Anak Muda Ikut Trend Berhutang: Kawal, Jangan Boros!

Di Malaysia, semakin ramai anak muda meneroka dunia kewangan secara digital dengan membuka akaun bank digital, menggunakan e-dompet, hinggalah BNPL (Buy Now, Pay Later).

Menurut laporan Kementerian Kewangan, nilai transaksi BNPL telah mencapai RM9.3 bilion dalam enam bulan pertama 2025, meningkat daripada RM7.1 bilion pada separuh tahun kedua 2024. Ia melibatkan lebih 6.5 juta akaun aktif, majoritinya mereka yang berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan.

Walaupun data ini menarik, persoalannya, sejauh mana anak muda kita benar-benar faham implikasi di sebalik angka besar ini? Di hujungnya, generasi ini mudah terjebak pada kemudahan kredit dan transaksi tanpa penilaian kemampuan.

Bukan semua faham erti “bayar esok”, ansuran atau kena faedah apabila lambat bayar. Inilah budaya “cicil-cicil, janji lepas” yang kalau tidak ditangani boleh mencemari masa depan modal insan negara.

Dopamin murah harganya

BNPL memberi ruang membeli “tanpa rasa sakit”. Harga RM500 sudah menjadi RM100 x 5. Itu bukan pembelian, tetapi dorongan tanpa kawalan. Dalam kajian, penggunaan BNPL menggalakkan impulse buying dengan rendahnya kesedaran kos sebenar dan tiadanya perancangan jangka panjang.

Gaya hidup anak muda kita kini dikuasai oleh media sosial. Dengan menonton seorang TikToker memakai kasut mahal, esoknya kita ikut membeli. 

Mikrodopamin daripada “like” dan “comment” memperkuat keperluan untuk tampil “up-to-date”. Apabila rezeki baru masuk, impuls terus terarah ke platform BNPL, dan pada hujung bulan, mereka stres fikir bil-bil yang menghambat.

Biar papa asal bergaya

Biar papa asal bergaya, satu ungkapan yang lazim dalam kalangan anak muda. Mereka menganggap imej itu penting di mata rakan, warga net dan masyarakat. 

Mereka rela berhutang untuk bergaya, walaupun kemampuan tiada. Data menonjol: 73% pengguna BNPL berada dalam golongan B40 dan pendapatan kurang RM5,000 sebulan.

Contohnya, keluarga berpendapatan RM3,000 sebulan menanggung bil-bil sebanyak RM300, sewa RM700, baki tinggal RM2,000. Tapi apabila melihat rakan beli telefon pintar baharu dengan BNPL RM150 sebulan, mereka ikut sama, walhal pada akhir tempoh, gaji habis untuk tunggakan, bukan tabung pendidikan anak. 

Keadaan ini menjurus kepada “gaya hidup kredit” dan situasi hutang “keperluan sosial” lebih diutamakan berbanding keperluan asas seperti pendidikan, makanan sihat atau perlindungan insurans.

Keadaan kewangan dan simpanan yang kian menakutkan

Hutang BNPL mungkin masih kecil, cuma 0.2% daripada jumlah hutang isi rumah (RM1.63 trilion), tapi hutang peribadi keseluruhannya sudah mencapai RM8.82 bilion menjelang Januari 2025.

RM8.82 bilion bukan angka kecil. Apabila hutang semakin besar, simpanan rakyat semakin menipis. Kadar simpanan isi rumah Malaysia pun jatuh dan lebih ramai hidup bergantung pada kredit jangka pendek.

Pada era kos hidup tinggi, gaji RM4,000 mungkin cukup untuk bulan pertama, tapi hutang BNPL mungkin RM300, ansuran pinjaman RM200, bil kereta RM500… semua ini bakal melenyapkan simpanan.

Jika ditambah dengan 5% – 10% modal kecemasan, kita mulai berada di ambang ketakutan tidak bersedia sekiranya berlaku situasi kecemasan seperti kehilangan kerja atau sakit kronik yang serius.

Didik komuniti

Melalui Yayasan Ikram Malaysia, pelbagai modul dan kelas pendidikan disediakan dalam projek pembangunan komuniti seperti Program IMPAK (Ibu Bapa Memastikan Peningkatan Akademik Anak-anak) dan Program Memperkasakan Kehidupan Komuniti Bandar (PERKASA).

Antara modul yang ditawarkan termasuk kemahiran pengurusan kewangan, penyelesaian masalah, latihan pengurusan perniagaan serta pembinaan rangkaian sokongan peserta.

Inisiatif-inisiatif ini membuktikan bahawa NGO mempunyai peranan yang sangat besar dalam mendampingi masyarakat secara langsung. Kami bukan sekadar menyantuni keperluan asas, tetapi juga mendidik, membina dan memacu perubahan melalui ilmu yang praktikal.

Dengan pendekatan berstruktur seperti ini, komuniti yang dibimbing akan lebih tersusun dari segi ekonomi, sosial dan emosi, seterusnya mampu keluar daripada belenggu ketidakstabilan hidup secara berperingkat dan bermaruah.

Hutang mudah bukan musuh. Tanpa ilmu dan kawalan, ia boleh menjadi cara fikir generasi kini. Gaya hidup “ikut trend” itu bukan salah, cuma mustahil diteruskan jika tiada perancangan. Bahasa paling tepat ialah “berwaspada”, bukan “takut”.

Kalau kita mampu menanamkan kefahaman kepada masyarakat tentang hutang, simpanan dan impak masa depan, terutamanya dalam kalangan anak muda dan B40, kita bukan sahaja melahirkan masyarakat yang lebih bijak mengurus wang, tetapi sebaliknya, generasi yang bermaruah, berdikari dan tidak mudah diheret oleh budaya “cicil tapi hidup merempat”.

Dengan inisiatif pendidikan masyarakat secara berterusan oleh Yayasan Ikram Malaysia dan kolaborasi bersama NGO serta institusi kewangan, kita meletakkan asas kuat kepada masyarakat tentang literasi kewangan, sistem sokongan hutang bertanggungjawab dan tabung kecemasan.

Setiap sen yang disimpan adalah saham masa depan. Setiap hutang yang dikawal adalah jalan menuju kestabilan. Mari kita bina satu Malaysia yang cerdas kewangannya dari akar umbi, untuk generasi yang lebih kukuh.

Muhd Khairulanuar Mohd Salleh
Jabatan Komunikasi, Yayasan Ikram Malaysia
Yang Dipertua IKRAM Lembah Pantai (Kuala Lumpur)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia