Global Reset: Langkah Strategik Malaysia & NGO Dakwah

Global Reset: Langkah Strategik Malaysia & NGO Dakwah | IKRAM

Dunia hari ini sedang memasuki satu fasa besar yang boleh disebut sebagai global reset iaitu penyusunan semula kuasa politik, ekonomi, keselamatan dan nilai peradaban manusia.

Perubahan ini bukan lagi bersifat perlahan atau merupakan teori akademik. Ia sedang berlaku di hadapan mata kita melalui cetusan konflik dan peperangan, krisis tenaga, perubahan pakatan antarabangsa, kebangkitan kuasa baharu dan hakisan kepercayaan terhadap susunan kuasa (world order) lama.

Berdasarkan kerangka Perancangan Senario dalam rajah 1.0, kita tidak boleh lagi merancang masa hadapan dengan andaian bahawa dunia akan kekal seperti biasa. Perancangan strategik kini perlu mengambil kira beberapa kemungkinan masa hadapan yang munasabah, termasuk senario konflik besar, perubahan pakatan keselamatan, perang ekonomi, krisis tenaga, polarisasi sosial dan cabaran baharu terhadap gerakan Islam. 

Perang antara pakatan Amerika Syarikat-Israel dengan Iran telah menjadi salah satu pencetus penting kepada perubahan ini. Ia bukan sekadar konflik ketenteraan di Timur Tengah, tetapi satu krisis yang menguji semula sistem dunia: pengaruh dan imej Amerika, masa depan NATO, kedudukan negara Teluk, hubungan UAE-Israel, pengaruh Iran, kebangkitan China dan keselamatan Asia Tenggara.

Rajah 1.0 Analisis senario  pascakonflik Teluk Parsi

Amerika Syarikat, NATO dan kecenderungan bertindak secara unilateral

Salah satu perubahan besar dalam politik dunia ialah kemungkinan Amerika Syarikat mengurangkan komitmen terhadap pakatan tradisional seperti NATO dan bergerak lebih unilateral. Ia konsisten dengan ciri Presiden Trump yang sering mencetuskan perbalahan dengan hampir semua sekutu tradisional Amerika.

Walaupun Amerika belum secara rasmi keluar daripada NATO, wacana mengenai kemungkinan itu semakin serius. Reuters melaporkan bahawa Kongres Amerika telah meluluskan undang-undang pada tahun 2023 yang menghalang presiden menarik Amerika keluar daripada NATO secara unilateral, tetapi perbahasan itu sendiri menunjukkan kegelisahan sekutu-sekutu Amerika terhadap hala tuju Washington. 

Dalam masa yang sama, laporan Reuters juga menyebut kebimbangan ahli politik kanan Republikan terhadap keputusan Pentagon menarik keluar 5,000 anggota tentera Amerika dari Jerman, iaitu sekutu penting NATO. 

NATO pula dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menamatkan amalan sidang kemuncak tahunan bagi mengelakkan pertembungan politik dengan Presiden Donald Trump, satu tanda bahawa hubungan trans-Atlantik sedang mengalami keretakan serius. 

Bagi dunia Islam dan negara kecil seperti Malaysia, perkembangan ini sangat penting. Jika Amerika bergerak semakin unilateral, sistem keselamatan dunia yang sebelum ini bergantung kepada pakatan tetap akan menjadi lebih tidak menentu. 

Negara-negara kecil tidak lagi boleh mengandaikan bahawa kuasa besar akan bertindak melalui peraturan antarabangsa. Sebaliknya, keputusan boleh dibuat secara sepihak berdasarkan kepentingan nasional kuasa besar.

Hal ini adalah sebahagian daripada “global reset”. Kuasa besar tidak lagi semestinya memimpin melalui konsensus, tetapi melalui paksa rela, rundingan keras, sekatan ekonomi dan tindakan ketenteraan terpilih.

UAE keluar OPEC dan menjadi proksi Israel

Perkembangan kedua ialah perubahan kedudukan UAE. Reuters melaporkan bahawa UAE telah keluar daripada OPEC pada 1 Mei 2026, dan syarikat minyaknya ADNOC sedang mempercepat pembangunan projek minyak dan gas menggunakan pendekatan ala shale Amerika. Langkah ini memberi UAE lebih fleksibiliti untuk menentukan strategi pengeluaran minyaknya sendiri di luar disiplin kuota OPEC. 

Dari sudut geopolitik, tindakan ini besar maknanya. OPEC selama ini menjadi salah satu instrumen utama negara-negara pengeluar minyak untuk menyelaras kuasa tenaga dunia. Apabila UAE keluar, ia menunjukkan bahawa kepentingan nasional, teknologi tenaga, hubungan strategik dengan Barat dan kerjasama keselamatan baharu mungkin lebih diutamakan berbanding solidariti lama dalam OPEC.

Pada masa yang sama, hubungan UAE dengan Israel semakin rapat selepas Perjanjian Abraham. Kedutaan UAE di Washington menyatakan bahawa perjanjian tersebut melibatkan normalisasi penuh hubungan diplomatik, pertukaran kedutaan dan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, kesihatan, pendidikan dan keselamatan. 

Laporan Times of Israel pula menyebut bahawa Israel menghantar sistem laser kepada UAE untuk membantu memintas peluru berpandu dan dron Iran, menunjukkan kerjasama keselamatan UAE-Israel semakin terbuka. 

Situasi ini membawa implikasi besar kepada dunia Islam. Sebahagian negara Arab Teluk kini tidak lagi melihat Israel semata-mata sebagai musuh tradisional, tetapi sebagai rakan keselamatan dalam menghadapi Iran. Ia menandakan perubahan struktur politik Timur Tengah.

Isu Palestin tetap penting kepada umat Islam, tetapi realiti geopolitik negara-negara Arab tertentu kini semakin dipandu oleh kepentingan keselamatan, teknologi, perdagangan dan survival rejim. Krisis Teluk membuat isu Gaza dan Palestin semakin malap di mata dunia Arab.

Iran sebagai kuasa besar penentu di Timur Tengah

Perang terkini juga membuktikan bahawa Iran bukan sekadar negara yang boleh ditekan dengan sekatan atau serangan udara. Iran muncul sebagai kuasa besar serantau yang mampu menentukan kestabilan Timur Tengah melalui beberapa instrumen: program peluru berpandu, dron, rangkaian sekutu serantau, kedudukan geografi, dan keupayaan mengganggu Selat Hormuz.

Strategi perang asimetri Iran jelas mampu menangkis serangan-serangan Amerika dan Israel, dua kuasa besar nuklear, sehingga Trump terpaksa meminta gencatan senjata setelah mengalami kekalahan teruk dan kehilangan hampir semua pangkalan tentera mereka di Teluk Parsi.

Reuters melaporkan bahawa Iran telah memperkenalkan mekanisme baharu untuk mengurus transit kapal melalui Selat Hormuz, termasuk arahan supaya kapal komersial menyelaras laluan dengan pihak ketenteraan Iran dan amaran kepada Tentera Laut Amerika supaya menjauhi kawasan tersebut.

CSIS pula menyifatkan strategi Iran sebagai “perang ketahanan” apabila Iran menggunakan Selat Hormuz untuk meningkatkan kos global kepada Amerika dan sekutunya, sambil bertaruh bahawa Tehran mampu bertahan lebih lama dari segi tekanan politik dan ekonomi. 

Selat Hormuz ialah nadi tenaga dunia. Apabila Iran mampu mengancam atau mengawal laluan ini, ia mempunyai kuasa tawar-menawar yang sangat besar. Iran mungkin tidak mampu menewaskan Amerika secara konvensional, tetapi ia mampu menjadikan kos peperangan terlalu mahal untuk Amerika, Israel, UAE, Arab Saudi dan ekonomi dunia.

Maka, Iran kini menjadi kuasa penentu. Bukan kerana ia paling kuat secara mutlak, tetapi kerana ia berada pada titik strategik yang membolehkan tindakannya menggoncang harga minyak, rantaian bekalan, keselamatan Teluk dan kestabilan politik dunia Islam.

Kehilangan kepercayaan negara Teluk terhadap Amerika

Perkembangan keempat ialah kemerosotan kepercayaan negara-negara Teluk terhadap kuasa dan peranan Amerika. Selama beberapa dekad, negara Teluk bergantung kepada Amerika sebagai pelindung keselamatan. Tetapi perang Iran, perubahan dasar Amerika dan ketidaktentuan komitmen Washington menyebabkan negara Teluk mula menilai semula strategi mereka.

AP melaporkan bahawa Amerika dan sekutu Teluk membawa cadangan ke Majlis Keselamatan PBB untuk mengenakan tekanan terhadap Iran berhubung sekatan dan gangguan di Selat Hormuz. Tetapi hakikat bahawa negara Teluk masih terdedah kepada serangan, gangguan tenaga dan tekanan Iran menunjukkan  kuasa perlindungan Amerika terlalu terhad. 

Geopolitical Monitor pula berhujah bahawa serangan terhadap negara GCC bertujuan menekan negara Teluk supaya mendesak Washington untuk menghentikan sikap penjarahannya, di samping memberi tekanan ekonomi dan politik kepada sekutu Amerika. 

Hal ini mencetuskan persoalan besar: Adakah Amerika masih mampu menjamin keselamatan Teluk seperti dahulu? Atau adakah negara Teluk perlu membina strategi baharu melalui hubungan pelbagai hala dengan China, Rusia, Israel, Turkiye, India dan Iran sendiri?

Bagi Malaysia, perkembangan ini penting kerana ia menunjukkan bahawa dunia Islam tidak lagi bergerak dalam satu blok yang jelas. Negara-negara Islam membuat keputusan berdasarkan kepentingan nasional masing-masing. Maka gerakan NGO dakwah perlu memahami realiti ini secara matang. Solidariti ummah penting, tetapi realiti geopolitik menuntut kefahaman yang lebih mendalam.

Pengaruh China semakin membesar dan mengancam keselamatan Asia Tenggara

Dalam masa yang sama, pengaruh China semakin membesar di Asia Tenggara. China bukan sahaja kuasa ekonomi, tetapi juga kuasa maritim, teknologi, diplomatik dan keselamatan. Asia Tenggara menjadi medan penting kerana kedudukannya di laluan perdagangan dunia, berdekatan Laut China Selatan, Selat Melaka dan rantaian bekalan global.

Lee Kuan Yew School of Public Policy menyatakan bahawa ASEAN sukar bercakap dengan satu suara kerana keputusan adalah berdasarkan konsensus, perbezaan persepsi ancaman antara negara anggota dan leverage ekonomi China terhadap negara-negara tertentu. CNA pula melaporkan bahawa China masih tidak berganjak daripada tuntutan luasnya di Laut China Selatan, termasuk dakwaan kawalan ke atas hampir keseluruhan kawasan berdasarkan “nine-dash line”. 

Ini memberi cabaran langsung kepada Malaysia. Malaysia mempunyai kepentingan maritim di Laut China Selatan, termasuk kawasan perikanan, sumber tenaga dan laluan perdagangan. Jika pengaruh China semakin agresif, Malaysia perlu menjaga keseimbangan antara hubungan ekonomi dengan China dan keselamatan kedaulatan negara.

Dari sudut “global reset”, Asia Tenggara mungkin menjadi medan persaingan baharu antara Amerika dan China. Jika Amerika semakin tidak konsisten, manakala China semakin berpengaruh, negara-negara ASEAN termasuk Malaysia perlu lebih berhati-hati agar tidak menjadi medan perebutan kuasa besar.

Implikasi kepada Malaysia

Kelima-lima perkembangan ini membawa implikasi besar kepada Malaysia.

Pertama, kos sara hidup boleh meningkat akibat gangguan minyak dan gas. Jika Selat Hormuz terganggu, harga minyak sedunia akan meningkat, menyebabkan kos pengangkutan, kos makanan dan barangan keperluan naik.

Malaysia mengimport 60% daripada keperluan makanan. Lebih 75% daripada bahan bakar fosil diimport dari luar negara. Kesan ke atas golongan B40 dijangka amat serius.

Kedua, dasar luar Malaysia menjadi lebih kompleks. Malaysia perlu mengekalkan hubungan baik dengan Amerika, China, negara Teluk, Iran, Turkiye, ASEAN dan dunia Islam. Hal ini memerlukan kebijaksanaan diplomatik yang tinggi.

Ketiga, keselamatan maritim Malaysia semakin penting. Laut China Selatan dan Selat Melaka akan menjadi kawasan strategik yang perlu dipertahankan melalui diplomasi, pertahanan dan kerjasama serantau.

Keempat, masyarakat Islam Malaysia boleh terdedah kepada polarisasi emosi. Isu Iran, Palestin, Israel, UAE, Amerika dan China boleh mencetuskan perdebatan panas dalam masyarakat. NGO dakwah perlu membimbing umat supaya memahami isu secara ilmu, bukan sekadar sentimen.

Kelima, ekonomi rakyat perlu diperkukuh. Jika krisis global menyebabkan inflasi, NGO dakwah perlu menggerakkan dakwah kebajikan, pendidikan kewangan, bantuan makanan, sokongan keluarga dan jaringan komuniti.

