Sekali-sekala muncul pula nama satu lagi NGO dakwah Islam JIM (Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia) yang sempat berada 22 tahun di persada dakwah tanahair sebelum dibubarkan pada akhir tahun 2012.
Sebagai seorang yang pernah menjadi Ketua Wanita JIM Pusat selama 10 tahun (1999-2009) dan Naib Presiden JIM (2009-2012), serta masih menjadi ahli aktif IKRAM dari awal penubuhannya (2010) sehingga kini dan pernah menjawat Naib Ketua Wanita IKRAM Pusat (2010-2014), Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial IKRAM (2010-2014) dan ahli Dewan Perwakilan Nasional (DPN) 2010-2014, 2014-2018; saya terpanggil untuk membuat sedikit perkongsian mengenai LIMA perkara yang telah saya pelajari selama menjadi ahli kedua-dua NGO ini.
PERTAMA: Sepanjang penglibatan saya dengan JIM dan IKRAM selama 25 tahun ini, saya belajar tentang apa itu 3R: tanggungjawab (responsibility), hak (rights) dan rasa hormat (respect). Tanggungjawab adalah amanah. Hanya selepas tanggungjawab terlaksana, barulah boleh kita menuntut hak keistimewaan (privileges) yang diperuntukkan. Hak perlu dihormati dan ditunaikan, kalau tidak hak itu tiada nilai dan erti.
Hak yang paling utama yang perlu saya hormati dan tunaikan adalah hak Allah SWT sebagai Pencipta yang Esa dan Agung. Sebagai al-Khaliq, Allah SWT telah melaksanakan segala tanggungjawab dan peranan-Nya dengan sempurna terhadap saya, makhluk ciptaan-Nya. Kerana itu, hanya Allah SWT matlamat paling utama bagi hidup dan mati saya!
KEDUA: Sepanjang penglibatan saya dengan JIM dan IKRAM selama 25 tahun ini, saya belajar mencintai, mengasihi dan merindui seorang manusia yang mulia, kekasih Allah SWT yang bernama Muhammad bin Abdullah SAW. Riwayat hidup baginda mempesona, pengorbanan baginda memotivasi, semangat baginda membakar jiwa dan akhlak baginda memukau.
Penghulu segala Nabi dan Rasul ini menjadi contoh sejati dalam semua aspek kehidupan – baik bersendirian, berkeluarga dan bermasyarakat. Mutiara kata baginda begitu menyegarkan: “Sebaik -baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain”.
Saya mahu jadi salah satu anak mata rantai dalam operasi dakwah ummah yang dimulakan oleh baginda Rasulullah SAW seribu tahun yang lalu. Kerana itu, Ar-Rasul SAW adalah teladan dan qudwah terbaik yang perlu saya contohi, semampu yang terdaya.
KETIGA: Sepanjang penglibatan saya dengan JIM dan IKRAM selama 25 tahun ini, saya belajar untuk sentiasa berinteraksi dengan kitab al-Quranul Karim – al-Kalam, al-Furqan, al-Huda, asy-Syifa’, al-Maui’dzoh, an-Nur, al-Busyro.
Ibarat orang dahaga meneguk air dingin yang menyegarkan, tilawah al-Quran membawa kepuasan dan semacam satu rasa kekenyangan yang indah. Mentadabbur ayat-ayat al-Quran yang penuh hikmah, membuang kekalutan dan kekusutan yang memenuhi ruang fikiran.
Al-Quran adalah kompas menuju jalan yang lurus – yang dijanjikan nikmat oleh Allah SWT, sekalipun mungkin perjalanannya panjang, sukar dan payah. Kerana itu, al-Quran adalah pedoman dan perlembagaan hidup saya, di mana jua bumi dipijak serta langit dijunjung.
KEEMPAT: Sepanjang penglibatan saya dengan JIM dan IKRAM selama 25 tahun ini, saya belajar untuk terus berusaha gigih memperbaiki diri sendiri, keluarga dan masyarakat di sekeliling saya. Pengorbanan dan jihad bukanlah hanya di medan perang (qital). Namun, saya harus menggunakan segala modal yang dipinjamkan Allah SWT berupa nyawa, masa, harta dan wang, perasaan, pemikiran, pangkat dan kedudukan semata-mata untuk jalan-Nya.
Saya tidak boleh duduk diam, malahan mesti sentiasa sibuk menyusun strategi dan langkah pengislahan masyarakat, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran setakat termampu.
Saya mestilah mengenalpasti kekuatan dan bakat saya untuk di’leverage’kan atau diselaraskan dengan usaha dakwah ummah. Sementara kelemahan dan kekurangan diri perlu diperbaiki, dimuhasabah dan ditampung bersama oleh teman seperjuangan yang mementingkan ukhuwah sebagai teras kegemilangan.
Jihad ini memerlukan minda kreatif dan berinovasi serta semangat dan keberanian luar biasa, yang mustahil untuk dilaksanakan sendirian. Kerana itu, inilah jalan juang yang saya pilih, Mudah-mudahan apabila kematian menjemput, misi seluruh hidup saya boleh dikira beres – Mission Accomplished!
KELIMA: Sepanjang penglibatan saya dengan JIM dan IKRAM selama 25 tahun ini, saya belajar bahawa jalan dakwah ini tidak menjanjikan hamparan permaidani merah, pujian, sanjungan dan penghargaan. Sunnah perjuangan menunjukkan inilah jalan yang panjang, berliku, penuh onak duri mehnah dan tribulasi. Tidak sama orang yang berjuang di medan dengan mereka yang sekadar melihat dari kejauhan.
Namun, akhlak adalah senjata ampuh dan penuh sakti dalam dakwah dan perjuangan. Malahan Imam Syahid al-Banna pernah menukilkan kata-kata indah: “Jadilah ibarat sebatang pokok. Saat orang membaling batu kepadamu, kau membalas dengan buah yang masak ranum.” Kerana itu, saya memilih untuk menjadi pendakwah, dan bukan seorang penghukum. Nahnu du’at wala qudhoh.
Setinggi penghargaan untuk semua murabbiaah dan murabbiku yang pernah singgah dalam hidup ini. Hanya Allah SWT yang mampu membalas dan mengganjari segala jasa dan budi.
Mudah-mudahan kehidupan kita ini menjadi peluang untuk menambah amalan kebajikan, dan kematian kita adalah kerehatan dan pemutus daripada segala keburukan. Amin.