Pernahkah kita terfikir, mengapa menahan lapar dan dahaga selama dua belas jam terasa lebih mudah berbanding meletakkan telefon selama empat belas minit?
Soalan ini bukan sekadar retorik, namun merupakan cerminan realiti masyarakat hari ini yang perlu kita akui dengan jujur. Kita mampu menahan perut daripada makanan, tetapi gagal menahan jari daripada menyentuh skrin.
Kita berjaya menjauhi air sejuk di tengah hari yang terik, namun kurang berdaya menjauhi aplikasi media sosial. Ada sesuatu yang tidak kena di sini dan Ramadan tahun ini mungkin menjadi ruang terbaik untuk kita menilai semula hubungan kita dengan dunia digital.
Ketagihan yang senyap
Masyarakat pada tahun 2026 menghadapi satu bentuk ketagihan baharu yang dikenali sebagai ketagihan digital. Ia berbeza dengan ketagihan bahan seperti dadah atau ubat batuk yang jelas kelihatan.
Ketagihan digital ialah ketagihan skrin bergerak secara senyap, yang tidak meninggalkan kesan fizikal yang ketara, namun mampu menghakis jiwa jika tidak dibendung sebaiknya.
Kajian kesihatan mental global menunjukkan peningkatan kadar kemurungan yang selari dengan penggunaan media sosial. Generasi muda mempunyai ratusan, ribuan malah jutaan rakan di dunia maya, namun berasa sunyi di dunia nyata.
Apa yang lebih membimbangkan, ketagihan senyap ini tidak mengenal usia, lihat sahaja meja makan yang dahulunya menjadi ruang perbualan kini menjadi deretan kepala yang tertunduk ke skrin masing-masing.
Mengapa ketagihan ini sukar diatasi? Ia menjadi demikian kerana platform digital bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga mesin perniagaan yang menjadikan perhatian manusia sebagai komoditi.
Notifikasi yang kerap, video yang dimainkan tanpa henti, ciri “tarik untuk muat semula” semuanya direka untuk memastikan kita terus melekat pada skrin. Dalam ekonomi digital ini, kita bukan pengguna. Kita ialah produk.
Puasa latihan mengawal diri
Konsep berpuasa dalam bulan Ramadan adalah latihan mengawal diri secara intensif, yang melatih diri selama sebulan untuk berkata “tidak” kepada desakan nafsu. Inilah prinsip yang boleh diaplikasikan kepada hubungan kita dengan teknologi.
Jika kita mampu menahan diri daripada makanan kerana perintah Allah, mengapa tidak mampu menahan diri daripada skrol yang berlebihan?
Rasulullah SAW menegaskan bahawa puasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum. Malah anggota tubuh badan yang terdiri daripada mata, telinga dan lidah juga ada puasanya. Dalam konteks hari ini, mungkin sudah tiba masanya kita mengiktiraf satu lagi dimensi iaitu berpuasa daripada penggunaan teknologi yang tidak terkawal.
Kesan mendalam kepada kerohanian
Ramadan merupakan bulan hati kita paling dekat dengan Allah kerana hanya pada bulan inilah semua umat Islam diwajibkan berpuasa, menahan lapar dan dahaga. Pada bulan ini juga nafsu dan keinginan kita akan terkawal.
Namun ketagihan digital boleh merampas peluang ini tanpa kita sedari. Bagaimana kita mampu khusyuk ketika menunaikan solat tarawih jika minda sentiasa memikirkan notifikasi yang belum disemak? Bagaimana kita mahu merasai kemanisan tilawah al-Quran jika hati sudah sebati dengan hiburan tanpa henti?
Puasa bukan sahaja melatih kita untuk mengosongkan perut, tetapi juga melatih mengosongkan minda daripada perkara sia-sia. Hal ini dijelaskan dalam al-Quran melalui Surah ar-Ra’d ayat 28 yang menyebut bahawa hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.
Ramadan menyediakan ruang untuk mendapatkan ketenangan ini, namun ketenangan ini tidak mampu tercapai selagi minda dipenuhi dengan notifikasi digital yang tidak berkesudahan.
Langkah praktikal detoks digital
Detoks digital bukan bermakna membuang telefon atau kita perlu berhijrah ke hutan belantara untuk mencari ketenangan. Detoks digital merupakan antara usaha kita untuk meletakkan semula teknologi itu hanya sebagai alat yang memudahkan kehidupan, bukannya sebagai “tuan” yang mengawal kehidupan.
Jadikanlah Ramadan tahun ini sebagai langkah awal untuk memulakan detoks ini. Waktu sahur dan berbuka boleh dijadikan zon bebas telefon agar keluarga dapat berkumpul, berbual bersama tanpa gangguan.
Waktu menunggu berbuka yang biasanya dihabiskan dengan skrol tanpa tujuan pula boleh digantikan dengan bacaan al-Quran atau zikir. Waktu selepas tarawih pula boleh dimanfaatkan untuk muhasabah dan tafakur.
Langkah kecil yang dilakukan secara konsisten selama sebulan ini mampu membentuk tabiat yang baharu. Puasa pada bulan Ramadan menyediakan suasana terbaik untuk kita membina semula peribadi melalui perubahan kecil yang dilakukan secara berterusan.
Tindakan ini selari dengan pandangan Imam al-Ghazali yang menyatakan bahawa akhlak bukanlah sesuatu yang kekal dan tidak boleh diubah. Sebaliknya, perangai dan tingkah laku itu boleh dididik menjadi lebih baik melalui latihan yang berterusan.
Mengekalkan perubahan dengan panduan yang jelas
Harus diakui, momentum perubahan yang dicetuskan sepanjang Ramadan sering kali bersifat sementara. Realiti kembali kepada tabiat lama pasca-Ramadan merupakan satu kelaziman yang tidak wajar dipandang mudah.
Motivasi semata-mata tidak memadai; sebaliknya, satu kerangka panduan yang jelas amat diperlukan bagi menjamin kelangsungan transformasi yang telah dibina.
AISAR iaitu Akidah, Ibadah, Syariah, Akhlak dan Rahmah yang diperkenalkan oleh IKRAM menawarkan panduan menyeluruh untuk tujuan ini. Dalam konteks detoks digital, kerangka AISAR membantu kita memahami bahawa perubahan perlu bermula dari akar.
Akidah yang mantap membina kesedaran bahawa setiap saat merupakan amanah yang akan dipersoalkan, sekali gus memberi motivasi untuk menggunakan masa dengan bijak. Ibadah yang konsisten menyediakan alternatif yang bermakna kepada hiburan digital.
Kefahaman syariah membantu kita menilai apa yang halal dan haram termasuk dalam penggunaan teknologi. Akhlak yang mulia membentuk adab berinteraksi di dunia maya. Semangat rahmah pula mendorong kita untuk menyebarkan kebaikan, bukan sekadar menggunakan platform untuk kepentingan diri.
Penutup
Justeru, Ramadan yang menjelang tahun ini membawa peluang yang sepatutnya tidak disia-siakan. Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi bulan untuk menilai semula hubungan kita dengan dunia digital.
Detoks digital bukanlah satu kemewahan, sebaliknya satu keperluan. Ramadan menyediakan ruang untuk memulakan perubahan ini dan AISAR menyediakan panduan untuk mengekalkannya.
Persoalannya bukan lagi sama ada kita perlu berubah, tetapi sama ada kita benar-benar mahu berubah.
Selamat menyambut Ramadan.
Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia




