Akta 852 Lindungi Kesihatan Awam Daripada Bahaya Rokok, Vape

Menjadi rahsia terbuka, kanak-kanak dan remaja secara agresif dijadikan sasaran untuk menjadi pengguna sepanjang hayat rokok elektronik.

Isu ini telah menjadi masalah global yang merosakkan. Kajian Southeast Asia Tobacco Control Alliance (SEATCA) pada tahun 2023 mendedahkan, 30 peratus pengguna rokok elektronik di Malaysia berusia antara 12-15 tahun.

Trend gaya hidup rokok elektronik atau vape yang sedang giat dipupuk di Malaysia amat membimbangkan terutamanya apabila melibatkan generasi muda yang seharusnya dibentuk menjadi pemimpin dan modal insan berkualiti untuk masa depan negara, tetapi kini terjebak dengan ketagihan yang boleh menjejaskan potensi dan kesihatan mereka.

Pemasaran vape menyasarkan golongan muda kerana mereka tahu membina kesetiaan terhadap jenama sedari kecil adalah umpama menanam benih yang akan berkembang menjadi hubungan bersifat candu dalam jangka panjang.

Justeru, langkah kerajaan mengharamkan vape kepada kanak-kanak dan remaja dengan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) memperlihatkan keprihatinan dan komitmen serius kerajaan bagi membendung kemerosotan tahap kesihatan awam dan melindungi kesejahteraan generasi akan datang.

Vape dan rokok harus dipandang jijik oleh masyarakat seperti jijiknya rasa untuk menanggung perit kesakitan yang ditanggung kerana terjebak menagihnya. Masyarakat sering dikelirukan potensi bahaya vape.

Walaupun bukti saintifik tentang bahaya vape semakin bertambah, sebilangan pemegang taruh industri vape ini terus memperdayakan orang ramai dengan mendakwa vape sebagai alternatif selamat kepada rokok tembakau.

Mereka mensasarkan generasi baru terutamanya kanak-kanak dan remaja, melalui strategi pemasaran yang memfantasikan vape sebagai gaya hidup moden dan tidak berbahaya, sedangkan hakikatnya, vape boleh menyebabkan ketagihan dan pelbagai masalah kesihatan yang serius.

Golongan kanak-kanak dan remaja lebih mudah mengalami ketagihan kerana otak mereka masih dalam proses perkembangan. Keadaan ini bukan sahaja meningkatkan risiko ketagihan, tetapi juga boleh memberi kesan jangka panjang terhadap tumpuan, pembelajaran dan kawalan diri mereka.

Telah terbukti melalui banyak kajian sains bahawa vape turut mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh mendatangkan kesan mudarat terhadap kesihatan penggunanya.

Vape mengandungi pelbagai bahan berbahaya termasuk nikotin, propilena glikol, gliserin dan bahan kimia toksik lain seperti formaldehid dan logam berat.

Penggunaannya boleh mengakibatkan kebinasaan terhadap kesihatan seperti kerosakan paru-paru (EVALI), pneumotoraks, penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan gangguan pertumbuhan otak terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, tiada bukti yang jelas berkenaan vape membantu perokok berhenti. Sebaliknya, ketagihan nikotin daripada vape didapati boleh meningkatkan risiko pengguna beralih kepada rokok tembakau.

Malah, penggunaan vape berpotensi dijadikan alat memancing ketagihan dadah. Justeru, lebih tepat mengatakan ia adalah permulaan bahaya bagi orang muda yang tidak pernah merokok dan pengganti berbahaya kepada perokok yang cuba berhenti merokok.

Walaupun kesan jangka panjang penggunaan vape masih dalam kajian, bukti sedia ada sudah cukup menunjukkan ia boleh mengakibatkan penyakit kronik.

Sedarilah, sejarah penipuan industri tembakau pernah berlangsung lebih seabad, di mana syarikat-syarikat tembakau telah membelanjakan jutaan wang untuk mempromosikan mitos bahawa merokok tidak berbahaya, malah memberi manfaat kesihatan.

Kawalan pemasaran yang lemah menyebabkan mereka berjaya memanipulasi kanak-kanak dan remaja dengan mencipta daya tarikan terhadap produk ini. Hakikatnya, industri tembakau dan vape mengaut keuntungan daripada produk yang memudaratkan kesihatan, merosakkan masyarakat dan negara serta merosakkan alam sekitar.

Industri ini akan terus hidup dengan menarik pengguna baru dan memastikan mereka kekal ketagih walaupun sedar hampir sebahagian besar daripada pelanggan akan mati akibatnya.

Walaupun hakikat ini sangat kejam, industri ini tidak berhenti mencuba untuk menghalang kawalan tembakau yang lebih ketat. Ini menunjukkan betapa pentingnya kesedaran dan usaha bersama untuk melindungi masyarakat daripada bahaya yang dibawa oleh industri ini.

Menurut laporan Global Tobacco Industry Interference Index 2023, campur tangan industri tembakau dalam pembentukan dasar melalui rasuah, lobi, penyelidikan palsu atau ancaman tindakan undang-undang kekal sebagai halangan terbesar untuk kerajaan menangani ancaman tabiat merokok.

Laporan ini menyebut, pihak berkepentingan dalam industri ini terus-menerus berusaha dengan gigih untuk melemahkan usaha kawalan tembakau dan sentiasa berkerja ke arah untuk menarik golongan muda kepada produk mereka.

Keuntungan industri ini bergantung kepada keupayaan mereka mempengaruhi pilihan pengguna dan memanipulasi dasar awam. Strategi ini bertujuan mengekalkan kitaran ketagihan, yang akhirnya mengakibatkan penyakit dan kematian disebabkan penggunaan produk mereka.

Demi kesejahteraan rakyat, kerajaan perlu sentiasa peka dan proaktif dalam menangani pelbagai strategi yang digunakan oleh mana-mana pihak berkaitan yang boleh menjejaskan keberkesanan dasar kawalan tembakau.

Dasar kawalan tembakau yang berasaskan bukti saintifik telah terbukti berkesan dalam melindungi kesihatan awam dan menyelamatkan nyawa.

Oleh itu, penting bagi kerajaan untuk terus memantau dan mengambil langkah proaktif terhadap sebarang usaha yang boleh menjejaskan keberkesanan dasar tersebut, terutamanya daripada pihak industri yang berkepentingan.

Penguatkuasaan yang berkesan adalah kunci yang boleh menghentikan penularan gejala vape dalam kalangan generasi muda dan memastikan masa depan negara tidak terancam akibat kemudaratan produk berbahaya ini.

Kerjasama erat antara kerajaan dan masyarakat sivil dapat memperkukuhkan usaha ini melalui pemantauan berterusan, melaporkan pelanggaran undang-undang, memberi hukuman yang berat, mengadakan  program kesedaran dan pembangunan sistem sokongan untuk individu yang ingin berhenti merokok.

Usaha bersepadu antara kerajaan dan rakyat adalah kunci untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan masyarakat kita. Dengan kerjasama erat dari semua pihak, kita mampu membendung penularan gejala yang tidak sihat dan merbahaya.

Mari kita bersama-sama menjadikan Malaysia negara yang lebih sihat dan sejahtera untuk generasi hari ini dan masa hadapan.

Basmin Maarof

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia