Dalam era digital yang serba pantas dan berkembang pesat ini, kecerdasan buatan (AI) kini menjadi elemen penting dalam kehidupan seharian termasuk dalam dunia pendidikan.
Kehadiran AI dalam bilik darjah serta dalam kalangan pelajar menyediakan pelbagai kemudahan, contohnya daripada menyemak tatabahasa, memberi idea berkaitan penulisan, menyelesaikan soalan matematik hinggalah kepada menterjemah teks dengan mudah.
Walaupun kecanggihan ini membuka ruang baharu dalam pembelajaran, persoalan utama yang timbul ialah: adakah AI menyokong proses pembelajaran pelajar atau sebenarnya menggantikan fungsi akal dan pemikiran mereka?
Peranan AI dalam menyokong pembelajaran
AI berupaya menjadi alat yang amat berkesan dalam mempertingkatkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Pelbagai aplikasi seperti ChatGPT, Grammarly, Photomath dan YouTube AI Tutor telah digunakan secara meluas oleh pelajar bagi membantu mereka memahami topik yang kompleks, menjana idea baharu serta mempercepat penyelesaian tugasan.
Contohnya, pelajar yang keliru tentang satu konsep dalam subjek Sains boleh mendapatkan penjelasan yang lebih mudah daripada AI, berbanding hanya bergantung kepada buku teks.
Pelajar yang kurang yakin dalam penulisan boleh menggunakan alat AI untuk menyemak struktur ayat dan cadangan penambahbaikan. AI juga membolehkan pelajar mempelajari sesuatu topik mengikut kadar mereka sendiri, secara kendiri, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Hal ini membuktikan bahawa AI mempunyai potensi besar sebagai alat sokongan pembelajaran, bukan sekadar alat mencari jawapan.
Risiko jika AI menggantikan pemikiran pelajar
Namun, manfaat AI hanya akan benar-benar bermakna jika sekiranya digunakan dengan cara yang betul.
Jika sekiranya pelajar menggunakan AI sebagai “mesin jawapan segera”, tanpa berusaha berfikir sendiri, maka AI sebenarnya telah mengambil alih peranan utama akal manusia iaitu berfikir, menganalisis, menilai dan mencipta.
Contohnya, jika seseorang pelajar menyalin keseluruhan esei daripada AI tanpa memahami isi kandungannya, maka proses pembelajaran sebenar tidak berlaku. Keadaan ini akan menghalang perkembangan ilmu secara mendalam dan berpotensi membawa kesan negatif dalam jangka panjang, antaranya:
- Hilangnya keupayaan pelajar berfikir secara kritis dan kreatif.
- Ketidakupayaan menyelesaikan masalah dunia sebenar tanpa bantuan teknologi.
- Nilai kejujuran akademik terjejas, termasuk risiko plagiarisme.
- Kebergantungan tinggi terhadap AI dalam menyelesaikan tugasan.
Sehubungan itu, aspek tanggungjawab moral dan akademik perlu diterapkan dalam diri pelajar agar mereka bukan sahaja “mahir menggunakan teknologi”, tetapi turut “bijak menggunakan akal”.
Imbangan antara akal dan teknologi
Akal manusia merupakan anugerah istimewa yang membezakan kita daripada ciptaan lain termasuk AI. Walaupun AI berkeupayaan menjawab, mencadangkan dan membuat ramalan, ia tetap tidak memiliki kesedaran, emosi, nilai mahupun tanggungjawab.
Justeru, pelajar harus mengambil peranan sebagai pengguna yang aktif dan bijak, bukannya sekadar penerima pasif maklumat daripada mesin.
Pertama sekali, AI harus dimanfaatkan sebagai alat sokongan, bukannya dijadikan sumber utama. Pelajar digalakkan merujuk AI bagi membantu memperjelas sesuatu konsep atau mendapatkan pandangan tambahan, namun keutamaan tetap perlu diberikan kepada pemahaman dan analisis yang dilakukan secara sendiri.
Kedua, pelajar perlu sentiasa bersikap kritis dengan menyemak dan menilai setiap maklumat yang dijana oleh AI. Hal ini demikian kerana tidak semua maklumat yang diberikan adalah tepat atau sesuai dengan konteks. Oleh itu, kemahiran menilai dan membuat keputusan berasaskan maklumat yang diterima masih merupakan aspek penting dalam proses pembelajaran.
Ketiga, AI boleh dijadikan alat untuk mencetuskan idea, namun pelajar seharusnya bertanggungjawab untuk mengembangkan serta mengolah idea tersebut menggunakan gaya penulisan dan pemikiran mereka sendiri. Pendekatan ini dapat memupuk kemahiran menulis serta berfikir secara mendalam dan berstruktur.
Akhir sekali, AI harus digunakan untuk mempertingkatkan keupayaan akal, bukan menggantikannya. Pelajar seharusnya menggunakan AI untuk mengukuhkan kefahaman dan mempermudah proses ulang kaji, bukan semata-mata untuk menjawab tugasan tanpa memproses pemikiran sendiri.
AI dan nilai dalam pembelajaran
Pendidikan bukan sekadar berkisar kepada pencapaian akademik, tetapi turut merangkumi pembentukan jati diri yang holistik. Nilai-nilai seperti usaha, amanah, tanggungjawab dan integriti perlu disemai dalam diri pelajar. Proses pembentukan nilai ini bersifat dalaman dan tidak dapat digantikan oleh AI.
Pelajar perlu menilai diri:
“Adakah saya guna AI untuk bantu saya faham, atau untuk elak saya berfikir?”
“Adakah ini hasil saya, atau hanya salinan daripada mesin?”
Soalan-soalan ini penting bagi membentuk pelajar yang berpengetahuan, bermoral dan berdaya saing.
Kesimpulan
Kecerdasan buatan (AI) sememangnya memberi impak yang signifikan dalam dunia pendidikan. Ia menjadikan pembelajaran lebih pantas, mudah dan meluas. Namun, AI hanyalah alat bantu, bukan pengganti akal fikiran. Pelajar yang berjaya bukan sekadar tahu menggunakan teknologi, tetapi tahu mengimbanginya dengan kebijaksanaan, usaha dan integriti.
Gunakan AI dengan bijak. Jadikan ia pembantu, bukan pengganti. Dalam dunia yang serba canggih ini, pelajar yang paling bernilai ialah mereka yang masih mampu berfikir, bukan hanya menyalin.
Ts. Najdawati Mohd Fadzil
Ketua Bahagian Pendigitalan Akademik dan Pelajar
Pusat Pengurusan & Pembangunan Digital
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)