian tidak mampu menjadi selancar yang diharapkan. Malah ada juga pelajar yang melaporkan, apabila sedang menyertai kelas dalam talian, tiba-tiba rangkaiannya terputus.

Beberapa minit kemudian barulah dia berjaya memasuki kelasnya kembali. Dalam masa beberapa minit itu, sudah berapa banyak penerangan pensyarah yang sudah dia ketinggalan?

Benar, pelajar sekarang sangat menyokong antara satu sama lain. Contohnya ada antara kawan yang ketinggalan menyertai kelas dalam talian akan bertanya kawan lain tentang isi perbincangan kuliah itu.

Namun ketaksetaraan (inequality) capaian terhadap capaian Internet dan ICT ini tidak boleh ditolak ansur kerana ini membawa maksud ketidaksetaraan terhadap capaian pendidikan!

Jika dahulu pendidikan percuma membawa maksud yuran dan pinjaman PTPTN dimansuhkan dengan biasiswa yang mencukupi bagi memastikan sara hidup pelajar tidak teraba, zaman koronavirus ini membawa kita memahami norma baharu.

Norma baharu pendidikan percuma ialah kesetaraan dalam capaian ICT, apatah lagi jika ICT sahaja yang membolehkan mereka menyambung pengajian pada saat yang sukar ini.

Walau apa pun pertelingkahan politik busuk para elitis hari ini, hak pelajar untuk belajar mesti dipelihara. Jika ini bermakna ada keperluan untuk pembangunan fasiliti ICT dan meningkatkan kemampuan rakyat terhadap capaian Internet, maka itulah yang perlu dilakukan.

Kita tidak boleh biarkan seseorang itu terbiar tidak terpelajar hanya kerana mereka miskin dan tidak mampu mendapat akses kepada kemudahan yang sepatutnya sudah menjadi kebiasaan sejak dahulu, bukannya norma baharu pasca COVID-19.

Wan Salman Wan Sallam, aktivis Belia Harmoni Cheras Baru

Rujukan:

[1] https://theaseanpost.com/article/are-aseans-internet-speeds-world-class

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia