AI untuk Rakyat ialah inisiatif pembelajaran kendiri dalam talian yang dibina untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang bidang Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) dalam negara ini.
Objektif utamanya adalah untuk memberi pendedahan tentang teknologi AI kepada orang ramai dari semua lapisan masyarakat sama ada pelajar, ibu bapa yang tinggal di rumah, profesional dalam apa jua bidang, warga emas atau sesiapa sahaja yang berminat untuk mengetahui tentang AI dengan lebih lanjut
Inisiatif tersebut dibangunkan melalui kerjasama dengan pihak Intel Malaysia dan telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Universiti Putra Malaysia, pada 16 Januari 2024.
Modul-modul AI untuk Rakyat
Inisiatif ini terdiri daripada dua modul iaitu “Kesedaran AI” atau turut dikenali sebagai “AI Aware” dan “Hargai AI” atau “AI Appreciate”.
AI Aware bertujuan memperkenalkan dan membincangkan kes-kes penggunaan AI serta memperjelas kekeliruan umum mengenai AI.
AI Appreciate pula mengupas lebih lanjut tentang aplikasi dan impak AI merentasi industri serta menyasarkan mereka yang ingin meningkatkan pengetahuan tentang AI.
Kedua-dua modul boleh disiapkan dalam masa kira-kira empat jam. Setiap modul adalah berdasarkan konsep berkaitan AI yang dijelaskan melalui aktiviti dan kuiz yang menarik.
Selepas melepasi kuiz ini, pengguna akan menerima lencana (badge) yang boleh ditunjukkan dalam akaun media sosial mereka.
Pengguna boleh mengambil kuiz ini seberapa banyak yang mereka mahu. Selepas mereka menyelesaikan kuiz ini, mereka menjadi pemegang lencana AI Aware dan AI Appreciate.
Capaian AI untuk Rakyat
Program AI untuk Rakyat boleh dicapai melalui portal sehenti ai.gov.my. Melaluinya, sesiapa sahaja boleh melakukan pendaftaran dan memilih untuk belajar berkenaan kecerdasan buatan.
Ia mempunyai antara muka untuk empat bahasa iaitu bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan Tamil. Platform berkenaan juga turut menyediakan sokongan audio dan juga dalam bentuk Braille untuk membantu golongan kelainan upaya.
Cabaran utama berkaitan AI
Kerajaan berhasrat untuk mencapai matlamat menggerakkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, tetapi cabaran utama ialah ketidakfahaman masyarakat dan keengganan untuk berubah.
Tidak boleh dinafikan, sejak teknologi AI yang termasuk dalam Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) semakin mendominasi bidang ekonomi dan industri di seluruh dunia, masyarakat di negara ini juga berasa bimbang dan menganggap teknologi AI sebagai ancaman.
Ketidakfahaman masyarakat kepada konteks sebenar kepentingan teknologi itu mencetus persepsi AI sebagai musuh serta akan mengambil alih fungsi manusia dan seterusnya menawan dunia.
Bagi mereka, pengaplikasian AI akan melenyapkan peluang pekerjaan manusia apabila ia bakal digantikan dengan teknologi itu sepertimana yang berlaku dalam beberapa sektor pekerjaan ketika ini, sekali gus boleh mengakibatkan peningkatan kadar pengangguran.
Walhal persepsi tersebut tidak berasas sama sekali kerana kerancakan peralihan kepada teknologi AI ini pada hakikatnya tidak akan menggantikan sepenuhnya tenaga manusia tetapi berupaya mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang boleh diisi rakyat.
Faedah AI untuk Rakyat
Langkah kerajaan memperkenalkan program AI untuk Rakyat dilihat dapat membantu menangani jurang literasi digital dan pemahaman AI dalam kalangan masyarakat khususnya bagi mereka yang menetap di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menerusi kefahaman yang jelas, masyarakat juga akan dapat menerima AI dalam konteks lebih meluas bahawa teknologi AI bukanlah pengganti kepada pekerjaan menggunakan tenaga manusia tetapi sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain. Malahan sekiranya diterokai dengan baik, ia akan menyuntik kesan positif dalam pelbagai sektor.
Bagi golongan pelajar, program ini dapat memberikan gambaran asas tentang dunia AI yang bertujuan untuk menarik minat mereka menceburi dan seterusnya membina kerjaya dalam sektor ini.
Bagi golongan lain pula, program ini dapat memberikan kefahaman asas tentang AI agar kita lebih faham bahawa ia merupakan sebuah teknologi yang boleh membawa manfaat yang besar kepada kita sebagai individu.
Dengan memanfaatkan peluang itu, Malaysia mampu membina ekonomi digital yang kalis masa hadapan dan membolehkan negara menjana nilai yang lebih tinggi di persada dunia.
Rumusan
Suka atau tidak, rakyat tiada pilihan selain beradaptasi dengan teknologi AI dan AI untuk Rakyat merupakan inisiatif yang diharap dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran orang ramai mengenai teknologi AI.
Ia juga diharap dapat mengubah persepsi negatif terhadap teknologi tersebut, seterusnya dapat membantu ke arah kebersamaan untuk menyahut saranan kerajaan dalam usaha transformasi digital sekali gus menuju ke arah negara berpendapatan tinggi.
Ts Mohd Fitri Edros
Ketua Bahagian Infrastruktur ICT
Pusat Pengurusan & Pembangunan Digital
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)