Langkah-langkah strategik negara Malaysia

Untuk menghadapi kesan besar daripada konflik Teluk Parsi, perubahan kuasa dunia dan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia perlu membina strategi nasional yang lebih menyeluruh, bersepadu dan berpandangan jauh. 

Negara tidak boleh hanya bertindak selepas krisis berlaku, sebaliknya perlu menyediakan pelan ketahanan nasional yang meliputi keselamatan tenaga, makanan, kewangan, perdagangan, perlindungan sosial, tadbir urus krisis dan diplomasi ekonomi.

Langkah-langkah ini penting supaya Malaysia mampu melindungi rakyat, menstabilkan ekonomi dan mempertahankan kepentingan negara dalam suasana dunia yang semakin tidak menentu.

1. Keselamatan tenaga 

Malaysia perlu memperkukuh keselamatan tenaga negara melalui pembinaan rizab strategik minyak dan diesel yang mencukupi. Rizab ini amat penting bagi memastikan negara mempunyai bekalan sandaran sekiranya berlaku gangguan import, kenaikan harga minyak dunia atau sekatan terhadap laluan perdagangan utama seperti Selat Hormuz.

Pada masa yang sama, Malaysia perlu mempelbagaikan sumber import tenaga supaya tidak terlalu bergantung kepada satu rantau atau satu pembekal tertentu. Usaha mempercepat pembangunan tenaga alternatif seperti tenaga solar, hidro, biojisim dan teknologi penyimpanan tenaga juga perlu diberi keutamaan agar negara mempunyai sistem tenaga yang lebih stabil, mampan dan berdaya tahan.

2. Subsidi bersasar dan dinamik 

Kerajaan perlu memperkukuh pelaksanaan subsidi bersasar dan dinamik bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Dalam keadaan krisis global, subsidi pukal boleh memberi tekanan besar kepada kewangan negara kerana manfaatnya turut dinikmati oleh golongan yang tidak memerlukan bantuan.

Oleh itu, subsidi perlu disasarkan kepada golongan rentan, keluarga berpendapatan rendah, sektor makanan, pengangkutan awam, pertanian dan sektor kritikal yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat. Pendekatan subsidi yang lebih dinamik juga membolehkan kerajaan menyesuaikan kadar bantuan berdasarkan perubahan harga minyak, makanan dan kos sara hidup semasa, sekali gus mengurangkan beban fiskal negara tanpa mengabaikan kebajikan rakyat.

3. Keselamatan makanan 

Keselamatan makanan perlu dijadikan agenda keselamatan nasional. Malaysia perlu membina stok penimbal makanan asas seperti beras, tepung, gula, minyak masak, ayam, telur dan bahan makanan utama lain supaya bekalan domestik tidak mudah terganggu apabila berlaku krisis import atau kenaikan harga global.

Dalam masa yang sama, kerajaan perlu menyokong pengeluaran domestik secara lebih serius, khususnya dalam sektor beras, ayam, sayur-sayuran, perikanan dan makanan ternakan.

Sokongan ini boleh berbentuk insentif kepada petani dan penternak, penggunaan teknologi pertanian moden, perlindungan terhadap tanah pertanian strategik serta pengurangan kebergantungan kepada input import. Keselamatan makanan bukan sekadar isu ekonomi, tetapi isu kestabilan sosial dan keselamatan rakyat.

4. Ketahanan perdagangan dan logistik 

Malaysia perlu memperkukuh ketahanan perdagangan dan logistik negara. Pelabuhan, perkapalan, gudang, rantaian bekalan dan sistem pengangkutan darat perlu mempunyai pelan kesinambungan operasi sekiranya berlaku gangguan global. 

Negara juga perlu mengenal pasti laluan alternatif bagi import dan eksport supaya perdagangan tidak terlalu bergantung kepada laluan yang mudah terjejas oleh konflik geopolitik. 

Di samping itu, perlindungan terhadap rantaian bekalan kritikal seperti makanan, ubat-ubatan, tenaga, alat ganti industri dan bahan mentah perlu diberi perhatian khusus. Kerjasama antara kerajaan, syarikat logistik, pengusaha pelabuhan dan sektor swasta perlu diperkukuh agar tindak balas terhadap krisis dapat dilaksanakan dengan pantas dan tersusun.

5. Kestabilan kewangan 

Kestabilan kewangan negara perlu dipelihara melalui langkah yang berhati-hati dan proaktif. Dalam suasana konflik global, nilai ringgit, aliran modal, pasaran saham dan keyakinan pelabur boleh terjejas. 

Oleh itu, pihak berkuasa kewangan perlu memastikan kecairan sistem perbankan mencukupi, memantau pergerakan modal secara rapi dan menyediakan langkah perlindungan sekiranya berlaku tekanan mendadak terhadap pasaran kewangan.

Kerajaan juga perlu membantu sektor perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana, supaya mereka tidak lumpuh akibat kenaikan kos pembiayaan, gangguan bekalan atau penyusutan permintaan. Kestabilan kewangan penting kerana krisis ekonomi yang tidak terkawal boleh menular menjadi krisis sosial.

6. Penampan fiskal 

Malaysia perlu membina penampan fiskal yang kukuh sebagai persediaan menghadapi krisis. Penjimatan daripada pelaksanaan subsidi bersasar boleh digunakan untuk membentuk dana krisis yang khusus bagi membantu rakyat dan sektor ekonomi apabila berlaku kejutan besar.

Dalam masa yang sama, kerajaan perlu mengutamakan perbelanjaan yang memberi kesan langsung kepada rakyat, seperti bantuan kos sara hidup, keselamatan makanan, kesihatan, pendidikan dan perlindungan pekerjaan.

Bantuan kerajaan perlu lebih bersasar dan berasaskan data, bukan menyeluruh tanpa keutamaan. Dengan penampan fiskal yang baik, negara akan mempunyai ruang kewangan yang lebih luas untuk bertindak pantas tanpa menjejaskan kedudukan fiskal jangka panjang.

7. Keupayaan domestik 

Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan kepada import kritikal dengan membangunkan keupayaan domestik dalam sektor strategik. Antara bidang yang perlu diberi perhatian ialah makanan, tenaga, perubatan, teknologi digital, alat ganti industri, pertahanan ringan dan bahan mentah penting.

Negara tidak semestinya mampu menghasilkan semua keperluan secara sendiri, tetapi Malaysia perlu mengenal pasti sektor yang terlalu kritikal untuk dibiarkan bergantung sepenuhnya kepada negara luar. Pembangunan industri strategik tempatan juga boleh membuka peluang pekerjaan baharu, meningkatkan kemahiran rakyat dan memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam jangka panjang.

8. Perlindungan sosial 

Kelapan, perlindungan sosial perlu diperkukuh bagi melindungi rakyat daripada kesan langsung krisis global. Kenaikan harga minyak, makanan dan barang keperluan akan memberi tekanan paling besar kepada golongan B40, warga emas, pekerja tidak tetap, keluarga muda dan perusahaan kecil. Oleh itu, bantuan kos sara hidup perlu disusun dengan lebih cekap, telus dan mudah dicapai oleh golongan sasaran. 

Selain itu, kerajaan perlu melindungi pekerjaan melalui sokongan kepada majikan, latihan semula pekerja, bantuan kepada pencari kerja dan sokongan khusus kepada perusahaan kecil dan sederhana. Perlindungan sosial yang baik akan mengurangkan keresahan rakyat dan membantu mengekalkan kestabilan masyarakat.

9. Tadbir urus krisis atau Economic War Room

Kerajaan perlu menubuhkan atau memperkukuh tadbir urus krisis melalui pendekatan Economic War Room yang berfungsi secara bersepadu. Pusat ini perlu memantau data masa nyata berkaitan harga minyak, bekalan makanan, nilai ringgit, aliran modal, kos pengangkutan, inflasi dan keselamatan rantaian bekalan.

Ia juga perlu menyelaraskan tindakan pantas antara kementerian, agensi kerajaan, Bank Negara Malaysia, sektor swasta dan kerajaan negeri. Dalam zaman krisis, kelewatan membuat keputusan boleh menyebabkan kesan yang lebih besar kepada rakyat. Oleh itu, Malaysia memerlukan mekanisme tadbir urus yang cekap, berasaskan data dan mampu bertindak secara pantas apabila berlaku kejutan ekonomi atau keselamatan.

10. Diplomasi ekonomi dan keneutralan aktif 

Kesepuluh, Malaysia perlu mengamalkan diplomasi ekonomi berasaskan prinsip keneutralan aktif (active neutrality). Ia bermaksud Malaysia tidak bersikap pasif atau sekadar berkecuali, tetapi aktif menggunakan ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, BRICS, APEC dan platform global lain untuk mempertahankan kepentingan negara.

Malaysia perlu mengekalkan hubungan baik dengan semua pihak, termasuk Amerika Syarikat, China, negara-negara Teluk, Iran, Turkiye, India, Jepun, Korea Selatan dan Kesatuan Eropah. Dalam dunia yang semakin berpecah kepada blok-blok kuasa, Malaysia perlu bijak mengimbangi hubungan ekonomi dan keselamatan tanpa terperangkap sebagai proksi mana-mana kuasa besar.

Diplomasi ekonomi yang matang akan membolehkan Malaysia melindungi perdagangan, pelaburan, tenaga, makanan dan kedudukan strategiknya sebagai negara sederhana yang berdaulat.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah strategik ini menuntut kerajaan Malaysia bertindak lebih awal, lebih tersusun dan lebih berani dalam membina ketahanan nasional. Krisis global tidak boleh dihadapi dengan pendekatan biasa.

Negara memerlukan dasar yang bersepadu antara keselamatan, ekonomi, kebajikan rakyat dan diplomasi luar. Jika langkah-langkah ini dilaksanakan secara konsisten, Malaysia akan lebih bersedia menghadapi gelombang ketidaktentuan dunia tanpa mengorbankan kestabilan rakyat dan kedaulatan negara.

Persediaan NGO dakwah Malaysia

Dalam suasana global reset ini, NGO dakwah Malaysia perlu menukar pendekatan daripada reaktif kepada strategik.

Pertama, NGO dakwah perlu mempunyai unit pemantauan geopolitik dan ekonomi. Unit ini boleh membaca perkembangan dunia, mengenal pasti trend, menyediakan ringkasan isu dan memberi panduan kepada pimpinan serta ahli.

Kedua, NGO dakwah perlu membangunkan perancangan senario. Berdasarkan kerangka  yang diberikan, organisasi tidak boleh hanya merancang berdasarkan senario satu masa depan yang diharapkan, tetapi perlu bersedia untuk beberapa kemungkinan atau senario masa depan. 

Ketiga, NGO dakwah perlu memperkukuh dakwah kebajikan. Dalam zaman krisis, rakyat akan lebih menghargai dakwah yang hadir dalam bentuk bantuan makanan, nasihat kewangan, kaunseling keluarga, pendidikan anak-anak, kesihatan mental dan sokongan komuniti.

Keempat, NGO dakwah perlu membina literasi media dan geopolitik umat. Umat Islam perlu diajar membezakan fakta, propaganda, fitnah, teori konspirasi dan analisis yang berasas.

Kelima, NGO dakwah perlu menjaga kesederhanaan dan kestabilan masyarakat. Menolak kezaliman Israel dan mempertahankan Palestin adalah prinsip penting, tetapi ia mesti dilakukan dengan ilmu, disiplin, undang-undang dan akhlak Islam. NGO dakwah tidak boleh membiarkan emosi umat dimanipulasi sehingga membawa kepada ekstremisme, kebencian kaum atau perpecahan dalaman.

Kesimpulan: Keperluan perancangan senario

Global reset” sedang berlaku melalui beberapa perubahan besar: Amerika semakin cenderung bertindak unilateral, NATO mengalami tekanan dalaman, UAE keluar daripada OPEC dan semakin rapat dengan Israel, Iran muncul sebagai kuasa penentu di Timur Tengah, negara Teluk semakin meragui perlindungan Amerika, dan China semakin mengembangkan pengaruh di Asia Tenggara.

Bagi Malaysia, semua ini bukan isu luar negara semata-mata. Ia memberi kesan kepada harga minyak, kos sara hidup, keselamatan maritim, hubungan diplomatik, kestabilan sosial dan masa depan umat Islam.

Bagi NGO dakwah, cabarannya ialah bagaimana untuk terus relevan dalam dunia yang berubah pantas. Dakwah tidak boleh hanya bergantung kepada ceramah dan program rutin. Dakwah mesti menjadi gerakan yang membaca zaman, membina daya tahan umat, membantu rakyat menghadapi krisis, mendidik masyarakat memahami geopolitik dan membawa rahmat kepada semua.

Dalam dunia yang sedang diset semula ini, umat Islam tidak boleh menjadi penonton. Kita perlu menjadi umat yang berilmu, bersedia, strategik dan berakhlak. Perancangan senario bukan lagi pilihan tambahan, tetapi keperluan utama bagi memastikan gerakan dakwah Malaysia terus relevan dalam zaman ketidakpastian global.

Prof. Emeritus Dr Awaluddin Mohamed Shaharoun
Pengarah Eksekutif
Pusat Kecermerlangan Palestin (PACE)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia