Krisis Global: Cabaran Kini dan Tanggungjawab Muslim

Global Krisis

Dunia hari ini berhadapan dengan tiga krisis serentak yang saling berkaitan antara satu sama lain iaitu krisis iklim, krisis perang dan krisis ekonomi.

Ketiga-tiga ini bukan berlaku dalam keadaan berasingan, malah saling berhubungan dan menghasilkan kesan domino yang dirasai oleh setiap lapisan masyarakat, termasuk rakyat Malaysia.

Bagi seorang Muslim, keadaan ini bukan sahaja perlu dibaca melalui kaca mata ekonomi dan geopolitik semata-mata, tetapi juga melalui lensa iman dan tanggungjawab.

Peningkatan suhu global, bekalan makanan terancam

Pada Mac 2026, World Meteorological Organization (WMO) atau Pertubuhan Meteorologi Sedunia mengesahkan bahawa tahun 2025 merupakan tahun terpanas dalam rekod sejarah manusia, dengan suhu global yang dicatatkan pada paras 1.43°C melebihi purata zaman praperindustrian.

Gelombang haba yang melanda Barat Daya Amerika Syarikat pada Mac 2026 memecahkan rekod suhu tertinggi dalam tempoh 122 tahun, iaitu mencapai 44.4°C di sempadan California-Arizona.

Kesan peningkatan suhu global ini bukan sekadar persoalan cuaca, ia melibatkan pertumbuhan makanan dunia. Laporan Food and Agriculture Organization (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersama WMO menjelaskan bahawa setiap kenaikan 1°C suhu global mampu mengurangkan hasil tuaian tanaman makanan utama dunia dengan ketara.

Contohnya, hasil tuaian gandum dijangka merosot antara 6 hingga 8 peratus, jagung dan beras masing-masing merosot antara 3 hingga 10 peratus, manakala tanaman soya turut terjejas apabila suhu panas melampau menyebabkan pokok tidak menghasilkan bunga dan bijian tidak terbentuk dengan sempurna.

Bukan itu sahaja, sektor lain seperti ternakan, perikanan dan sektor perhutanan turut menerima kesan yang sama.

Sejarah telah membuktikan bahawa pada Mac 2022, gelombang haba yang melanda India menyebabkan hasil tuaian gandum merosot 10 hingga 15 peratus. Ia memaksa kerajaan India melarang eksport gandum mereka kepada negara luar menyebabkan harga gandum global melonjak 6 peratus dalam sekelip mata.

Negara-negara miskin di Asia dan Afrika menerima tempiasnya dengan begitu ketara. Pada tahun 2023, India sekali lagi melarang eksport beras selepas musim monsun yang tidak menentu yang merosakkan tanaman mereka, mendorong harga beras Asia melonjak ke paras tertinggi dalam dua tahun. 

Rantau Asia Tenggara turut tidak terkecuali dari situasi ini. Gelombang haba yang melanda pada Mac sehingga Mei 2023 mencatatkan suhu melebihi 45°C di Thailand, Myanmar dan Laos, serta melebihi 40°C di Cambodia, Vietnam dan Malaysia yang melambatkan musim penanaman padi di seluruh rantau.

Negara Thailand yang merupakan pengeksport beras kedua terbesar dunia, terpaksa meminta petani mengurangkan penanaman kepada satu musim sahaja bagi menjimatkan air. Vietnam pula mengumumkan pengurangan eksport berasnya daripada 7.1 juta tan kepada 4 juta tan menjelang 2030.

Indonesia pula terpaksa mengimport satu juta tan beras bagi menampung kekurangan bekalan dalam negeri. Kesemua ini mendorong harga beras di Asia Tenggara mencecah paras tertinggi dalam 15 tahun pada penghujung 2023. Inilah kesannya, apabila satu negara pengeluar terjejas, seluruh dunia merasakan kesannya.

Perang yang membakar harga

Krisis ini diburukkan lagi oleh perang yang tiada kesudahan. Pada 28 Februari 2026, Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, mencetuskan konflik bersenjata yang menggegarkan rantau Timur Tengah.

Iran bertindak balas dengan menyekat Selat Hormuz, laluan dagang yang menanggung 20 peratus bekalan minyak dunia dan 20 peratus gas asli cecair global. Agensi Tenaga Antarabangsa menyifatkan sekatan ini sebagai gangguan bekalan terbesar dalam sejarah pasaran minyak global.

Harga minyak antarabangsa melonjak melebihi 100 dolar setong buat pertama kali sejak pencerobohan Rusia ke Ukraine. Dana Kewangan Antarabangsa menganggarkan setiap kenaikan 10 peratus harga tenaga berpotensi menambah hampir setengah peratus kepada inflasi global.

Bagi negara seperti Malaysia yang bergantung kepada import untuk pelbagai keperluan asas, kenaikan harga minyak bermaksud kenaikan kos pengangkutan, kos pengeluaran yang akhirnya menyebabkan kenaikan harga barang di kedai, pasar raya dan sebagainya. 

Situasi ini memberi tekanan kepada “poket” rakyat marhaen dalam tempoh terdekat dan tempoh jangka masa panjang.

Bukan kebetulan

Al-Quran telah memaklumkan kepada manusia sebagai pengajaran dan peringatan iaitu:

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia.” (Ar-Rum: 41)

Ayat ini bukan sekadar peringatan kepada akhirat sahaja, ini merupakan gambaran tepat terhadap realiti yang kita saksikan hari ini.

Pemanasan suhu global bumi adalah akibat daripada pembakaran bahan fosil tanpa kawalan, peperangan yang dipacu oleh kepentingan kuasa besar dan ketamakan sistem ekonomi global yang mengabaikan keadilan. Inilah kerosakan yang dilakukan oleh tangan manusia sendiri.

Kerangka respons: AISAR

AISAR, iaitu Akidah, Ibadah, Syariah, Akhlak dan Rahmah, merupakan kerangka holistik yang menjadi panduan hidup Muslim dalam mendepani sebarang cabaran, termasuk krisis global yang sedang berlaku kini.

Akidah yang kukuh menjadi asas memujuk jiwa ketika harga barang meningkat dan berita dunia yang semakin bergolak. Keyakinan bahawa Allah merupakan ar-Razzaq, Pemberi Rezeki yang menghalang seorang Muslim daripada jatuh ke dalam situasi panik dan putus asa. 

Ibadah yang konsisten pula bukan sekadar ritual, tetapi latihan jiwa untuk bersabar, bersyukur dan tidak tamak. Nilai ini menjadi benteng terhadap mentaliti pembelian panik dan pembaziran.

Syariah memberikan panduan praktikal dalam urusan kewangan, termasuk larangan pembaziran, galakan berjimat dan sistem zakat yang memastikan harta beredar kepada mereka yang memerlukan.

Akhlak yang mulia mendorong seorang Muslim menjadi pengguna yang bertanggungjawab, bijak, tidak memanipulasi harga dan mengutamakan orang lain yang susah.

Rahmah pula menuntut Muslim melihat krisis global sebagai peluang untuk menghulurkan tangan kepada masyarakat setempat mahupun umat manusia sejagat yang sedang menderita akibat perang dan kelaparan.

Krisis yang melanda dunia hari ini bukan tanda kehancuran semata-mata. Krisis ini merupakan ujian dan peringatan. Seorang Muslim yang memahami zamannya tidak akan hanyut bersama arus, sebaliknya berdiri teguh atas paksi iman sambil memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.

Kerangka AISAR bukan sekadar teori. AISAR ialah pelan tindakan yang menuntut pelaksanaan dalam setiap keputusan harian kita.

Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia