Anak adalah anugerah. Namun, memiliki anak yang tergolong sebagai anak OKU atau orang kurang upaya mahupun istimewa ini kadangkala jauh di sudut sanubari tidak ramai yang dapat menerima kehadiran anak yang sebegitu dalam kehidupan.
Mempunyai anak yang istimewa ini kadangkala seakan memberi bebanan kepada keluarga dan tekanan kepada ibu bapa. Tidak ramai ibu bapa dan keluarga serta masyarakat setempat dapat menerima kehadiran anak-anak yang sedemikian.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 2014, orang kurang upaya adalah kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat ataupun terhalang pergerakan oleh keadaan fizikal atau mental daripada melakukan aktiviti aktiviti yang boleh dilakukan oleh orang yang normal.
Orang kurang upaya juga adalah seseorang yang mempunyai kekurangan jangka panjang dari segi fizikal, mental intelektual atau deria.
Ada pelbagai jenis kurang upaya iaitu pendengaran, penglihatan, pertuturan, fizikal, pembelajaran, mental dan pelbagai (multiple disabilities).
Anak OKU adalah anugerah, amanah, ganjaran dan penyelamat kepada ibu bapa yang telah dikurniakan anak-anak yang istimewa ini. Namun, hanya sebilangan kecil yang dapat menerima dan reda akan kehadiran anak-anak yang istimewa ini.
Kelahiran anak istimewa bukan atas kehendak mereka sendiri, perjalanan takdir mereka telah ditentukan sejak azali. Namun, kekurangan itu sering menjadi penyebab kepada ibu bapa tidak menerima dan menghargai mereka warga kurang upaya ini.
OKU juga mempunyai hak untuk menerima keistimewaan dan layanan yang sama rata dengan anak-anak yang normal. Namun, apabila kelahiran mereka tidak seperti yang dijangka, ramai ibu bapa golongan OKU menyembunyikan kelahiran anak-anak OKU tersebut dengan alasan malu, tidak mampu dan sebagainya.
Seharusnya apabila mereka lahir, ibu bapa atau penjaga harus bertanggungjawab dalam segala hal termasuk menghantar ke pusat pendidikan yang terpilih, memberi segala kelengkapan dan keperluan yang sewajarnya.
Namun ada ibu bapa yang tidak menjaga amanah dengan bertanggungjawab, malah mengambil sikap mengasingkan anak-anak OKU, memanjakan dengan langsung tidak memberi peluang mereka belajar berdikari, mengurung mereka di rumah, meninggalkannya seorang diri tanpa pengawasan, tidak memberi makanan dan keperluan lain kepada mereka adalah tindakan yang tidak wajar, tetapi itulah yang terjadi dalam masyarakat kita pada hari ini.
Apabila keperluan-keperluan yang seharusnya anak-anak istemewa ini terima tidak dilaksanakan dengan baik, maka terjadilah insiden anak-anak OKU yang bertindak agersif dan memberontak.
Mereka juga menjadi ganas dan tidak mahu berkerjasama dengan baik kerana para ibu bapa tidak memberikan kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya serta tidak memberi keperluan makanan yang sesuai.
Jika mereka diberi pendidikan dan perhatian yang sewajarnya, mereka mampu juga menjadi anak-anak OKU yang sihat dan dapat mendengar arahan dengan baik serta mampu menguruskan diri sendiri dengan baik.
Akan tetapi, persekitaran sekeliling yang sihat dapat mempercepatkan pertumbuhan positif anak-anak OKU ini, mereka juga mahukan kata-kata semangat dan ruang untuk bercampur serta bergaul dengan masyarakat komuniti setempat.
Dengan pergaulan yang sihat dalam komuniti, ia dapat membina pembentukan minda dan sahsiah jati diri yang baik terhadap anak-anak OKU tersebut di samping memberi ruang terhadap mereka serta memberi peluang menjalani aktiviti sepertimana masyarakat tipikal di luar kelompok OKU.
Selain itu, kanak-kanak mahupun golongan OKU dapat berkenalan dan beramah mesra serta mewujudkan semangat kekeluargaan antara komuniti setempat.
Dengan pendedahan dunia luar yang sangat baik, ia dapat memberikan anak anak istemewa ini suatu perasaan dihargai, disayangi dan memberikan mereka semangat untuk mereka terus hidup dengan suasana yang harmoni dan sihat.
Mereka juga golongan yang perlu dilindungi dan diberi hak yang sewajarnya sama dengan golongan normal , harus juga dilindungi dari penderaan, menjadi eksploitasi , golongan oku juga tidak wajar dijadikan bahan untuk di eksploitasi untuk mengaut keuntungan seperti pengemis bagi meraih simpati mengaut keuntungan.
Ada segelintir golongan yang mengambil kesempatan mengeksploitasi OKU dengan menjadikan mereka pengemis dan diletakkan di pasar malam, pasar tani dan di tepi-tepi jalan bertujuan meraih simpati dan menjana keuntungan. Para pengunjung yang mempunyai perasaan simpati kebiasaannya begitu mudah menghulurkan sumbangan dan derma.
Akan tetapi, tahukah kita bahawa itu bukanlah cara yang terbaik membantu golongan tersebut tetapi dengan menghubungi pihak yang berwajib supaya golongan OKU dapat diberikan perlindungan dan hak yang sewajarnya.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah memperluas dan membangunkan perkhidmatan talian kasih yang mana ia adalah antara program yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengekang kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak, malah telah diperluas bagi melindungi OKU dan warga emas.
Talian Kasih beroperasi 24 jam sehari bagi menangani pelbagai isu dan aduan yang boleh dihubungi di talian 15999 atau Whatsapp di talian 019-2915999. Melalui talian ini, ia dapat membantu melindungi dan menyelamatkan golongan-golongan ini dengan baik.
Bagi anak-anak OKU yang boleh menguruskan diri dan mampu menerima arahan dengan baik, mereka juga berhak untuk bekerja sendiri. Mereka seharusnya diberi peluang bagi menyara kehidupan seharian, perlu diberi hak kesamarataan mengikut kedudukan dan pencapaian dan kemahiran.
Oleh yang demikian, OKU bukanlah satu bebanan akan tetapi adalah amanah, malah ia akan membuka pintu-pintu kebaikan dan rahmat buat para ibu bapa serta guru yang telah menjaga mereka dengan baik. Ia juga suatu ujian yang mempunyai hikmah yang tinggi yang mana anak-anak istimewa ini mempunyai rezeki yang telah ditentukan oleh Allah.
Ketidaksempurnaan mereka bukanlah sesuatu yang disengajakan mahupun diminta diciptakan sebegitu, akan tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul dan sebuah pemberian yang harus dijaga dan diberi penuh kasih sayang yang sewajarnya. Segala ketentuan adalah datangnya daripada Allah SWT yang Maha Kuasa.
Ada sebab mengapa mereka diuji dan diberi ujian sedemikian. Segalanya berbalik atas keredaan kerana hanya mereka yang telah dikehendaki Allah sahaja akan menerima ujian yang penuh hikmah ini. Ia juga adalah hikmah tersurat dan tersirat yang hanya diketahui perjalanannya telah diatur baik oleh Allah SWT.
Bagi ibu bapa yang diuji ini adalah suatu tiket atau perjanjian bahawa apa yang telah diaturkan Allah adalah sesuatu hikmah yang mungkin menjadi asbab membuka pintu-pintu kebaikan.
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Al-Israa’: 70)
Noraini Jaafar