Dalam era kehidupan manusia hari ini, anak-anak muda berdepan dengan pelbagai cabaran yang didasari oleh perkembangan pesat globalisasi yang seakan tidak dapat ditahan.
Daripada perkembangan ini, generasi baru dihidangkan dengan corak kehidupan yang juga pelbagai termasuk bentuk yang terlalu asing daripada latar belakang kehidupan tempatan. Bukan sahaja kepercayaan dan nilai bertembung dengan asas fahaman, tetapi jati diri dan estim diri juga boleh tergugat.
Ibu bapa pula bersusah-susah untuk memastikan tiada anak yang tercicir, rosak peribadi dan keliru pemikirannya. Anak-anak hari ini dibesarkan dalam suasana yang kadang-kadang tidak menentu.
Selain ibu bapa, guru dan rakan sebaya, mereka kini mempunyai akses kepada kumpulan manusia yang lain dan pelbagai. Antara mereka adalah orang-orang yang baik dan sebahagian lagi mungkin menjadi hasutan atau sumber ikutan yang boleh dipersoalkan.
Desakan untuk membina keluarga utuh menjadi semakin dirasai terutama dalam kalangan ibu bapa muda. Mendapat anak dalam suasana keperluan ekonomi menuntut ramai isteri turut bekerja atau berniaga.
Keadaan ini telah menyebabkan aspek asuhan dan didikan anak terpaksa diubah suai daripada kaedah lumrah dalam sebuah keluarga nuklear.
Sebahagian anak-anak membesar bersama pengasuh yang sedikit sebanyak akan mempengaruhi diri mereka. Ada juga anak-anak yang belajar berdikari pada usia yang kecil untuk menyokong usaha dan pengorbanan ibu bapa.
Justeru apakah sifat dan bentuk generasi baru yang dihasilkan oleh suasana hari ini?
Semua ibu bapa inginkan anak-anak mereka membesar menjadi individu yang baik, sihat, mempunyai jati diri, estim diri yang tinggi, menghormati orang tua dan mengekalkan budaya serta identiti diri.
Untuk tujuan itu, ibu bapa perlulah sentiasa mengingati dan melaksanakan tanggungjawab kepada keluarga. Dengan cara itu, anak-anak akan memberi penghormatannya dan patuh serta bertanggungjawab kepada kedua-dua ibu bapa.
Dalam semua budaya aspek kebertanggungjawaban, suami isteri digarisi dengan kepercayaan dan amalan turun-temurun yang telah berjaya mengekalkan keharmonian masyarakat.
Bagi orang-orang Islam, suami mempunyai tanggungjawab tertentu terhadap isteri. Isteri juga mempunyai tanggungjawab tertentu kepada suami.
Namun, terdapat tanggungjawab yang dikongsi bersama oleh kedua-dua mereka. Salah satu daripadanya ialah menjaga aib pasangan.
Apabila aib pasangan yang boleh terjadi dari kekurangan fizikal, emosi, psikologikal atau kelakuan didedahkan, maka kedua-duanya akan mendapat malu. Yang lebih menyedihkan ialah kesan tersebut juga dirasai malah lebih lagi oleh anak-anak.
Suami isteri yang tidak prihatin kepada pergolakan dalam keluarga dibimbangi akan membiarkan keluarganya melalui hari-hari dengan perkara yang boleh menggugat kesejahteraan.
Kesibukan memenuhi tuntutan mencari rezeki dan kesukaan yang lain boleh menggesa anak-anak terutamanya remaja mencari ruang lain untuk berhibur dan memenuhi tuntutan nafsu.
Dengan adanya pelbagai sumber yang boleh diperolehi dengan mudah dan pantas secara digital hari ini, anak-anak remaja mempunyai banyak pilihan untuk berhibur.
Mereka juga tidak tersisih daripada mengikuti gelombang hiburan antarabangsa tanpa mempersoalkan sama ada kandungan yang dibawa gelombang itu sesuai untuk dirinya atau tidak.
Minat mereka ini boleh mengaburkan pemikiran dan bertukar menjadi satu bentuk kegilaan dan ketagihan.
Jika ada ibu bapa yang mendapati anak-anaknya kini terdedah kepada unsur-unsur yang negatif, ibu bapa mestilah berperanan dan menasihati anak-anak agar mereka tidak terjerumus ke lembah yang tidak diingini.
Sokongan dan belaian daripada kedua-dua ibu bapa amat diperlukan. Sebelum apa-apa tindakan ekstrem diambil ke atas anak-anak ini, ibu bapa mestilah bersama-sama menilai kembali tanggungjawab mereka.
Nilai semula bagaimana anak-anak boleh sampai ke tahap cabaran yang dirasai. Hadapilah cabaran itu sebagai ibu bapa yang berkongsi misi untuk mendidik anak-anak dengan lebih baik.
Janganlah pula masing-masing menuding jari sesama sendiri sehingga tergamak untuk membuka aib pasangan atau anak-anak. Anak-anak akan memerhatikan tindakan ibu bapanya.
Jika ada ibu bapa yang menjadi tepu dan berasa tidak berdaya untuk menyelesaikan masalah atau tidak menemukan punca masalah, dapatkanlah bantuan.
Tidak semua orang dikurniakan keupayaan atau kebolehan yang sama. Janganlah sifat ego atau merasakan diri hebat menjadi penghalang kepada ibu bapa mempertahankan estim diri dan jati diri anak-anak.
Ibu bapa perlu sedar bahawa anak-anak remaja membina minat dengan apa yang mereka alami. Sifat logik anak-anak tidak tumbuh dengan cepat seperti emosi.
Ada anak-anak remaja yang matang fikiran logiknya setelah menjangkau usia 23 tahun. Sementara itu, sebenarnya mereka memerlukan sokongan ibu bapa untuk menyatakan yang baik dan buruk.
Buka dan kekalkanlah saluran perbincangan dengan anak-anak sambil menghormati pandangan mereka, mudah-mudahan mereka juga akan menghormati saranan ibu bapa.
Rozalli Hashim
Ketua Kumpulan Fokus Institusi Keluarga Utuh
Kluster Masyarakat Progresif
Pertubuhan IKRAM Malaysia