Ramadan lalu, kita sekali lagi dikejutkan dengan peristiwa berdarah di bumi Israk Mikraj yang berlaku pada 7 Mei 2021 bermula dengan pencerobohan polis Israel di Masjid al-Aqsa.
Kemudiannya tindakan pendatang Yahudi merampas rumah penduduk Palestin di penempatan Sheikh Jarrah seterusnya pengeboman tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza dan yang terbaru penggempuran pendatang Yahudi di kawasan penempatan Arab di Silwan dan Ni’ilin.
Peristiwa ini telah menggemparkan dunia atas kebiadaban tentera Israel mencemari kesucian bulan Ramadan serta menyaksikan pelanggaran Undang-undang Antarabangsa dan hak asasi kemanusiaan.
Sesiapa pun yang mengikuti perkembangan ini, pastinya bercampur-baur perasaan dan emosi yang menahan marah melihat kejadian ini. Peristiwa ini bukan sahaja membangkitkan kemarahan umat Islam sahaja, malah ia juga membawa kecaman daripada masyarakat antarabangsa.
Kebiadaban Zionis Israel ini telah kita ketahui sejak sekian lama; mereka tidak pernah berhenti untuk meneruskan cita-cita mereka bagi mendirikan Israel Raya (The Greater Israel). Saudara kita di Palestin terus kekal beristiqamah mempertahankan setiap inci di bumi berkat ini kerana yakin dengan janji-Nya melalui sabda Nabi SAW, daripada Abu Umamah RA:
“Sentiasa berada dalam kalangan umatku yang menyerlahkan diri mereka secara terbuka dan nyata, menegakkan kebenaran, menghadapi musuh dengan gagah perkasa, tidak boleh dimudaratkan (dihentikan) oleh orang-orang yang mengecewakan mereka, sehinggalah datangnya perintah Allah (memenangkan mereka) dalam keadaan mereka terus meneruskan perjuangannya”. Lalu para sahabat bertanya: “Siapakah mereka itu wahai Rasulullah dan di mana mereka berada?” Sabdanya: “Di Baitulmaqdis dan sekitar Baitulmaqdis.” (HR Ahmad)
Peristiwa ini telah menarik perhatian bukan sahaja umat Islam, malah seluruh dunia mengikuti perkembangan di Palestin. Umat Arab juga terpanggil untuk bersama-sama mempertahankan Baitulmaqdis sehingga berbondong-bondong pemuda dari Jordan dan Lubnan mengerumuni baris sempadan dengan Israel.
Tumpuan mula diberikan oleh pemimpin dunia bagi menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan oleh Zionis Israel yang mengebom kediaman penduduk sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa wanita dan kanak-kanak.
Secara tidak sedar, wujud kecenderungan hati seluruh bangsa manusia di seluruh pelusuk dunia tertumpu ke arah Baitulmaqdis, ke arah Hamas, ke arah Gaza yang dimuliakan, dan ke arah Briged al-Qassam dan para mujahidin.
Dan daripada rentetan inilah datangnya banyak bantuan, baik dalam bentuk material, sokongan media dan pembebasan daripada cengkaman penjajah Zionis Israel setelah beberapa tahun lamanya, sepertimana Nabi Muhammad SAW pernah mengisyaratkan dalam sabdanya:
“Akan sentiasa ada dalam kalangan umatku yang berada dalam kemenangan ke atas orang lain. Dan Allah Azzawajalla menyesatkan hati-hati sesuatu golongan, supaya dengannya orang-orang mukmin memperoleh pahala dan ganjaran sehinggalah datang ketetapan Allah Azzawajalla. Pusat negeri (kediaman) bagi orang Islam adalah di Syam dan kuda yang diikatkan tali pada kepalanya itu (untuk siap berperang) membawa kebaikan.” (Hadis Riwayat An-Nasa’i, No. 3563, Al-Albani – Sahih)
Saudara kita di Palestin tidak pernah berhenti berjuang dengan sabar dan penuh keazaman yang tinggi bagi menentang kebiadaban Zionis Israel. Serangan yang berlaku ini bukanlah kali pertama dan pastinya bukan kali terakhir.
Boleh jadi, akan datang mungkin akan berlaku lagi kebiadaban Zionis Israel walaupun sudah diputuskan gencatan senjata. Cumanya, adakah kita yang berada dalam gerakan dakwah tarbiah dan kebajikan ini, turut serta dalam perjuangan mereka di sana?
Adakah kita menyahut perjuangan mereka hanya secara bermusim? Atau hanya apabila berlaku pelanggaran kebiadaban Zionis, barulah kita tersentak bangun bersemangat semula menentang kezaliman mereka?
Sedangkan kita mengetahui hakikatnya apa yang terjadi di sana setiap masa dengan maklumat lintas langsung di bumi Gaza, malah kita juga dikhabarkan melalui wakil kita tentang perkembangan di sana.
Kita selaku ahli bagi gerakan Islam ini seharusnya bergerak dan memainkan peranan kita yang penting ini di tengah-tengah masyarakat. Menggerakkan kesedaran ini seharusnya berterusan ke setiap sudut dunia dan sepanjang zaman sehinggalah kemenangan Baitulmaqdis dibebaskan seperti janji Allah.
Betapa dekatnya hati kita dengan tanah yang diberkati itu adalah kerana ikatan akidah yang terjalin atas kesaksian kita akan janji Allah Taala ke atas bumi yang diberkati ini dan kemenangan yang dijanjikan Nabi Muhammad SAW padanya.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Kiamat tidak terjadi hingga kaum Muslimin memerangi Yahudi, lalu kaum Muslimin membunuh mereka hingga orang Yahudi bersembunyi di balik batu dan pohon, batu atau pohon berkata, ‘Hai Muslim, hai hamba Allah, ini orang Yahudi di belakangku, ke marilah, bunuhlah dia’ kecuali pohon gharqad, ia adalah pohon Yahudi’.” (Hadis Riwayat Muslim, No. 2922)
Sesungguhnya kesedaran dari hati para du’at telah melahirkan pahlawan-pahlawan hebat dalam mempertahankan Baitulmaqdis seperti Syeikh Muhammad Amin al-Husseini yang menentang keras pendudukan Yahudi di Palestin serta menentang pasukan Haganah (pasukan separa-ketenteraan Yahudi).
Seterusnya, bangkitnya perjuangan Syeikh Izzuddin al-Qassam telah pun berkembang mekar dan membuahkan hasil melalui terowong-terowong, peluru-peluru berpandu dan gerakan-gerakan berkumpulan sehingga ke hari ini.
Tidak kurangnya juga seruan asy-Syahid Imam Hassan al-Banna menyuntik semangat jihad dan pengorbanan dalam suatu mukhayyam pada 1943 kepada kepimpinan Ikhwanul Muslimin membuatkan ramai pemuda Ikhwan menyertai pasukan sukarelawan dalam menentang kebiadaban Zionis antara tahun 1946-1947 ini dengan diketuai oleh Muhammad al-Farghali dan dilatih oleh Ustaz Mahdi Akif.
Begitu juga dengan ramai lagi tokoh du’at yang menyahut seruan mempertahankan Baitulmaqdis dari sekitar dunia Arab seperti Ahmad Abdul Aziz, Kamal as-Sharif, Mustafa as-Siba’ie, Muhammad Mahmoud as-Shawaf, Abdul Latif Abu Quroh, Harun bin Jazi dan ribuan pejuang-pejuang yang dimuliakan.
مِّنَ المُؤمِنينَ رِجالٌ صَدَقوا ما عٰهَدُوا اللهَ عَلَيهِ ۖ فَمِنهُم مَّن قَضىٰ نَحبَهُ وَمِنهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَما بَدَّلوا تَبديلًا
“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya).” (Surah al-Ahzab: 23)
Segala puji bagi-Mu wahai Tuhan kami, yang telah menjadikan kalam hamba-Mu iaitu Muhammad Morsi seperti pedang yang tajam dan tombak yang menghunus. Beliau telah berjanji kepada dirinya sendiri dengan berkata, “Kami tidak akan sesekali membiarkan Gaza bersendirian.” Dan mereka (pihak musuh) telah membunuhnya, tetapi Allah telah menghidupkan pula satu ummah di sebalik kesaksiannya itu.
Dengan ini, bersama-sama kita membulatkan tekad dan menanam azam untuk tidak akan melupakan perjuangan Palestin ini, dan sentiasalah kita peka dan menimba ilmu berkenaan Palestin dalam kita membawa kesedaran yang penting ini kepada ahli keluarga kita serta masyarakat kita untuk bersama-sama dalam perjuangan ini.
Sokongan sumbangan daripada rakyat Malaysia selama ini telah banyak membantu saudara kita di Palestin dalam pembelaan anak yatim, pembangunan semula selepas perang, kemandirian ekonomi komuniti Gaza, penerusan pendidikan generasi baharu Palestin dan banyak lagi bantuan umum yang telah disalurkan kepada mereka.
Bersama kita mengajak rakyat Malaysia berkongsi rezeki dan perasaan bahawa kita sentiasa menyokong perjuangan Palestin. Kesedaran yang timbul daripada masyarakat dunia telah menghasilkan banyak sokongan padu secara kreatif di media sosial, media elektronik, malahan sokongan politik dari serata dunia dapat membangkitkan kecekalan perjuangan Palestin.
Walaupun serangan daripada media utama banyak menyebelahi Zionis Israel, ia tidak memberikan sedikit kesan pun ke atas perjuangan ini. Malah, muncul sokongan yang tidak disangka-sangka hadir satu persatu.
Siapa menyangka lagu yang ditulis oleh Michael Heart iaitu ‘We Will Not Go Down’ dihasilkan semasa serangan ke atas Gaza tahun 2018 telah digemari oleh kebanyakan anak muda.
Tahun ini pula anak muda kita (The Prophecies, Sufi Ahmed, dan Afdhal Thuairi dan 2ARD) juga menghasilkan lagu berjudul ‘Mana Mungkin’ yang juga didedikasikan untuk peperangan Saif al-Quds ini.
Kemudian, kempen #IsraelKoyak yang menjadi carian tertinggi di Twitter juga telah memberi kesan kepada wartawan Israel serta serangan penggodam ke atas beberapa laman sesawang milik pentadbiran kerajaan Israel juga digodam, telah membuktikan bahawa pentingnya kesedaran perjuangan pembebasan Palestin ini mesti selalu diingatkan.
Semoga kempen yang telah berjalan sepanjang lonjakan peristiwa Saif al-Quds ini menyuntik semangat kita menyokong pembebasan Palestin. Semoga hati para du’at ini sentiasa tersemat perjuangan Palestin ini. Semoga doa kita untuk perjuangan Palestin ini sentiasa dipanjatkan kepada Allah Jalla wa ‘Alaa.
Kami memohon kepada-Mu ya Allah agar menurunkan pertolongan-Mu ke atas hamba-Mu dalam kalangan orang-orang yang beriman dalam peperangan Saif al-Quds, pertolongan yang didambakan oleh sekalian hamba hanya kerana-Mu, yang terdiri daripada tentera al-Qassam dan mereka yang bersama mereka dalam kalangan orang-orang beriman.
Semoga segala usaha dan harta yang kita korbankan untuk sokongan perjuangan ini menjadi saksi dan dihitung sebagai amalan soleh di sisi Allah dan Allah reda dengan jihad dan pengorbanan kita, insya-Allah.
فِي بِضْعِ سِنِينَ ۗ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِنْ قَبْلُ وَمِنْ بَعْدُ ۚ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ
“..dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan pada hari (kemenangan bangsa Romawi) itu, bergembiralah orang-orang yang beriman.” (Surah ar-Rum: 4)
Wallahu a’lam.
Mohd Syariffudin Abu Kassim
Ketua IKRAM Muda
Kuala Lumpur