Apa Persepsi Rakyat dalam Dimensi Ekonomi IMNR?

IMNR

Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) dibangunkan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia sebagai satu kerangka pengukuran kesejahteraan negara berasaskan persepsi rakyat. Dalam kerangka ini, terdapat tiga pengukuran dimensi iaitu ekonomi, sosial dan politik.

Dimensi ekonomi memainkan peranan penting sebagai asas kepada kesejahteraan rakyat dan keupayaan negara membina masa depan yang inklusif dan mampan. 

Bagi tempoh IMNR 2021 hingga 2023, dimensi ekonomi merangkumi tiga ciri utama iaitu, ekonomi yang mampan, agihan kekayaan yang saksama dan pembangunan yang lestari. 

Selari dengan perubahan struktur ekonomi, teknologi dan cabaran global, IMNR 2025 telah memperluas dimensi ekonomi dengan penambahan dua ciri baharu iaitu kemajuan dan inovasi yang terkedepan serta sektor swasta yang beretika dan bertanggungjawab.

Penambahan ini menjadikan dimensi ekonomi lebih komprehensif dan selari dengan agenda transformasi digital serta aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Secara keseluruhan, dimensi ekonomi IMNR 2025 mencatatkan skor 7.13 (tahap sederhana). Ciri ekonomi yang mampan merekodkan 6.94, manakala agihan kekayaan yang saksama 6.78 iaitu skor terendah dalam dimensi ekonomi.

Dapatan ini menunjukkan bahawa walaupun pertumbuhan ekonomi diiktiraf, rakyat masih berhati-hati terhadap ketahanan struktur ekonomi dan keadilan pengagihan hasil pembangunan.

Ciri ekonomi yang mampan merangkumi ekonomi yang kukuh dan stabil, pembangunan ekonomi yang lestari serta kemampuan bersaing di peringkat domestik dan global.

Ciri ini merupakan keutamaan dalam dimensi ekonomi kerana mencerminkan persepsi rakyat terhadap prestasi ekonomi kerajaan secara makro termasuk sejauh mana mereka merasai kestabilan harga, akses kepada pembangunan menyeluruh serta daya saing negara yang memberi manfaat kepada kehidupan seharian.

Namun demikian, ekonomi yang mampan tidak akan membawa makna kesejahteraan jika manfaatnya tidak diagihkan secara adil dan mengabaikan kelestarian dalam pembangunan negara.

Sehubungan itu, ciri agihan kekayaan yang saksama kepada seluruh lapisan masyarakat dilihat berkait rapat dengan kemampanan ekonomi. Jurang pendapatan yang semakin melebar berisiko menjejaskan kestabilan ekonomi dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap negara. 

Dalam realiti Malaysia hari ini, isu ketidaksamaan pendapatan, jurang pembangunan antara wilayah, kemiskinan relatif serta cabaran  yang dihadapi oleh golongan rentan masih menjadi isu utama yang mempengaruhi persepsi rakyat terhadap keadilan ekonomi.

Oleh itu, persepsi rakyat terhadap ciri ini mencerminkan harapan masyarakat agar kekayaan negara dapat dimanfaatkan secara lebih seimbang serta membantu rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan.

Ciri pembangunan yang lestari pula menekankan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan sumber yang lestari serta pemeliharaan alam sekitar. Ciri ini mencerminkan keperluan mendesak bagi Malaysia untuk menangani cabaran perubahan iklim serta peningkatan risiko bencana alam.

Pembangunan ekonomi yang mengabaikan aspek kelestarian alam bukan sahaja menjejaskan ekosistem semula jadi, malah berpotensi menjejaskan sumber pendapatan negara dan meningkatkan kos pada masa hadapan.

Ciri ini menggambarkan persepsi rakyat terhadap keupayaan kerajaan dalam menangani isu pencemaran, pemeliharaan alam sekitar serta pengurusan sumber secara bertanggungjawab yang akhirnya memberi kesan signifikan kepada kesejahteraan masyarakat  dan kesihatan awam.

Penekanan kepada kemajuan dan inovasi yang terkedepan merupakan ciri baharu dalam IMNR 2025 yang mencerminkan persepsi rakyat terhadap peralihan ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi.

Seiring dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berteraskan kecerdasan buatan (AI) menjelang tahun 2030, ia turut meletakkan transformasi digital dan penggunaan teknologi AI sebagai tunjang utama kepada pelaksanaan strategi pembangunan negara.

Sehubungan dengan itu, ciri sektor swasta yang beretika dan bertanggungjawab dilihat sebagai pelengkap kepada ciri kemajuan dan inovasi yang terkedepan. Dalam merealisasikan Malaysia negara yang berpacukan teknologi termaju, pengukuhan ekosistem inovasi dan AI memerlukan sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk sektor swasta.

Sebagai rakan strategik dalam pembangunan Negara Rahmah, penglibatan sektor swasta perlu berlandaskan etika dan nilai yang kukuh bagi memastikan aktiviti ekonomi dilaksanakan dan dijalankan secara adil, telus dan bertanggungjawab.

Pendekatan ini selari dengan prinsip maqasid syariah yang menekankan kesejahteraan masyarakat serta perlindungan kepentingan awam. Sektor swasta yang beretika bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi, malah menyumbang kepada agihan kekayaan yang lebih adil, pembangunan lestari dan inovasi yang memberi impak kepada masyarakat.

Secara keseluruhannya, kelima-lima ciri dalam dimensi ekonomi IMNR 2025 saling berkait dan tidak boleh dinilai secara berasingan kerana setiap satunya menyumbang kepada keberhasilan pembangunan negara secara kolektif.

Dimensi ekonomi yang holistik ini membentuk asas kepada kestabilan ekonomi, memperkukuh keadilan sosial, menjamin kelestarian alam sekitar untuk masa hadapan dan meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.

Pendekatan bersepadu ini menjadikan dimensi ekonomi IMNR sebagai satu kerangka yang lebih komprehensif dan realistik dalam memahami pengalaman rakyat serta aspirasi pembangunan negara ke arah Malaysia sebagai sebuah Negara Rahmah.

Dr. Aainaa Amirah Haron
Ketua Pegawai Penyelidik
Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia