Kekacauan pandemik Covid-19 yang berlaku sejak awal tahun ini telah banyak mengubah gaya hidup dalam setiap sudut kehidupan sama ada pekerjaan secara umumnya, kesihatan, ekonomi dan pendidikan.
Semua orang tidak terkecuali harus beradaptasi dengan setiap perubahan yang berlaku. Bahkan disebabkan itu, ada yang terjejas kualiti hidupnya secara total.
Setakat 28 Oktober tahun ini sahaja, dianggarkan sebanyak 90,000 pekerjaan telah hilang berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Ini belum lagi dilihat situasi yang berlaku dalam bidang pendidikan misalnya. Alangkah hebat tekanan dihadapi oleh para guru dalam sesi pengajaran dan pengurusan peperiksaan, cabaran pelajar bagi memahami pembelajaran secara jarak jauh dan kerisauan ibu bapa terhadap anak-anak mereka yang keciciran dalam belajar.
Perasaan sedih menempuh ujian yang menimpa, kerisauan terhadap kesempitan hidup dan ketidakpastian masa hadapan yang cerah ibarat bayang-bayang yang sentiasa mengekori manusia ke mana sahaja arah yang mereka pergi.
Lebih membimbangkan apabila semua emosi dan tekanan yang tidak terkawal tersebut menempias kepada orang sekeliling bahkan kepada mereka yang paling hampir seperti ahli keluarga dan anak-anak.
Maka tidak hairanlah jika ia serba sedikit ‘menyumbang’ dalam peningkatan kadar kes keganasan rumah tangga seperti yang dilaporkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sejak bulan Mac yang lalu iaitu sebanyak 1,929 aduan yang membabitkan kes keganasan fizikal, emosi dan seksual.
Justeru itu, pengendalian dalaman yakni emosi, mental dan spritual perlulah diambil berat sekurang-kurangnya dalam rangka mengelakkan masalah yang lebih buruk daripada berlaku.
Kesedihan hari semalam dan kerisauan masa hadapan
Dalam sebuah doa yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Abu Umamah RA untuk menghilangkan dukacita dan melangsaikan hutang, terdapat penggunaan kata al-Hamm dan al-Hazn yang signifikan untuk kita renungi. Berikut doa daripada hadis riwayat Abu Said al-Khudri mafhumnya:
..اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ…
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada kerisauan dan kesedihan…”
Setelah mengamalkan nasihat (doa) tersebut, Abu Umamah RA sedikit demi sedikit mula menjalani harinya tanpa dibelenggu rasa kesempitan dan kebimbangan. Bagaimana?
Apabila dilihat dari segi penggunaan istilah, perkataan al-Hamm bermaksud sesuatu perasaan (ketidakselesaan) yang dirasai disebabkan terlalu sibuk memikirkan masa hadapan. Manakala al-Hazn pula ialah perasaan sedih yang dirasai terhadap sesuatu masa yang telah berlalu.
Ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sebagai rahmat yang diutuskan kepada alam ini sangat mengerti bahawa pemikiran manusia seringkali sesak memikirkan kesedihan masa lalu dan kerisauan masa hadapan.
Secara asasnya, doa berperanan penting sebagai sumber kekuatan, kepercayaan dan tawakal seseorang hamba kepada Tuhannya dan menjadi sandaran dalam meminta perlindungan daripada perasaan yang mengganggu kehidupan.
Oleh itu, apakah sikap yang boleh diambil ketika mendepani al-Hazn (kesedihan) dan al-Hamm (kerisauan) dalam kehidupan seharian?
Membendung perasaan risau
Menurut Dale Carnegie dalam bukunya yang fenomenal iaitu ‘How to Stop Worrying and Start Living’, terdapat satu formula dalam membendung perasaan risau:
Pertama, mencari apakah kemungkinan terburuk yang akan berlaku disebabkan perkara yang dirisaukan.
Kedua, bersedia untuk menerima kemungkinan tersebut.
