Apa Perbezaan Antara Spiritual Dan Keagamaan?

Apa Perbezaan Antara Spiritual Dan Keagamaan? | IKRAM

Dalam kehidupan di dunia yang semakin rumit, persoalan tentang erti hidup dan pencarian kebenaran terus menjadi fokus manusia. Istilah ‘spiritual’ dan ‘keagamaan’ sering digunakan secara bertukar ganti, seolah-olah membawa maksud yang sama.

Namun, kedua-duanya mempunyai pengertian dan keunikan tersendiri. Memahami perbezaan ini bukan sahaja penting untuk pembangunan diri, tetapi juga untuk menghargai kepelbagaian cara manusia mencari makna serta tujuan dalam kehidupan mereka.

Spiritual, seperti yang dinyatakan oleh Gowry Gundarajah (2001), merangkumi spektrum yang luas dalam pencarian makna yang melampaui batasan agama. Spiritual boleh dilihat dalam pelbagai bentuk, iaitu hubungan manusia dengan Tuhan, penghayatan kepada alam semula jadi atau melalui pencarian kebenaran saintifik.

Dari sudut pandang yang lain, keagamaan sering dikaitkan dengan sistem kepercayaan, amalan dan organisasi yang lebih berstruktur.

Adakah spiritual dan agama ini saling melengkapi atau dua entiti yang berasingan? Perbincangan ini akan mengupas persoalan tersebut selain membuka minda kita terhadap pelbagai cara manusia mencari makna dan ketenangan hidup serta menghormati kepelbagaian laluan yang dipilih oleh setiap individu dalam perjalanan rohani mereka.

Spiritual mempunyai spektrum yang luas

Apakah spiritual? Spiritual adalah pencarian makna dan tujuan hidup yang boleh hadir dalam pelbagai bentuk. Walaupun ramai yang menemui spiritual melalui agama (Gundarajah, 2001), namun sebenarnya lebih daripada itu.

Sebagai contoh, seorang pendaki gunung mampu merasakan hubungan spiritual yang mendalam ketika menikmati keindahan alam semula jadi di puncak gunung. Seorang pemuzik pula mengalami momen spiritual semasa memainkan atau mendengar melodi yang menyentuh jiwa.

Terdapat juga mereka yang merasai pengalaman spiritual dalam menjalani kehidupan beretika, seperti seorang sukarelawan yang mendedikasikan hidupnya untuk membantu golongan kurang bernasib baik. Bahkan seorang saintis boleh merasakan pengalaman spiritual apabila menemui rahsia alam semesta yang mengagumkan.

Kesemua contoh ini menunjukkan bahawa spiritual boleh wujud dalam pelbagai bentuk, dari pengalaman peribadi hingga ke penemuan ilmiah, dan tidak terhad kepada amalan keagamaan semata-mata.

Agama sebagai struktur spiritual

Konsep agama berbeza dengan spiritual, agama merujuk kepada sistem kepercayaan dan amalan yang lebih berstruktur. Setiap agama di dunia mempunyai set kepercayaan, doktrin, ajaran dan amalan yang tersendiri dalam usaha untuk menjawab persoalan berkaitan spiritual.

Agama mempunyai jawapan bagi memahami kewujudan Tuhan, kewujudan manusia, tujuan hidup dan hubungan manusia dengan kuasa yang lebih tinggi iaitu Trasenden atau Tuhan.

Agama mempunyai panduan melalui ritual, upacara dan amalan bersama yang mengukuh serta memperkaya kehidupan rohani seseorang.

Spiritual tanpa ikatan agama

Penting untuk difahami bahawa seseorang boleh melalui pengalaman spiritual tanpa menganut agama tertentu apatah lagi mempunyai doktrin yang diyakininya. Pengalaman ini dikenali sebagai ‘spiritual sekular’ atau ‘spiritual tanpa agama.’

Individu yang melalui pengalaman ini dipercayai menemui makna dan tujuan hidup melalui falsafah peribadi, mengamalkan etika humanistik, menjaga hubungan dengan alam dan berbuat baik sesama manusia.

Antara amalan mereka ialah mengamalkan meditasi, refleksi diri atau terlibat dalam pelbagai aktiviti yang memberi makna kepada mereka tanpa mengikuti doktrin agama tertentu.

Apakah keperluan spiritual?

Terdapat empat keperluan spiritual manusia iaitu tujuan, mencari makna hidup, hubungan sosial serta Trasenden iaitu hubungan dengan kuasa yang lebih tinggi (Hatamipour, et.al, 2015).

