KUALA LUMPUR – Tokoh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Almarhum Hj. Shahrul Aman Mohd Saari telah terpilih sebagai salah seorang daripada lima penerima Anugerah Semangat Lim Lian Geok ke-38 bagi tahun ini.
Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Semangat Lim Lian Geok, Yow Lee Fung dalam satu sidang akhbar pengumuman senarai lima penerima anugerah itu pada Selasa lalu.
Menurutnya, sejak ditubuhkan pada tahun 1988, seramai 125 individu dan organisasi telah memenangi Anugerah Semangat Lim Lian Geok.
“Anugerah Semangat ditetapkan untuk memberi pujian kepada individu atau organisasi yang memberi sumbangan kepada budaya bangsa mahupun pendidikan bahasa ibunda,” jelas beliau.
– Yow Lee Fung, Pengerusi Jawatankuasa Anugerah Semangat Lim Lian Geok.
Kepimpinan Sederhana dan Keterangkuman
Menurut Yow Lee Fung , pemilihan Almarhum Shahrul Aman bagi anugerah itu atas dasar kepimpinannya dalam organisasi Muslim yang penuh keikhlasan dan keterangkuman, sikap sederhana dan terbuka, malah giat berusaha untuk menggalakkan interaksi antara kaum dan budaya dengan semangat kepelbagaian.
“Beliau tegas memperjuangkan pembaharuan sistem dan proses pilihan raya serta institusi-institusi negara yang lain, menegakkan keadilan masyarakat serta menambah baik tadbir urus organisasi,” ujarnya.
Tambah Yow Lee Fung, untuk mengekalkan prinsip-prinsip tersebut, Shahrul Aman sering memberi bimbingan kepada generasi muda serta memperluaskan jaringan kerjasama masyarakat sivil.
“Beliau merupakan perintis pergerakan masyarakat sivil yang disanjungi orang ramai,” katanya.
Inspirasi Buat Generasi Baharu
Pemilihan Almarhum Shahrul Aman sebagai penerima anugerah telah dicadangkan pencalonannya oleh Setiausaha Agung IKRAM, Mohd. Hafiz Abd. Hamid dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).
Menurut Hafiz, Almarhum adalah sahabat dan mentor kepadanya, serta seorang yang sangat komited dan banyak berkorban dalam perjuangan dan aktivisme NGO selama lebih 30 tahun.
Beliau adalah pencetus kepada projek IMPAK (Ibu Bapa Memastikan Akademik Anak) supaya dapat mengurangkan jumlah ‘drop out’ dalam kalangan anak-anak, terutamanya di sekolah rendah, “Jelasnya tentang sumbangan Shahrul Aman dalam pendidikan, termasuk pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pendidikan, Jelas Hafiz.
Beliau mengharapkan pencalonan Shahrul Aman dalam anugerah ini dapat memberikan contoh, teladan dan inspirasi kepada ramai orang untuk terus berjuang.
Tambahnya, walaupun bertarung lebih lapan bulan dengan penyakit kanser yang dialaminya, Almarhum tetap menjalankan tanggungjawab sebagai Setiausaha Agung sehingga ke nafas terakhir, antaranya menjemput pelbagai agensi, tokoh dan aktivis NGO ke Majlis Ramah Mesra Syawal IKRAM meskipun beliau tidak dapat menghadirinya.
Perjuangan dan Legasi Dalam Masyarakat Sivil
Di samping itu, Pengerusi BERSIH, Muhammad Faisal Abdul Aziz merakamkan penghargaan buat ahli panel penilai atas pemilihan Almarhum Shahrul Aman sebagai penerima anugerah.
“Arwah adalah penggerak gerakan massa BERSIH di saat genting terutama menjelang PRU 2018 ketika berperanan sebagai Pemangku Pengerusi BERSIH.”
Tambahnya, Shahrul Aman turut memimpin gerakan itu ketika Pengerusi Maria Chin Abdullah ditahan di bawah SOSMA pada tahun 2016.
“Perjuangan beliau membawa perubahan dan menolak kezaliman rejim pemerintah telah menempah seribu satu risiko dan cabaran. Semoga perjuangan beliau menjadi ikutan generasi hari ini dan akan datang,” ujarnya.
Legasi Untuk Diteruskan
Dapat disimpulkan, Almarhum Shahrul Aman dikenali dengan pendekatannya yang rasional, sederhana dan berteraskan tanggungjawab sosial.
Beliau memperjuangkan pengukuhan amalan demokrasi melalui ilmu, dialog dan pembaharuan institusi, sambil memainkan peranan penting sebagai jambatan antara dunia akademik dan masyarakat sivil.
Oleh itu, sumbangannya yang berterusan telah memberi impak mendalam terhadap perkembangan wacana awam dan demokrasi di Malaysia.
Semoga pemilihan Almarhum Shahrul Aman sebagai penerima Anugerah Semangat Lim Lian Geok dapat memberi inspirasi dan legasi berharga kepada semua akan kegigihan perjuangan dan pengorbanan beliau demi membangunkan masyarakat dan negara yang lebih adil dan sejahtera, insya-Allah.
Rujukan & Bacaan Lanjut
Baca juga di:
Pelihara Perpaduan Kaum, Kunci Keharmonian Negara




