Al-Qawiyyul Amin: Sifat penting pemimpin dan pekerja

Semalam adalah 20 Ramadan, sudah masuk 10 akhir Ramadan. Tentu ramai yang membaca Juzuk ke-20 daripada al-Quran al-Karim. Ada satu ayat dalam Surah al-Qasas, satu surah daripada Juzuk 20, iaitu ayat 26.

 قَالَتۡ إِحۡدَٮٰهُمَا يَـٰٓأَبَتِ ٱسۡتَـٔۡجِرۡهُ‌ۖ إِنَّ خَيۡرَ مَنِ ٱسۡتَـٔۡجَرۡتَ ٱلۡقَوِىُّ ٱلۡأَمِينُ

Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.”

Ayat 26 Surah al-Qasas ini menerangkan ciri-ciri pekerja yang baik; iaitu al-Qawiy dan al-Amin yang bermaksud kuat dan amanah.

Latar belakang ayat ini adalah Nabi Musa alaihissalam (AS) membantu dua orang anak perempuan Nabi Syuaib AS untuk memberi minum kambing-kambing peliharaan mereka dan kemudiannya anak-anak tersebut mencadangkan kepada ayah mereka untuk mengambil Nabi Musa AS sebagai pekerja kerana sifat-sifat nya yang kuat dan amanah.

Sifat-sifat ini kemudian dikiaskan untuk diguna pakai bagi semua pemimpin, penjawat awam dan para pekerja secara umum.

Kuat yang dimaksudkan adalah kuat dari segi fizikal, mental, emosi serta segala ketrampilan (skills) yang diperlukan sesuai dengan kerja yang ingin dilakukan. Istilah lain yang digunakan sekarang adalah kompeten.

Sebab itu untuk menjadi pekerja yang baik, kita perlu memperlengkapkan diri dengan segala ilmu dan ketrampilan yang sewajarnya, dalam konteks sekarang bolehlah dinamakan ijazah (termasuk Sarjana dan PhD) serta sijil-sijil profesional dalam bidang masing-masing.

Seorang jurutera harus berusaha sehingga dapat memperolehi Ir dan seorang akauantan mendapat CA. Demikianlah juga bidang-bidang lain, usahakan untuk mendapatkan pengiktirafan profesionalisme ini. Ini sebaiknya diperolehi sebelum umur 40 tahun.

Ada yang berkata, apa pentingnya kertas? Jawapannya kertas itu adalah bukti kemampuan dan ketrampilan kita, juga kita hidup pada zaman yang memerlukan sijil kertas sebagai bukti, maka sebaiknya kita berusaha untuk memilikinya. Namun, sijil kertas ini diharap dapat diterjemahkan kepada ketrampilan yang sebenarnya.

Satu lagi sifat yang penting bagi seorang pemimpin atau pekerja adalah amanah, istilah sekarang iaitu berintegriti.

Sifat amanah dan berintegriti sangat penting dan lebih penting daripada sifat yang pertama, kompeten. Walaupun seseorang itu sangat kompeten namun jika tiada integriti atau amanah, maka tiada maknanya kompetensi tersebut. Mencari pekerja yang amanah itu sangat penting kerana itu yang menentukan harta dan wang ringgit dijaga dengan baik.

Pada masa ini ramai yang berkelulusan tinggi namun tidak amanah; ambil rasuah, curi harta dan sebagainya. Namun jika amanah sahaja tetapi tidak tahu buat kerja, maka tidak ke mana juga. Sembang kuat, tapi kerja tak menjadi…

Sebab itu al-Quran sebut kedua-duanya sekali: Kompeten dan Berintegriti (Qawiy, Amin).

Pengajaran ayat:

1. Dua sifat penting untuk jadi pemimpin atau pekerja: Kompeten dan Berintegriti.

2. Kita harus berusaha untuk memiliki kompetensi di dalam bidang yang kita ceburi kerana ia akan membantu dalam menjayakan tugas-tugas kita.

3. Mempunyai kompetensi sahaja tetapi tiada integriti, juga boleh memusnahkan sesuatu organisasi.

4. Yang memiliki integriti tetapi tiada kompetensi, juga, kerja tidak menjadi.

5. Kedua-dua sifat ini digabungkan dalam ayat ini yang harus menjadi panduan dalam memilih pemimpin atau pekerja.

Bersempena dengan Hari Pekerja yang baru disambut beberapa hari lepas serta krisis integriti dan kredibiliti dalam kalangan ahli politik yang kita sedang hadapi, marilah kita merenung dan mengambil iktibar daripada ayat 26 Surah al-Qasas dengan penuh keinsafan.

Kita harus memilih pekerja dan pemimpin yang punyai kompetensi dan kredibiliti yang tinggi dan sentiasa memupuk sifat-sifat ini dalam kalangan mereka.

Puasa adalah salah satu ibadat yang mampu melatih untuk meningkatkan integriti diri. Tiada yang tahu kita sebenarnya berpuasa atau tidak melainkan Allah SWT.

Jika tiada kompetensi, apalagi jika tiada kredibiliti, sesebuah organisasi itu akan musnah!

Selamat Menyambut Hari Pekerja!

Selamat menghayati 10 hari akhir Ramadan, moga kita berlabuh di pelabuhan Taqwa!

Nahar Md Nor
Ahli Jawatankuasa Pusat IKRAM
21 Ramadan 1442H

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia