Pemisahan Kuasa Peguam Negara-Pendakwa Raya: IKRAM Sambut Baik Syor JKPK Parlimen

Pemisahan Kuasa: IKRAM Sambut Baik Syor JKPK Parlimen

IKRAM Sambut Baik Syor Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen tentang Pindaan Perlembagaan bagi Pemisahan Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya 

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyambut baik syor-syor Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen berkaitan pelaksanaan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Langkah ini merupakan satu anjakan penting bagi memastikan pindaan perlembagaan selaras dengan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

IKRAM berpandangan, matlamat utama pemisahan ini mestilah berteraskan usaha menjamin ketelusan dan integriti pendakwaan, serta memastikan institusi ini bebas sepenuhnya daripada sebarang campur tangan politik atau pihak eksekutif. Sehubungan itu, IKRAM ingin mengemukakan beberapa pandangan bagi memperkukuh syor yang sedia ada:

1. Kebebasan Mutlak dalam Prosedur Pelantikan

IKRAM menyokong syor agar Yang di-Pertuan Agong (YDPA) melantik Pendakwa Raya atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP), dengan larangan mutlak kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri daripada memberi nasihat mengenai pelantikan tersebut. Walau bagaimanapun, IKRAM menekankan perlunya penambahbaikan terhadap komposisi anggota SPKP agar ia benar-benar bebas dan tidak dipengaruhi oleh pengaruh eksekutif secara tidak langsung.

2. Peranan Aktif Parlimen Melaksanakan Semak dan Imbang

IKRAM mencadangkan agar peranan JKPK Parlimen diperluas. Selain daripada memberikan ulasan mengenai calon, Parlimen perlu mempunyai kuasa yang lebih besar untuk mengawal selia fungsi pencalonan oleh SPKP serta menjadi lapisan tambahan yang aktif dalam proses pemilihan dan pemecatan bagi menjamin akauntabiliti yang lebih tinggi.

3. Tempoh Jawatan dan Kestabilan Institusi

IKRAM menyokong penuh cadangan tempoh jawatan Pendakwa Raya selama tujuh (7) tahun tanpa kemungkinan pembaharuan atau pelantikan semula. Tempoh yang tetap ini penting bagi memastikan Pendakwa Raya dapat menjalankan tugas secara objektif tanpa bimbang tentang kedudukan jawatan tersebut.

4. Penamatan Jawatan yang Telus

IKRAM berpendirian bahawa selain daripada pematuhan kepada kod etika bertulis, proses pemecatan atau penamatan tugas Pendakwa Raya sewajarnya melibatkan Parlimen melalui JKPK secara langsung. Hal ini bagi memastikan sebarang keputusan  dibuat berdasarkan pertimbangan yang adil.

5. Akauntabiliti melalui Laporan Tahunan

IKRAM menegaskan bahawa laporan tahunan yang merangkumi aspek pentadbiran, pengurusan, dan kewangan tidak seharusnya sekadar dibentangkan di Parlimen, tetapi mestilah disemak secara khusus dan mendalam oleh JKPK bagi memastikan setiap tindakan pendakwaan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang yang adil.

IKRAM percaya bahawa dengan memperkukuh peranan Parlimen dan memastikan kebebasan suruhanjaya yang terlibat, institusi Pendakwa Raya akan menjadi benteng keadilan yang teguh dan dihormati oleh semua rakyat Malaysia.

Haji Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia