Melalui media sosial, kita berhubung dengan teman atau saudara-mara, malah mereka yang tidak kita kenali sebelum ini. Kita berkongsi kehidupan seharian, berita serta maklumat dalam bentuk teks, gambar atau video. Media sosial juga menjadi medan berhibur dan mengisi masa lapang.
Selaras perkembangan pengaruh media sosial, ada yang mula berlumba-lumba menjadi orang pertama berkongsi maklumat atau berita terkini.
Namun, tidak semua maklumat di media sosial berstatus benar.
Tidak kurang juga menggunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu yang boleh membawa kepada pertelingkahan dan permusuhan.
Ada pula menggunakan troll untuk menyiarkan mesej dengan nada menyindir terhadap individu atau kumpulan. Suasana hangat apabila troll mendapat sambutan pengguna laman sosial, terutama melalui komen diberikan.
Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri baru-baru ini mengeluarkan hukum troll di media sosial. Menurut beliau, hukum asal menggunakan media sosial adalah harus jika tujuan dan kaedah penggunaannya tidak melanggar mana-mana hukum syarak.
Sebaliknya, jika digunakan dengan tujuan dan kaedah bertentangan hukum syarak seperti menjadikannya sebagai alat menyebarkan pendustaan, permusuhan dan perbalahan, maka hukumnya jatuh haram.
‘Troll’ menghina menyalahi syarak
Troll berunsur menghina, memperlekeh, menyindir, mengejek, menghasut, menyebarkan pendustaan, membangkitkan permusuhan, menyemai kebencian dan menjatuhkan maruah individu adalah perbuatan yang membawa ciri-ciri menyalahi syarak yang dilarang dan boleh membawa kepada dosa.
Justeru, penting untuk kita menjadi pengguna media sosial bertanggungjawab dengan memeriksa maklumat diperoleh, sebelum menyebar atau membuat kesimpulan.
Umpamanya, kita boleh memeriksa kesahihan sesuatu maklumat dengan merujuk sumber berita yang boleh dipercayai, seperti kenyataan atau portal rasmi dan lain-lain.
Pengguna media sosial bertanggungjawab dengan tindak tanduk di media sosial. Justeru, langkah tertentu mesti diambil untuk mengelak pertelingkahan atau perselisihan.
Ada maklumat benar, namun tidak semua boleh dipercayai. Pastikan maklumat yang ingin disebarkan diperiksa terlebih dahulu kesahihannya.
Lebih baik tidak berkongsi atau memberi komen kepada perkara yang tidak pasti kesahihannya. Perlu berhati-hati dalam menyebar maklumat diterima daripada media sosial dan tidak menjadi batu api yang mengeruhkan lagi keadaan.
Penting juga agar kita tidak menjadikan perbezaan pandangan mengenai sesuatu perkara sebagai sebab untuk menimbulkan permusuhan sesama insan, apatah lagi sesama Islam.
Dalam banyak keadaan, berdiam diri daripada memberi komen pada sesuatu troll mungkin tindakan lebih baik. Perkongsian daripada cybertrooper atau pemilik akaun media sosial yang tidak diketahui identiti sebenar jangan dilayan.
Tidak salah mengejar populariti, memperoleh mesej viral dan jumlah likes tinggi, namun janganlah sampai terjebak dalam perkara yang boleh membawa kepada dosa.
Penulis:
Mohamad Abdul Hamid
Yang Dipertua IKRAM Kawasan Bandar Tun Razak
Mahasiswa Sarjana Polisi Awam Universiti Malaya