Tujuan berkaitan dengan misi atau matlamat hidup seseorang. Contohnya seorang penjual nasi lemak di pasar pagi. Tujuan hidupnya bukan sekadar menjual makanan untuk mencari rezeki, tetapi lebih daripada itu iaitu bersedekah, mengekalkan keaslian resepi, gerainya menjadi tempat pertemuan dengan masyarakat, menambah kenalan dan sebagainya.

Tujuan-tujuan ini memberi makna yang lebih mendalam kepada penjual tersebut. Walaupun kerjanya kelihatan sederhana, namun baginya, itu adalah cara dia menyumbang kepada masyarakat dan meninggalkan kesan positif dalam kehidupan orang lain.

Makna hidup pula berkaitan dengan pencarian dan pemahaman tentang signifikan kehidupan, contohnya individu yang sakit sedang menjalani rawatan lebih menghargai setiap hari yang dilalui dengan membaiki hubungan dengan ahli keluarga dan rakan-rakan yang telah lama terpisah. 

Selain itu, penyakitnya akan mendorong pesakit untuk meneroka aspek kerohanian hidupnya dengan lebih mendalam, membawanya kepada pemahaman baru tentang kehidupan dan kematian.

Hubungan sosial menekankan kepentingan ikatan dengan orang lain, alam sekitar dan diri sendiri. Contohnya seorang pesara yang masih dan aktif di taman perumahannya, dia akan kelas agama atau menjadi sukarelawan. Melalui aktiviti ini, dia bertemu dengan jiran-jiran dan membina persahabatan baharu.

Bagi menjaga hubungan dengan alam sekitar, pesara ini meluangkan masanya dengan berkebun kecil di halaman rumahnya. Dia merasa tenang dan gembira apabila melakukan aktiviti tersebut. Bagi dirinya sendiri, pesara ini melakukan hobi dan aktiviti yang memberinya kepuasan peribadi.

Melalui aktiviti-aktiviti ini, pesara tersebut membina dan mengekalkan hubungan yang bermakna dalam pelbagai aspek kehidupannya. Hubungan-hubungan ini memberinya rasa kekitaan, tujuan dan kesejahteraan.

Dia merasa terhubung bukan sahaja dengan orang di sekelilingnya, tetapi juga dengan alam sekitar dan dirinya sendiri. Ini menggambarkan bagaimana hubungan sosial yang sihat boleh memenuhi keperluan spiritual seseorang dan meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan.

Transendensi melibatkan pengalaman seseorang dengan satu kuasa yang lebih besar yang berbentuk metafizik. Sebagai contoh, seorang saintis yang mengkaji fenomena alam mengalami perasaan takjub dan kagum terhadap misteri alam semesta.

Pengalaman ini berupaya membangkitkan perasaan transendensi, di mana saintis tersebut berasa terdapat hubungan alam dengan ‘sesuatu’ yang lebih besar. Transendensi ini bukan sahaja meluaskan perspektif, tetapi mendorong kepada penerokaan dan pemahaman yang lebih mendalam tentang kewujudan Tuhan.

Agama sebagai salah satu laluan spiritual

Walaupun spiritual wujud di luar konteks agama, ia tetap menjadi laluan dan panduan utama untuk perjalanan spiritual seseorang. Agama menyediakan panduan, set kepercayaan dan amalan yang membantu individu dalam perjalanan kerohanian mereka. Mari kita lihat beberapa aspek penting agama iaitu:

  • Mempunyai set kepercayaan:

Agama menawarkan sistem kepercayaan yang berstruktur, memberi makna kepada kehidupan dan kematian serta menjawab persoalan berkaitan metafizik.

  • Amalan dan ritual:

Upacara keagamaan, solat, meditasi dan amalan lain memberi rutin dan disiplin dalam kehidupan rohani seseorang.

  • Panduan moral:

Kebanyakan agama menawarkan kod etika dan moral yang jelas, membantu penganutnya membuat keputusan dalam kehidupan seharian.

  • Pengalaman bertuhan:

Melalui ibadah dan amalan keagamaan, menunjukkan apa yang mereka lakukan adalah untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. 

  • Makna dan tujuan:

Agama memberi jawapan kepada penganutnya tentang makna dan tujuan hidup di atas muka bumi.

Justeru, spiritual merangkumi pencarian makna hidup yang luas dan peribadi, bebas daripada struktur formal yang  meliputi pelbagai pengalaman, penghayatan alam hingga pencarian kebenaran saintifik.

Sebaliknya, keagamaan merujuk kepada sistem kepercayaan dan amalan yang berstruktur, melibatkan institusi, ritual dan doktrin yang ditetapkan. 

Spiritual boleh wujud tanpa agama, manakala beragama merangkumi aspek spiritual, dengan perbezaan utama terletak pada tahap struktur dan kebebasan individu dalam mentafsir kepercayaan mereka.

 

Prof Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Open Universiti Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia