Bajet 2022 dari tiga perspektif

SERI KEMBANGAN – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah mengambil inisiatif menganjurkan forum Analisis yang bertajuk ‘Bajet 2022 Dari Perspektif Pembinaan Negara’ dalam konteks sosial, ekonomi, dan sains dan teknologi pada Ahad secara dalam talian.

 

Forum ini mengetengahkan tiga ahli panel pakar dalam bidang masing-masing iaitu pensyarah Fakulti Bisnes dan Ekonomi Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Nazari Ismail, Naib Presiden Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM), Hj Ainullotfi Abdul Latif dan Pengerusi Persatuan Akademia IKRAM Malaysia (IKRAM Academia), Prof Dr Sahrim Ahmad serta dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif ARBA Foundation, Ustaz Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator.

 

Timbalan Presiden IKRAM, Hj Badlishah Sham Baharin dalam ucapan khasnya berkata, IKRAM berhasrat menjadikan Malaysia sebuah Negara Rahmah, yang bermaksud negara yang aman, makmur, sejahtera, kebenaran dan keadilan ditegakkan dengan erti kata yang sebenarnya.

 

“Kerajaan pula berperanan memimpin dan menjaga kepentingan semua. Rakyat yang pelbagai etnik dan agama hidup bersama dengan harmoni. Masyarakat jadi terdidik, berakhlak mulia dan penyayang. Golongan yang memerlukan diberi perhatian dan dibantu.”

 

Sementara itu, mereka yang berpotensi menurutnya, berpeluang merealisasikan bakat dan kebolehannya.

 

“IKRAM yakin bahawa wawasan murni ini menjadi impian semua rakyat Malaysia tidak kira keturunan, anutan mahukan negara yang tercinta ini menjadi sebuah negara yang lebih baik, sebuah negara mithali kepada masyarakat antarabangsa.”

 

Oleh yang demikian, untuk memulakan langkah yang murni ini, IKRAM berusaha menjelaskan melalui 12 ciri untuk menggambarkan keadaan sesebuah negara dari aspek kepimpinan, tadbir urus, sistem politik, sistem ekonomi, khidmat terhadap rakyat serta hubungan antarabangsa.

 

“IKRAM menampilkan analisis bajet yang lain daripada yang lain, iaitu kita ingin melihat dari perspektif pembinaan negara. Jadi kita akan kaitkan bajet ini dengan ciri-ciri tersebut. Kalau dari segi IKRAM adalah berkaitan pembinaan sebuah negara yang rahmah,” jelas Badlishah.

 

Beliau berkata, biasanya bajet akan dibincangkan dari sudut perniagaan, korporat, kesan kepada pelaburan dan sebagainya, tetapi IKRAM ingin menjangkau lebih daripada itu.

 

“Kita ingin melihat bagaimana impaknya bajet ini kepada kesejahteraan sesebuah negara, kesannya kepada jaringan sosial di antara masyarakat, bagaimana impaknya kepada perpaduan sesebuah negara, bagaimana impaknya kepada penjanaan kerja dan juga impaknya kepada ilmu serta pendidikan khususnya sains, teknologi, inovasi dan ekonomi.”

 

IKRAM juga ingin melihat bajet ini dari pendekatan sebuah negara, pendekatan yang lebih holistik, menyeluruh, komprehensif.

 

“Bila kita tengok kepada setiap sektor, peruntukan yang diberikan dalam bajet ini, kita tidak sepatutnya hanya melihat kepada nombor atau angka sahaja kerana setiap perkara ketika bajet itu diperuntukkan, memerlukan pandangan, analisa, dalam pelbagai sudut, dimensi dan perspektif.”

 

Dr Mohd Nazari berkata, dalam melihat kepada bajet ini, jangan dilihat kepada apa untuk didapatkan.

 

“Kita tidak boleh lihat kepada habuan yang kita dapat. Sepatutnya kita perlu tengok, apakah kesan bajet ini kepada masyarakat secara keseluruhan dan juga dalam masa panjang?”

 

Beliau turut menjelaskan hakikat sebenarnya, ialah hampir 30 peratus bajet ini adalah akan datang daripada duit yang dipinjam iaitu bersamaan RM98.1 bilion, atau 29.5 peratus daripada jumlah keseluruhan bajet.

 

“Ini adalah tahun ke-25 berturut-turut kerajaan berbelanja lebih daripada pendapatan yang akhirnya menjadikan hutang tertunggak kerajaan melebihi RM1,000 bilion atau bersamaan RM1 trilion,” jelas Dr Mohd Nazari.

 

Tambahnya lagi, kebanyakan hutang tersebut tidak halal kerana ia dalam bon kerajaan yang ada interest (faedah) dan sebagai seorang Islam, sewajarnya berasa bimbang.

 

“Manakala, sebanyak 43 bilion adalah untuk membayar interest bersamaan 13 peratus untuk membayar interest sahaja.”

 

Dalam pada itu, beliau menyifatkan bahawa kerajaan sebelum ini tidak berminat melunaskan hutang tertunggak ini.

 

“Apabila sampai masa bayar hutang, kerajaan akan buat hutang baru.”

 

Dalam pada itu, Ainullotfi berkata, golongan B40 perlu lebih diberikan bantuan untuk meningkatkan kemahiran mereka.

 

“(Bantuan) bukan sahaja dalam bentuk pendidikan formal. Sebagai contoh, peniaga-peniaga kecil, bukan memberikan geran sahaja (kepada mereka), tetapi membantu dalam konteks peningkatan kemahiran, servis dan sebagainya.”

 

Sementara itu, Dr Sahrim pula berkata, walaupun peruntukan untuk Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dikatakan tinggi dalam Bajet 2022, namun bagi beliau, ia masih rendah kerana STI dilihat sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi negara.

 

“Ia bukan sahaja aspek yang melibatkan penyelidikan semata-mata, tetapi ia melibatkan dalam aspek bagaimana kita dapat meningkatkan dari segi inovasi, produk baru, latihan, menggunakan teknologi dalam industri. Ini adalah aspek yang berkaitan langsung apabila kita berbicara aspek STI,” tegasnya.

 

Sebelumnya pada 29 Oktober 2021, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah membentangkan Belanjawan 2022 yang terbesar dalam sejarah Malaysia.

 

Dengan peruntukan sebanyak RM332.1 bilion, ia dipecahkan kepada belanja mengurus RM233.5 bilion, RM75.6 bilion untuk belanja pembangunan, RM23 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19 dan RM2 bilion disediakan sebagai simpanan luar jangka.

 

Bajet yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ mempunyai tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan beserta tiga fokus induk iaitu Rakyat yang Sejahtera, Perniagaan yang Berdaya Tahan, dan Ekonomi yang Makmur dan Mampan.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia