Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dengan penuh rasa syukur, ana ingin memaklumkan pelantikan akhi Mohd Hafiz Abd Hamid (atau dikenali dengan Hafiz Bai) sebagai Setiausaha Agung (SUA) IKRAM yang baharu berkuat kuasa serta-merta. Pelantikan ini adalah lantikan rasmi oleh Presiden, selaras dengan peruntukan Perlembagaan IKRAM.
Akhi Hafiz Bai merupakan seorang tokoh muda yang aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan, dakwah dan pendidikan. Beliau dikenali sebagai personaliti motivasi jemputan di pelbagai media tempatan seperti KL FM 97.2 (Radio RTM) serta pernah bersiaran di Astro, TV AlHijrah, Bernama TV dan RTM TV2.
Beliau juga pernah dicalonkan dalam Anugerah Dakwah (Kategori Pemuda) oleh YADIM. Dari sudut akademik, beliau memiliki Ijazah Sarjana Pengurusan daripada Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dan Diploma Kejuruteraan Elektronik daripada Kolej Jaiputra.
Dalam IKRAM, beliau kini menyandang beberapa jawatan penting termasuk Ahli JKP IKRAM sebagai Pengerusi JK Pendidikan Masyarakat, Ahli Lantikan DPN serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah Musleh Integrated Education Bhd (MIEB).
Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan seperti Ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) sesi 2018-2022, Ketua IKRAM Muda Pusat, Pengarah IKRAMTeens Pusat, Ahli Jawatankuasa Negeri (JKN) IKRAM Kuala Lumpur dan Ahli Jawatankuasa Masyarakat Madani IKRAM.
Marilah sama-sama kita mendoakan agar Allah SWT merahmati, membimbing dan mengurniakan kekuatan kepada akhi Hafiz Bai dalam menjalankan amanah ini dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
Ana juga menyeru seluruh ikhwah dan akhawat untuk memberikan sokongan padu dan kerjasama erat kepada beliau, demi kelangsungan dan kemajuan dakwah serta perjuangan kita bersama.
Semoga pelantikan ini dapat memastikan kesinambungan pengurusan organisasi diteruskan secara mantap dan berkesan, seiring dengan visi dan misi IKRAM dalam membawa agenda Malaysia Negara Rahmah.
Sekian, jazakumullahu khayran.
Tn Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
16 Mei 2025 (18 Zulkaedah 1446 H)