Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengetuai barisan 13 anggota Kabinet tersebut yang turut disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Istiadat yang bermula pada 5.45 petang dengan penerimaan surat cara pelantikan oleh Dr Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri wanita yang pertama di negara ini melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif, dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Turut mengangkat sumpah berkenaan ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Menteri Dalam Negeri; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sebagai Menteri Kewangan; dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, sebagai Menteri Pertahanan.
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, pula mengangkat sumpah sebagai Menteri Pendidikan; Ahli Parlimen Titiwangsa, Rina Mohd Harun (Menteri Pembangunan Luar Bandar); Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi); Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan); dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke (Menteri Pengangkutan).
Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia; Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran (Menteri Tenaga Manusia); Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani); dan Pengarah Strategi AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan), turut mengangkat sumpah.
Dalam perkembangan berkaitan, mereka turut menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Raus dan Ali.
Istiadat itu berakhir dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Sebelumnya, pada 10 Mei lepas, Tun Dr Mahathir Mohamad, 92, telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh, sehari selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menyaksikan tamatnya pemerintahan 61 tahun Barisan Nasional.
Dr Mahathir dijangka menamakan anggota Kabinet yang seterusnya secara berperingkat.
Kredit foto: Kosmo