Ketiga, bersiap dalam memperbaiki dan menyelesaikan kemungkinan terburuk tersebut.
Formula ini jika dirumuskan, seseorang itu perlulah berdiri tegak dalam menghadapi apa jua perkara yang dirisaukan. Dalam pada itu, manusia secara tabiatnya tidak dapat membuat keputusan secara rasional apabila dikuasai emosi.
Ya, manusia perlukan ketenangan dalam berfikir yang hanya diperolehi setelah wujudnya kualiti penerimaan (reda).
Justeru dengan bersedia menghadapi setiap kemungkinan, kekuatan akal dan pemikiran dapat dioptimumkan. Sedangkan tindakan lari dan menghindar daripada kesusahan tidak akan membawa apa-apa penyelesaian, bahkan hanya menambahkan lagi resah dalam jiwa.
Menangisi perkara yang telah berlaku
Perasaan sedih terhadap sesuatu musibah, kesusahan dan kehilangan bukanlah suatu keanehan dalam beremosi yang perlu diabaikan sama sekali. Bahkan perasaan sedih termasuk emosi emosi utama manusia selain rasa gembira, marah dan ketakutan.
Yang penting ialah bagaimanakah tindakan yang diambil, sama ada pasrah lalu berdiam diri tanpa melakukan apa-apa atau bersabar lalu berjuang meneruskan kehidupan.
Kerana itu, langkah terbaik dalam mendepani kesedihan masa lalu ialah meneliti apa yang telah terjadi (sebagai suatu pengajaran) dan menyelesaikan apa yang sedang terjadi.
Sebaliknya, Islam melarang keras seseorang itu menoleh masa lalu untuk memperbaharui kesedihannya dan mengungkapkan kata “seandainya” atau “kalau” sebagai suatu tanda penyesalan. Jelas ini bukanlah sikap orang yang beriman.
Menjadi suatu yang sangat merugikan apabila banyak bahagian daripada kehidupan itu dirompak oleh perasaan sedih yang berlarutan. Sedangkan pena telah diangkat dan lembaran sudah pun kering, maka fokuslah pada apa yang boleh diubah.
Hiduplah untuk hari ini
Muhammad al-Ghazali dalam karyanya Jaddid Hayatak (Perbaharuilah Hidupmu) menimbulkan suatu persoalan, kenapa kita harus membiarkan fikiran kita dikekang keraguan dan dipermainkan kegelisahan? Sebaliknya hiduplah untuk hari dan saat ini, kerana itu lebih baik dan masuk akal.
Justifikasinya, seseorang itu perlulah mengerahkan tenaga dan kesungguhannya untuk memperelokkan urusan hari ini dengan menumpukan jiwa dan fikiran pada urusan yang sedang dilakukan.
Kesannya, banyak pekerjaan dapat disempurnakan di samping dapat menjadi penenang kepada diri untuk jauh daripada rasa risau dan sedih yang berterusan.
Laksana kata-kata seorang bijaksana:
“Yesterday is the past, tomorrow is the future, but today is the gift. Thats why it’s called the present.“
Sesungguhnya nilai kehidupan itu ada pada setiap detik, minit dan jam pada hari yang kita lalui sekarang ini. Jangan disebabkan masa lalu yang kita sesali atau masa hadapan yang belum pasti, kita mensia-siakan anugerah masa kini yang diberi hanya sekali.
Muhammad Iqbal Ahmad Safari
Mahasiswa Sarjana Muda Usuluddin dan Multimedia KUIS
Aktivis Belia Harmoni Putra Mahkota
Rujukan:
1. Perbaharui Hidupmu (Muhammad al-Ghazali)
2. How to Stop Worrying and Start Living (Dale Carnegie)
3. Seni Hidup Bahagia (Abdul Rahman al-Sa’di)
4. When Likes are not Enough (Tim Bono)
5. Harian Metro
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/639509/1929-aduan-keganasan-rumah-tangga-sejak-pkp
6. Berita Harian