Abby Choi, Model Terkenal Dibunuh Kejam Kerana Harta

Abby Choi, Model Terkenal Dibunuh Kejam Kerana Harta | IKRAM

Nama Abby Choi, 28, seorang model Hong Kong, tiba-tiba menjadi terkenal di seluruh dunia ekoran tularnya berita kematiannya yang tragis baru-baru ini.

Beliau yang merupakan seorang model terkenal dan selebriti media sosial telah dilaporkan hilang pada Rabu, 22 Februari lalu setelah gagal mengambil anak perempuannya di sekolah. 

Mendiang ditemui dua hari kemudian dalam keadaan yang mengerikan yang mana anggota badannya dikerat-kerat, manakala sepasang kaki dipercayai miliknya ditemui dalam peti sejuk di sebuah rumah tiga tingkat di pinggiran bandar Tai Po.

“Dua periuk sup ditemui di tempat kejadian. Periuk-periuk berkenaan berkedalaman 50 cm dan 40 cm setiap satu dan berisi penuh dengan sup yang mempunyai lapisan lemak yang tebal bersama sayuran hijau dan lobak serta cebisan daging kisar yang dipercayai dari manusia,” kata pegawai penyiasat, Alan Chung.

Beberapa hari kemudian, tengkorak kepala yang telah dicukur rambutnya ditemui bersama rangka tulang rusuk ditemui dalam salah satu periuk sup di rumah tersebut.

Polis turut menemui mesin pengisar daging, gergaji elektrik, pisau pemotong dan beg tangan ungu yang dipercayai milik mendiang Choi.  Lengan dan bahagian tubuh lain masih sedang dicari lebih 100 pegawai di tapak pelupusan sampah berdekatan. 

Polis menjangkakan Choi telah diserang dalam sebuah kereta MPV yang telah dipenuhi dengan kesan percikan darah.

Menurut pihak polis, bekas bapa mentua Choi, Kwang Ko telah menyewa rumah tersebut beberapa minggu awal sebelum kejadian.  Keluarga bekas suaminya didakwa telah membekalkan maklumat palsu kepada pihak polis berhubung keberadaan Choi.

Pertikaian Isu Rumah

Choi masih mengekalkan hubungan baik dengan keluarga bekas suaminya walaupun setelah bercerai. Malah beliau telah membelikan mereka sebuah rumah mewah di Kadoori Hill, Ho Man Tin atas nama Kwang Ko.

Apabila Choi mahu menjual rumah mewah tersebut, telah berlaku beberapa siri pertikaian sehingga menjejaskan perhubungan mereka.

Walaupun Choi dikatakan telah berjanji untuk menggantikan rumah tersebut dengan pembelian rumah lain, namun Kwang Ko membantah sekeras-kerasnya. Dipercayai bekas bapa mentuanya ini menjadi dalang utama bagi pembunuhan terancang ini. 

Mengulas lanjut, pihak polis mempercayai mangsa dan keluarga bekas suaminya ada perselisihan faham berkenaan isu harta yang melibatkan jumlah duit yang banyak.

“Seseorang telah tidak berpuas hati dengan cara mangsa menguruskan aset hartanya yang mana ia menjadi motif pembunuhan.”

Lima Suspek Ditahan

Sehingga kini, lima suspek telah dikenal pasti dan ditahan. Bekas suami Choi, Alex Kong  telah ditahan semasa usaha melarikan diri menggunakan bot. Bersamanya dirampas sejumlah wang dan beberapa jam tangan berjenama mewah.

Abang Alex, Anthony yang merupakan pemandu peribadi Choi turut ditahan bersama bapa mereka, Kwang Kau atas tuduhan membunuh. Manakala ibu mereka, Lee Shui-Heong telah ditahan atas dakwaan mengganggu kes penyiasatan.

Suspek kelima yang dipercayai merupakan perempuan simpanan Kwang Kau telah ditahan pada Ahad lalu. Beliau disyaki bersubahat menyewakan sebuat flat mewah di Kowloon Barat untuk Kwang menyorok daripada pihak berkuasa.

Abby Choi telah membuat penampilan di muka depan majalah L’Officiel Monaco beberapa minggu sebelum kematiannya. Beliau dikenali dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan terdekat sebagai seorang yang penyayang dan baik hati. 

Menerusi laman sosial akaun Facebook suaminya Chris Tam, beliau berkongsi, “Semasa Abby hidup, beliau dikenali sebagai seorang yang baik hati dan sentiasa mahu menolong orang. Saya percaya sesiapa yang berpeluang mengenalinya dalam kalangan ahli keluarga maupun kawan-kawannya berasa beruntung.”

Ibu mendiang yang menggunakan akaun Fifth Sister di akaun media sosial Douyin sentiasa berkongsi video bersama Choi dari masa ke masa. Beliau mengatakan Abby adalah anak yang baik hati dan sentiasa berbakti. 

Manusia Diuji

Kisah ini seharusnya sebagai pengajaran untuk kita berwaspada dalam menguruskan kehidupan di dunia yang sementara. Allah SWT telah memberikan peringatan melalui firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 155 bermaksud:

“Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Sekiranya seruan ini dihayati, nescaya manusia akan bersifat sederhana dalam kehidupan dan juga ketika diuji dengan musibah, manakala sifat keterlaluan yang keluar daripada norma kewarasan dapat dielakkan. 

Hendaklah juga berwaspada dengan nikmat dunia seperti harta dan kuasa kerana kerana manusia akan diuji melaluinya. Hakikatnya semua nikmat adalah pemberian Allah Taala dan bersifat sementara. 

“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Al-Anfaal: 28)

Oleh itu, setiap daripada hamba-Nya dibezakan dengan cara mengurus ujian yang diberikan oleh Tuhan melalui keimanan dan ketakwaan. Ganjaran berupa keistimewaan di dunia mahupun akhirat telah dijanjikan Allah bagi hamba-Nya yang sabar menghadapi musibah.

Jangan ‘Bertuhankan’ Harta

Satu lagi pengajaran yang sangat penting, jangan sesekali membiarkan diri hidup ‘bertuhankan’ wang dan harta. Sering kali isu perebutan hak pusaka diiringi dengan persengketaan atau jenayah tidak tersangka hingga terputus tali persaudaraan. 

Apabila sudah hilang pertimbangan diri kerana harta, manusia sanggup melakukan apa sahaja hingga ke tahap membunuh asalkan matlamatnya tercapai.

Sia-sia sahaja apabila keadaan dimudaratkan sebegitu rupa kerana akhirnya setiap nyawa akan kembali kepada Tuhan, meninggalkan segala harta yang pernah memberikannya kedudukan dan pengaruh.

Mencari harta atau duit tidaklah salah, bahkan umat Islam digalakkan mencari rezeki yang halal dan baik untuk manfaat dan kesejahteraan. Malah, Rasulullah SAW juga memiliki harta yang banyak tetapi memilih untuk hidup dalam kesederhanaan. 

Itulah ajaran dan contoh tauladan yang harus diikuti sebagai bekalan bagi menyelamatkan kehidupan yang abadi di akhirat kelak.

Oleh itu, iringilah kesabaran dalam ujian dan jauhilah ketamakan harta di dunia yang sementara.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia