Hospital sering dikaitkan dengan kesakitan, rawatan dan pemulihan. Namun, di sebalik deretan katil, bunyi peralatan perubatan dan langkah pantas petugas kesihatan, hospital sebenarnya merupakan sebuah ruang sosial yang memperlihatkan wajah kemanusiaan paling tulen.
Di situ, perbezaan bangsa, agama, kedudukan dan fahaman politik seakan-akan ditinggalkan di luar pintu wad. Apabila kesihatan diuji, manusia tidak lagi berdiri atas pangkat atau darjat. Mereka dipertemukan oleh satu hakikat yang paling asas: Setiap insan mempunyai tubuh yang rapuh, hati yang perlu dikuatkan dan harapan untuk kembali sembuh.
Hospital boleh diibaratkan sebagai miniatur Malaysia. Doktor, jururawat, petugas sokongan, pesakit dan ahli keluarga datang daripada pelbagai latar belakang. Namun, ketika bantuan diperlukan, tiada tangan yang bertanya tentang bangsa sebelum menghulurkan pertolongan. Tiada kata-kata semangat yang perlu diterjemahkan mengikut warna kulit atau kepercayaan.
Di sinilah ungkapan “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” diterjemahkan melalui tindakan. Perpaduan bukan lagi sekadar slogan pada kain rentang, tetapi hadir melalui segelas air yang dihulurkan, kerusi yang diberikan kepada warga emas, senyuman seorang jururawat dan pertanyaan ikhlas tentang keadaan pesakit.
Sakit yang menyatukan
Di wad, tiada perbezaan. Sakit menyatukan, manakala kemanusiaan membantu menyembuhkan.
Semangat muhibah yang terbina di hospital boleh difahami melalui Teori Hubungan Antara Kumpulan yang dipelopori oleh Gordon Allport. Teori ini menjelaskan bahawa hubungan langsung antara individu daripada kelompok yang berbeza berupaya mengurangkan prasangka, terutamanya apabila mereka berkongsi matlamat serta berada dalam suasana yang menggalakkan kerjasama.
Di hospital, matlamat bersama itu sangat jelas iaitu menyelamatkan nyawa, memulihkan kesihatan dan mengurangkan penderitaan. Perbezaan tidak lagi menjadi tembok pemisah. Sebaliknya, kepakaran, keprihatinan dan rasa tanggungjawab menjadi jambatan yang menghubungkan manusia.
Dalam keadaan sedemikian, seseorang tidak lagi melihat individu lain semata-mata sebagai Melayu, Cina, India, masyarakat Sabah atau Sarawak, atau anggota mana-mana kelompok. Mereka dilihat sebagai doktor yang merawat, jururawat yang menjaga, petugas yang membantu atau pesakit yang memerlukan sokongan.
Bak kata peribahasa, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Keharmonian tidak lahir dengan sendirinya. Ia terbentuk apabila manusia memilih untuk mengetepikan prasangka dan mendahulukan nilai kemanusiaan.
Tetap melukakan
Tidak semua pesakit memasuki hospital kerana penyakit yang berpunca daripada faktor fizikal semata-mata. Ada tubuh yang akhirnya rebah setelah terlalu lama memikul tekanan. Ada fikiran yang keletihan kerana terus dihimpit tuntutan. Ada juga hati yang terluka akibat kata-kata, peminggiran dan pembulian emosi yang berlaku secara berulang.
Pembulian emosi tidak meninggalkan lebam yang dapat dilihat dengan mata kasar. Namun, kesannya boleh meresap perlahan-lahan, seperti air yang menitik ke batu. Sekali dua mungkin dianggap kecil, tetapi apabila berterusan, akhirnya meninggalkan lekuk yang mendalam. Sindiran, penghinaan, tindakan meminggirkan atau memperkecil kebolehan seseorang, manipulasi emosi dan penyalahgunaan kuasa tidak seharusnya dinormalisasikan sebagai perkara biasa dalam kehidupan atau di tempat kerja. Kata-kata mungkin tidak bermata pisau, tetapi tetap mampu melukakan.
Peribahasa Melayu mengingatkan, “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”. Kata-kata yang dilemparkan mungkin segera dilupakan oleh penuturnya, tetapi kesannya boleh lama tersimpan dalam ingatan penerimanya.
Turut mempengaruhi kesejahteraan
Keadaan ini dapat difahami melalui Model Biopsikososial, yang melihat kesihatan sebagai hasil interaksi antara faktor biologi, psikologi dan sosial. Kesihatan manusia bukan hanya berkaitan dengan organ tubuh atau keputusan pemeriksaan perubatan.
Emosi, hubungan sosial, persekitaran pekerjaan dan pengalaman harian turut mempengaruhi kesejahteraan seseorang.Tekanan yang berpanjangan ibarat tali yang ditarik tanpa henti. Pada suatu ketika, tali itu akan kehilangan daya tahannya. Begitu juga halnya dengan manusia. Ketabahan tidak bererti seseorang mampu menanggung segala-galanya tanpa batas.
Ketika seseorang berhadapan dengan kesakitan atau tekanan, sokongan sosial boleh menjadi benteng yang penting. Teori Penampan Tekanan oleh Sheldon Cohen dan Thomas Wills menerangkan bahawa sokongan daripada keluarga, sahabat, rakan sekerja serta komuniti dapat membantu mengurangkan kesan buruk tekanan terhadap kesejahteraan seseorang.
Budaya saling menyokong
Di hospital, sokongan sedemikian hadir tanpa mengira kaum dan agama. Doa mungkin diungkapkan dalam bahasa yang berbeza, tetapi semuanya membawa harapan yang sama. Hal ini membuktikan bahawa empati ialah bahasa kemanusiaan yang tidak memerlukan penterjemah.
Sekiranya budaya saling menyokong ini dapat dibawa keluar dari hospital ke tempat kerja, institusi pendidikan dan kehidupan bermasyarakat, banyak tekanan serta konflik boleh dikurangkan. Kita tidak seharusnya menunggu seseorang jatuh sakit sebelum menunjukkan keprihatinan.
Daripada pengalaman itu, lahir satu pengajaran bahawa berdamai dengan takdir bukan bererti menyerah kalah. Ia juga tidak bermaksud seseorang perlu membiarkan dirinya terus diperlakukan secara tidak adil.
Hospital mengajar bahawa perpaduan tidak semestinya dibina melalui acara besar atau ucapan yang gah. Perpaduan bermula melalui tindakan kecil iaitu menghormati, mendengar, membantu dan tidak menambah beban kepada mereka yang sedang berjuang.
Kita mungkin tidak mampu menyembuhkan semua penyakit, tetapi kita boleh memilih untuk tidak menjadi punca luka kepada orang lain. Kita mungkin tidak mengetahui beban yang sedang dipikul seseorang, tetapi kita boleh memastikan kata-kata dan tindakan kita tidak menambahkan beratnya.
Masyarakat bertamadun
Masyarakat yang benar-benar bertamadun bukan sahaja memiliki kemudahan perubatan moden, tetapi turut mempunyai budaya empati yang kukuh. Kemajuan teknologi boleh membantu merawat tubuh, tetapi sentuhan kemanusiaanlah yang menguatkan jiwa.
Kesakitan mungkin membawa seseorang ke hospital, tetapi di situlah kadangkala ditemukan makna sebenar kehidupan. Antara manusia yang tidak saling mengenali, lahir bantuan tanpa syarat. Di tengah-tengah perbezaan, tumbuh semangat muhibah. Di sebalik ujian, hadir hikmah yang mengajar manusia supaya lebih menghargai kesihatan, kedamaian dan hubungan sesama insan.
Jangan menunggu kesihatan tergugat untuk belajar mengurus tekanan. Jangan menunggu seseorang terluka untuk mula menjaga tutur kata. Jangan pula menunggu perpecahan berlaku sebelum menghidupkan semangat perpaduan.
Jika nilai kemanusiaan yang hidup di hospital dapat diterapkan dalam kehidupan seharian, Malaysia bukan sahaja mampu menjadi sebuah negara maju, tetapi juga masyarakat yang saling menjaga, bagai aur dengan tebing, berbeza akar tetapi saling menguatkan.
Selamat Menyambut Hari Kebangsaan 2026!
Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw FCILT
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Ahli Majlis Bahasa Negara & Pengerusi Women in Future Technologies (WiFT), MYRAS




