Penguatkuasaan Akta Antibuli 2026: Anjakan Paradigma Demi Perlindungan Menyeluruh Kanak-kanak Bawah 18 Tahun

Penguatkuasaan Akta Antibuli 2026 Mampu Lindungi Kanak-kanak

Wanita IKRAM Malaysia, Pertubuhan Malaysia  Membanteras Pornografi (MAP) dan Pertubuhan Kanak-Kanak Idaman Nasional (KIND) menyambut baik penguatkuasaan Akta Antibuli 2026 [Akta 876] yang telah dilancarkan secara rasmi oleh Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang) pada 16 Jun 2026. 

Sebagaimana yang ditegaskan oleh YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Reformasi Institusi), langkah ini merupakan manifestasi komitmen negara untuk memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia dilindungi daripada sebarang bentuk buli dan keganasan.

Keparahan budaya buli masa kini terbukti melalui statistik Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang merekodkan 7,681 kes pada 2024 serta 2,889 kes pada 2025.

Data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 pula mendedahkan bahawa 8.6% remaja pernah menjadi mangsa buli, dengan 26.7% daripadanya melibatkan perbuatan “body shaming”. Sehubungan dengan itu, kami mengemukakan tiga (3) pendirian utama:

1. Ibu Bapa Wajib Sedar Konsep “Liabiliti Bersama” (Denda Sehingga RM250,000)

Peruntukan liabiliti bersama dalam Akta 876 bukan sekadar hukuman, malah peringatan bahawa pembinaan sahsiah adalah tanggungjawab bersama antara keluarga, sekolah, dan masyarakat.

Pembinaan nilai empati, hormat-menghormati, dan pengurusan emosi harus bermula dari rumah dan tidak wajar diserahkan sepenuhnya kepada institusi pendidikan. Setiap aduan buli harus diambil serius; tindakan menafikan atau menyalahkan pihak lain hanya menghalang proses pembetulan tingkah laku.

Walau bagaimanapun, akta ini tetap tegas: tribunal boleh menilai unsur kecuaian atau kegagalan pengawasan munasabah oleh ibu bapa dan mengarahkan pampasan sehingga RM250,000 dibayar kepada mangsa.

Mengikut Seksyen 44, kegagalan mematuhi arahan tersebut dalam tempoh 30 hari adalah kesalahan jenayah yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun.

2. Perluas Takrifan Buli: Tujuh Kategori Kini Dilindungi Undang-Undang

Akta 876 memberikan perlindungan kepada kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah dengan pendekatan holistik dan restoratif. Definisi buli kini merangkumi tujuh kategori spesifik bagi memastikan tiada ruang bagi sebarang intimidasi:

(1) Buli fizikal seperti memukul, menendang, atau merosakkan harta benda.

(2) Buli lisan melalui ejekan, penghinaan, dan ugutan.

(3) Buli sosial termasuk memulaukan atau menyebarkan fitnah.

(4) Buli emosi dan psikologi yang menyebabkan mangsa berasa takut atau tertekan. 

(5) Buli siber melalui mesej, komen, atau hantaran berunsur penghinaan.

(6) Buli sosial dalam talian yang bertujuan memalukan mangsa.

(7) Gangguan psikologi dalam ruang digital yang menjejaskan emosi dan keselamatan seseorang.

3. Permudah Akses Keadilan: Tribunal Antibuli sebagai Platform Pantas

Kami menyokong penubuhan Tribunal bagi Antibuli (TAB) sebagai platform akses keadilan yang lebih efisien, bagi menangani aduan secara pantas dan mesra kanak-kanak.

Kewujudan TAB memberikan sinar harapan baharu kepada ibu bapa untuk menuntut keadilan, termasuk mendapatkan kos rawatan terapi emosi serta perintah pemulihan maruah mangsa di ruang digital dengan tuntas.

Sebagai laluan kedua bagi aduan yang tidak ditangani sewajarnya, perintah tribunal ini bersifat mengikat dan membolehkan pelaku diarahkan untuk memohon maaf, membayar pampasan, atau mengikuti program pemulihan bagi memutuskan kitaran buli.

Seruan Tindakan: Komitmen Bersama Demi Kesejahteraan Pelajar

Wanita IKRAM, MAP dan KIND menyarankan KPM, Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Kementerian Pertahanan agar menyelaraskan segera garis panduan dalaman di setiap institusi pendidikan selari dengan peruntukan Akta Antibuli 2026. Isu buli wajib diuruskan dengan penuh ketelusan dan akauntabiliti demi keselamatan optimum setiap pelajar. 

Pada masa yang sama, kami amat berharap agar pelaksanaan akta ini turut disertai program pendidikan keibubapaan, sokongan psikososial, intervensi awal serta pendidikan emosi yang menyeluruh, kerana pencegahan sentiasa lebih berkesan daripada hukuman.

Kami komited untuk menggerakkan jaringan komuniti dalam menyebarluaskan kesedaran mengenai peruntukan akta ini, demi memastikan persekitaran yang selamat dan bebas daripada sebarang bentuk intimidasi buat generasi masa depan kita.

Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

Dr. Fatimah Ahmad Fauzi
Pengerusi Pertubuhan Malaysia Membanteras Pornografi (MAP) 

Puan Noor Habibah Rosli
Pengerusi Pertubuhan Kanak-kanak Idaman Nasional (KIND)

Rujukan:

[1] Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri. (2026). Ucaptama Majlis Pelancaran Tribunal Bagi Antibuli 2026.

[2] Institut Kesihatan Umum (IKU). (2023). Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022: Tinjauan Kesihatan Remaja.

[3] Berita Mediacorp. (2026). Malaysia Catat Lebih 2,000 Kes Buli, 3,570 Kes Jenayah di Sekolah pada 2025

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia