Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) mengambil berat laporan Bloomberg yang mendakwa bahawa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
HIKAM menyokong penuh keputusan mesyuarat Jemaah Menteri untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan serta perkara berbangkit berkaitan, yang akan diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Ini adalah langkah yang tepat demi menjaga reputasi dan kredibiliti SPRM, agar siasatan dapat dilaksanakan secara telus.
HIKAM menggesa agar jawatankuasa siasatan yang dibentuk bersifat bebas dan bertanggungjawab kepada Parlimen. Keanggotaannya sewajarnya terdiri daripada individu yang tidak mempunyai kepentingan politik atau peribadi. Bagi memastikan semak dan imbang yang adil, jawatankuasa ini perlu melaporkan hasil siasatan terus kepada Parlimen sebagai badan perwakilan suara rakyat.
Langkah ini adalah mekanisme terbaik untuk membersihkan nama individu yang terlibat sekiranya tidak bersalah, sekali gus menyelamatkan maruah SPRM.
HIKAM meletakkan kepercayaan kepada jawatankuasa khas siasatan untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh tanpa rasa takut atau pilih kasih. Ketelusan dalam proses ini adalah kunci utama untuk menutup segala ruang spekulasi yang boleh merosakkan imej negara. Rakyat berhak mengetahui kebenaran berdasarkan fakta dan peruntukan undang-undang.
Akhir sekali, kami menyeru pihak kerajaan dan seluruh lapisan rakyat Malaysia untuk tidak goyah dalam perjuangan menentang rasuah. Isu ini tidak seharusnya melumpuhkan semangat kita untuk membersihkan negara daripada amalan penyelewengan dan pecah amanah. Sebaliknya, ia harus menjadi titik tolak kepada reformasi institusi yang lebih berintegriti dan mampan.
Hanya dengan keberanian untuk menegakkan kebenaran, kita dapat memastikan Malaysia dihormati sebagai sebuah negara yang berintegriti tinggi dan bebas daripada belenggu rasuah.
Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM)
1. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
2. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
3. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
4. Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)
Sekretariat HIKAM
Azizuddin Ahmad
Setiausaha Agung WADAH
Mohd Hafiz Abd Hamid
Setiausaha Agung IKRAM
Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri
Setiausaha Agung ABIM
Mohd Sabbri Md Yudin
Setiausaha Agung HALUAN




