Ancaman Keselamatan Siber: Anak Kita Sedang Diburu

Kita bimbang anak-anak diculik di lorong sunyi, diintai oleh pemangsa yang berselindung di sebalik semak atau didekati oleh penjenayah yang menghulurkan dadah.

Kerisauan ini berasas, tetapi hari ini, bentuk ancaman terhadap kanak-kanak sudah berevolusi dengan cara lebih halus, lebih pintar dan lebih senyap melalui mesej mesra, emoji comel dan profil media sosial yang berpura-pura menjadi rakan sebaya kepada anak-anak. 

Penjenayah tidak lagi memerlukan kunci untuk masuk ke rumah. Penjenayah hari ini tidak perlu lagi berada di luar rumah. Mereka tidak perlu memegang pisau atau mendekati pagar sekolah. Cukup sekadar memegang papan kekunci.

Mereka masuk ke ruang peribadi anak-anak kita melalui skrin telefon pintar, aplikasi sosial dan permainan maya. Mereka menyamar sebagai rakan, idola atau “orang baik” yang kononnya mengambil berat. Kegiatan pemangsa ini dikenali sebagai “grooming”  atau pengatunan.

Pengatunan merujuk kepada proses seorang pemangsa membina hubungan, kepercayaan dan keterikatan emosi dengan seseorang terutamanya kanak-kanak atau remaja dengan niat untuk mengeksploitasi mangsa. 

Eksploitasi ini biasanya bersifat seksual, tetapi juga boleh melibatkan penyalahgunaan emosi, eksploitasi jenayah, pemerdagangan manusia atau jenayah lain. Proses ini boleh berlaku dalam beberapa hari, minggu, berbulan-bulan atau bahkan bertahun-tahun tanpa disedari oleh ibu bapa.

Penjenayah grooming sangat licik. Mereka sering menyasarkan kanak-kanak yang kelihatan sunyi, lemah atau kurang perhatian daripada keluarga. Ramai penjenayah menggunakan taktik “mesra” untuk mendekati mangsa.

Mereka tidak mengugut, tetapi memujuk. Mereka tidak menakutkan, tetapi mengambil hati. Dalam banyak kes, mereka menjalin hubungan emosi terlebih dahulu iaitu memberi perhatian, pujian atau tempat meluah perasaan.

Apabila kepercayaan sudah terbina, maka eksploitasi akan bermula sama ada dengan menghantar gambar tidak senonoh, mengajak berjumpa atau memeras ugut. Tindakan seperti ini adalah salah satu jenayah yang disasarkan kepada kanak-kanak di media sosial.

Kajian oleh UNICEF Malaysia dalam laporan Our Lives Online (2020) mendedahkan bahawa 92% remaja Malaysia berumur 13 hingga 17 tahun mempunyai akaun media sosial.

Majoritinya aktif menggunakan aplikasi seperti Instagram, WhatsApp, Facebook Messenger dan TikTok. Di sinilah penjenayah memerhatikan dan menunggu mangsa mereka.

Kenapa kanak-kanak jadi sasaran? 

Soalnya, mengapa penjenayah menyasarkan kanak-kanak dan remaja? Jawapannya mudah iaitu kerana mereka mudah dipengaruhi.

Kanak-kanak dan remaja masih dalam proses mengenal dunia, mencari identiti, masih mentah dari segi emosi dan pemikiran serta sering kali berada dalam keadaan sunyi, terasing atau terbiar dalam dunia digital mereka. 

Dalam dunia jenayah digital, mereka dianggap sebagai sasaran lunak iaitu mudah dipancing, mudah dikawal dan jika dilatih, boleh dijadikan alat bagi menjalankan perniagaan haram seperti pengedaran dadah, eksploitasi seksual serta kegiatan samseng.

Usia mereka yang masih mentah menjadikan mereka sasaran ideal kerana tidak hanya mudah dipengaruhi, tetapi juga berpotensi menjadi pelanggan setia kepada industri gelap.

Ketagihan terhadap pornografi, permainan maya, dadah, rokok dan vape bukan sekadar gejala, tetapi strategi yang disengajakan untuk memastikan mereka terus terjerat dalam kitaran konsumsi yang tidak berpenghujung. 

Maka wujudlah generasi yang dibentuk bukan oleh nilai, tetapi oleh algoritma, nafsu dan manipulasi yang menjadi satu aset lumayan bagi penjenayah yang mahu bisnes gelap mereka terus hidup, berkembang dan berakar dalam masyarakat.

UNICEF melaporkan bahawa 70% daripada kanak-kanak dalam kajian mereka pernah mengalami sesuatu yang membuat mereka rasa terganggu secara emosi semasa menggunakan internet.

Lebih membimbangkan, dua daripada lima kanak-kanak mengaku pernah mengalami sesuatu yang sangat buruk sehingga mereka tidak mahu memberitahu sesiapa pun.

UNICEF juga mendedahkan bahawa remaja sering mempunyai lebih daripada satu akaun media sosial iaitu satu untuk ibu bapa lihat, satu lagi untuk rakan-rakan dan kadangkala akaun rahsia untuk kekasih. Dalam akaun inilah, mereka berkongsi perkara-perkara peribadi yang menjadi ruang masuk kepada manipulasi. 

Paling membimbangkan ialah mesej, gambar dan video berunsur seksual daripada individu tidak dikenali, yang dihantar kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan secara rawak dan tanpa kerelaan.

Walaupun ramai yang terus menyekat penghantar tetapi ada juga yang membalas mesej tersebut tanpa menyedari bahawa tindak balas itu membuka ruang kepada manipulasi lebih serius.

Apa yang boleh kita lakukan?

Fenomena ini bukan kisah luar negara tetapi boleh berlaku dalam rumah kita dengan mudah, di skrin yang anak kita tatap setiap hari. Masalah ini bukan milik anak-anak sahaja. Ia adalah tanggungjawab bersama. Ibu bapa, pendidik, pembuat dasar, komuniti dan syarikat teknologi ada peranan penting dalam membina ekosistem digital yang lebih selamat.

Kemahiran digital perlu disepadukan dengan kemahiran hidup lain seperti pengurusan emosi, keupayaan membuat keputusan dan kemampuan menyelesaikan konflik. Kita tidak boleh sekadar berharap anak-anak “pandai-pandai jaga diri” sedangkan dunia yang mereka hadapi jauh lebih kompleks daripada zaman kita dahulu. 

Mereka tidak berdepan dengan manusia yang mudah dikenali niatnya, tetapi berhadapan dengan identiti maya yang boleh bertukar-tukar seperti topeng. Hari ini “abang baik” yang ajak main game, esoknya menjadi “kakak” yang konon memahami masalah keluarga. Lusa, berubah pula menjadi pengikut misteri yang tahu lokasi sekolah dan rumah mereka.

Apa yang lebih menggerunkan ialah kebanyakan kanak-kanak dan remaja tidak menganggap interaksi dalam talian sebagai sesuatu yang berbahaya. Mereka membesar dalam suasana normalisasi konten seksual, bahasa kesat, jenaka lucah dan “content creator” yang meraih perhatian dengan gelagat ekstrem.

Budaya ini perlahan-lahan membentuk batas moral yang kabur dan ini sesuatu yang tidak sepatutnya menjadi kebiasaan yang akhirnya diterima sebagai norma.

Justeru, peranan pendidikan bukan sekadar menyampaikan fakta keselamatan digital, tetapi perlu menyentuh aspek nilai dan integriti diri. Anak-anak perlu diajar untuk kenal harga diri, tahu batas privasi dan berani berkata tidak walaupun kepada orang yang mereka sayang atau kagumi. 

Di sinilah pendidikan rohani, emosi dan sosial perlu diseimbangkan. Kita tidak cukup hanya mengajar mereka “jangan kongsi maklumat peribadi”, tetapi perlu  juga mengajar kenapa maruah diri itu penting dan tidak boleh dikompromi walaupun dalam dunia maya.

Dalam masa sama, ibu bapa juga mesti mengubah pendekatan. Daripada hanya memantau, kita perlu menjadi sahabat digital kepada anak-anak. Kita tidak boleh melindungi mereka selama-lamanya, tetapi kita boleh bekalkan mereka dengan kompas moral yang kuat agar mereka tahu arah, walaupun dalam kegelapan.

Pendekatan keselamatan digital tidak hanya perlu tertumpu kepada mengawal, tetapi mendidik dan memperkasakan kanak-kanak agar mampu membuat keputusan bijak dalam talian.

Syarikat teknologi juga tidak boleh “lepas tangan”. Algoritma media sosial hari ini direka untuk menarik perhatian, bukan melindungi emosi. Mereka perlu lebih agresif menyaring kandungan, menapis akaun mencurigakan dan menyediakan platform laporan atau aduan yang lebih mesra pengguna serta memberikan respons yang pantas. 

Kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam membanteras pornografi kanak-kanak, pemerasan seksual dan eksploitasi digital perlu diperhebat.

Sebagai komuniti, kita juga perlu lebih peka. Jangan biar budaya “jaga tepi kain sendiri” menutup mata kita terhadap anak jiran yang kelihatan murung, berubah menjadi pendiam atau menunjukkan kelainan. Kadangkala, keprihatinan boleh menyelamatkan masa depan mereka.

Masalah jenayah digital terhadap kanak-kanak ini mungkin kelihatan seperti masalah sunyi kerana tiada jeritan, tidak nampak luka dan tiada bukti fizikal.

Tetapi kesannya dalam jiwa dan kehidupan seorang anak boleh menghancurkan masa depan seluruh generasi. Jika kita gagal melindungi anak-anak hari ini, kita sedang membiarkan benih krisis sosial masa depan tumbuh dalam diam.

Maka, tugas ibu bapa mahupun penjaga bukan sahaja mengunci pintu rumah, tetapi juga menjaga pintu emosi dan digital anak-anak. Dunia hari ini memerlukan bukan hanya ibu bapa yang prihatin, tetapi masyarakat yang celik, sistem yang tegas dan teknologi yang beretika. 

Demi anak-anak, jangan tunggu sehingga mereka terpaksa menjerit minta tolong. Bertindaklah sebelum mereka hilang arah dalam gelap dunia siber yang penuh perangkap.

Basmin Maarof
Pegawai Kanan
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia