Saya tidak mahu menyentuh tiga cara luar talian kerana cara-cara tersebut merupakan alternatif untuk mereka yang sukar mendapatkan akses Internet atau peranti yang mempunyai Internet dan untuk mereka yang mungkin tidak cukup celik teknologi untuk mendaftar cara dalam talian.
Namun yang tidak dapat dihadam sampai sekarang ialah, mengapa ada dua cara untuk mendaftar vaksin ini iaitu melalui MySejahtera dan melalui laman sesawang www.vaksincovid.gov.my?
Sesuatu yang boleh diperhatikan ialah, jika seseorang itu bukan petugas barisan hadapan atau sebahagian daripada barisan pemimpin negara, mendaftar melalui MySejahtera ini semata-mata hampir tiada gunanya.
Maka apa lagi yang perlu dilakukan? Maka berebutlah kita untuk merebut peluang untuk mendaftar vaksin melalui laman sesawang khas lain pula.
Yang kurang difahami, mengapa MySejahtera sahaja tidak cukup untuk yang mendaftar dalam talian? Mungkin bekalan vaksin AstraZeneca terbuka baru-baru ini terhad untuk beberapa negeri sahaja dapat lagi difahami. Namun kenapa rakyat sampai perlu berebut dalam laman sesawang lain?
Jika benar berjuta-juta ringgit telah dibelanjakan untuk membangunkan sistem pendaftaran vaksinasi ini, mengapa tidak cukup dengan satu saluran tunggal sahaja? Bukankah lebih mudah?
Jika terhad untuk sesetengah negeri sahaja pun, maka pilih teruslah orang yang layak mendapat vaksin berdasarkan alamat yang didaftarkan.
Jika itu pun menggunakan asas siapa cepat dia dapat sekalipun, takkanlah sistem yang dibangunkan menggunakan jutaan ringgit duit rakyat tidak mampu mengesan siapa yang maklumatnya lengkap dahulu dan siapa yang lambat?
Takkanlah perlu jadi serumit sekarang untuk mendaftar vaksin dalam talian pada tahun 2021 ini? Kenapa perlu diwujudkan suatu tempat berasingan untuk sengaja orang berebut dalam suatu laman sesawang yang tidak cukup pelayan (server) untuk menampung permintaan yang amat tinggi seperti baru-baru ini?
Bukan sahaja ia menyusahkan rakyat, malah juga mengecewakan ramai pihak.
Malah jadi lebih memalukan ialah, rakyat terpaksa pula berebut-rebut untuk sesuatu yang melibatkan hidup dan mati. Mengapa rakyat perlu dimalukan sebegini rupa?
Maka penjelasan yang dipohon sekarang ialah semudah ini sahaja; mengapa perlu ada sistem pendaftaran vaksinasi dalam talian selain MySejahtera dan mengapa diwujudkan suasana rakyat terpaksa berebut untuk nyawa mereka?
Jika soalan di atas dapat dijawab, mungkin penulis boleh tidur dengan tenang selepas ini.
Wan Salman Wan Sallam
Aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia
Bandar Tun Razak