Kedatangan Ramadan: 5 Golongan yang Menyambutnya

Ramadan

Setiap kali Ramadan menghampiri, umat Islam menyambutnya dengan perasaan yang berbeza-beza. Ada yang menyambutnya dengan penuh rindu dan harapan, ada yang melihatnya sebagai rutin tahunan, dan tidak kurang juga yang berasa terbeban. Hakikatnya, kesediaan umat Islam menyambut Ramadan tidak berada pada tahap yang sama.

Persoalan penting yang wajar ditanya bukanlah tentang perasaan orang lain, tetapi di manakah kedudukan kita sendiri saat jemputan agung ini tiba? Allah SWT menjelaskan tujuan utama puasa dengan tegas iaitu:

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah: 183)

Ayat ini meletakkan takwa sebagai destinasi dan matlamat ibadah puasa itu sendiri. Namun perjalanan menuju takwa tidak sama bagi setiap insan bergantung kepada penerimaan kita akan kehadiran Ramadan. Secara umumnya, kita dapat melihat beberapa golongan dalam menyambut Ramadan.

Golongan pertama ialah mereka yang benar-benar bersedia secara rohani dan sedar akan tujuan Ramadan. Mereka tidak menunggu malam pertama untuk berubah. Sejak Rejab dan Syaaban, mereka sudah memperbaik solat, melazimi puasa sunat, memperbanyak doa dan memperbaharu niat.

Ramadan bagi mereka adalah madrasah jiwa dan tempat melatih sabar, menundukkan hawa nafsu, membersihkan hati dan peluang perubahan. Mereka menetapkan sasaran ibadah, menjaga lidah daripada dosa dan berusaha memastikan setiap amalan dilakukan dengan kesedaran, bukan sekadar kebiasaan. 

Bagi golongan ini, Ramadan adalah peluang transformasi dan merubah diri, bukan sekadar musim ibadah. Golongan ini bukan insan sempurna, tetapi mereka serius dalam perjalanan menuju takwa.

Golongan kedua pula bersedia secara ritual tetapi kurang penghayatan. Puasa tidak ditinggalkan, tarawih dihadiri, al-Quran dibaca, namun hati kurang hadir. Ibadah dilakukan sebagai rutin tahunan dan cukup syarat, tetapi kurang makna. 

Ramadan berlalu tanpa kesan jangka panjang. Rasulullah SAW mengingatkan:

“Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga.”  (Riwayat Ibn Majah)

Ibadah dilakukan, tetapi hati tidak benar-benar hadir. Emosi masih tidak terkawal, pertengkaran tetap berlaku, dan selepas Ramadan, kehidupan kembali seperti biasa tanpa perubahan ketara. 

Golongan ini sebenarnya sudah berada di landasan yang betul, cuma memerlukan kesedaran yang lebih mendalam agar ibadah menembusi hati, bukan sekadar gerakan zahir.

Golongan ketiga ialah mereka yang menyambut Ramadan secara sosial tetapi tidak rohani. Kemeriahan bazar, juadah berbuka, promosi raya dan aktiviti komuniti lebih menonjol daripada muhasabah diri. 

Media sosial dipenuhi gambar makanan dan persiapan Aidilfitri, sedangkan al-Quran mungkin jarang dibuka. Ramadan menjadi acara budaya dan tradisi, bukan proses penyucian jiwa. 

Allah SWT menegur sikap lalai ini dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Maka celakalah orang-orang yang solat, iaitu mereka yang lalai daripada solat mereka.”
(Surah al-Ma‘un: 4–5)

Golongan ini lalai bukan kerana tidak beribadah, tetapi kerana tidak menghayatinya. Cabaran utama bagi golongan ini ialah hati menjadi sibuk dengan suasana luar sehingga lupa membina hubungan dalaman dengan Allah SWT. Golongan ini memerlukan anjakan fokus daripada kemeriahan zahir kepada kekhusyukan batin.

Golongan keempat pula ialah mereka yang tidak bersedia dan berasa terbeban dengan kehadiran Ramadan. Bagi mereka Ramadan bukan membawa suasana tenang, tetapi tempoh yang menambah tekanan.

Ia termasuklah tekanan kewangan, tuntutan kerja, konflik keluarga atau kesihatan mental yang menjadikan Ramadan terasa berat. Sahur menjadi cabaran, siang hari terasa panjang, dan malam dipenuhi keletihan. 

Golongan ini sering disalah tafsir sebagai mereka yang kurang iman, sedangkan mereka mungkin sedang berjuang dalam diam. Sebenarnya, Islam tidak pernah menuntut sesuatu di luar kemampuan sesorang. Allah SWT berfirman (maksudnya):

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah al-Baqarah: 286)

Mereka ini adalah golongan yang sangat memerlukan empati, sokongan, kefahaman serta doa dan bantuan, bukannya penghakiman.

Akhirnya, terdapat golongan yang sedar akan kekurangan diri dan ingin berubah (Golongan kelima). Mereka mungkin datang dengan sejarah kelalaian dan dosa, namun hati mereka lembut dengan rasa penyesalan. 

Mereka tidak sempurna, tetapi ada keinginan untuk kembali ke jalan Ilahi. Inilah golongan yang paling besar harapannya memasuki gerbang Ramadan. Kesedaran adalah pintu taubat, dan taubat adalah jambatan menuju rahmat. 

Inilah golongan yang paling besar harapannya. Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap anak Adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah mereka yang bertaubat.”  (HR at-Tirmizi)

Kesedaran dan keinginan untuk berubah adalah pintu rahmat. Ramadan bagi mereka adalah titik mula dan ruang untuk memohon ampun, memperbaharu niat dan membina langkah kecil ke arah perubahan.

Sebenarnya, kelima-lima golongan ini mungkin wujud dalam diri kita pada waktu yang berbeza. Ada tahun kita begitu bersedia, ada masa kita lalai, ada ketika kita tertekan, dan ada detik kita benar-benar ingin berubah. Ramadan bukan medan untuk menilai orang lain, tetapi ruang untuk muhasabah diri kita secara jujur.

Ramadan tidak menuntut kesempurnaan. Ia menuntut keikhlasan. Ia tidak menuntut kita menjadi malaikat dalam sekelip mata, tetapi mengajak kita menjadi hamba yang lebih sedar dan lebih dekat dengan Tuhan. Allah SWT membuka pintu harapan seluas-luasnya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah.” (Surah az-Zumar: 53)

Ramadan bukan medan untuk menilai orang lain, tetapi ruang untuk muhasabah diri, menetapkan niat dan memulakan langkah kecil tetapi konsisten. Yang paling penting bukan di mana kita bermula, tetapi ke mana tujuan kita.

Ramadan adalah jemputan Ilahi. Ia bukan untuk yang sudah sempurna, tetapi untuk mereka yang mahu kembali kepada fitrahnya sebagai hamba Allah yang Maha Esa. 

Maka sebelum bulan ini benar-benar tiba, tanyalah dengan jujur diri kita masing-masing: Sejauh mana aku benar-benar bersedia menerima kehadiran Ramadan

Dr. Sabariah Baharun

Ahli Jawatankuasa Pusat

Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia