PETALING JAYA – Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) telah melancarkan kempen Manifesto Rakyat 2.0 (MR 2.0) bagi menilai prestasi kerajaan dan tuntutan rakyat kini di peringkat pusat dan negeri secara adil dan kritikal, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
“(Manifesto Rakyat 2.0) satu inisiatif sivik berskala nasional yang melibatkan orang awam dalam pengumpulan suara akar umbi dan komuniti. Suara-suara ini merangkumi idea pembaharuan, maklum balas dasar, cadangan perubahan serta tuntutan rakyat,” jelas GBM dalam sidang media semalam di Tamil Foundation Malaysia di sini.
Inisiatif Manifesto Rakyat telah dimulakan pertama kali oleh GBM pada tahun 2021 dan diterbitkan pada Mei 2022, sebelum berlangsungnya PRU15.
“Manifesto Rakyat 2.0 bertujuan untuk meneruskan penetapan jangkaan dan penanda aras, serta menjadi rujukan utama kepada semua parti politik menjelang PRU akan datang, yang mesti dipanggil selewat-lewatnya pada November 2027,” tambahnya.
Sidang media tersebut menandakan permulaan fasa pertama GBM bagi proses rundingan dan penglibatan awam di seluruh negara dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang.
“GBM bersama rakan-rakannya akan melibatkan komuniti di seluruh Malaysia melalui penyerahan maklum balas, tinjauan, forum dan perbincangan, bagi mendokumentasikan pengalaman realiti, kebimbangan serta cadangan pembaharuan praktikal daripada rakyat pelbagai latar belakang.”
“Kesemua usaha ini akan memuncak dengan penerbitan akhir dokumen Manifesto Rakyat 2.0, setelah proses konsultasi awam dan pembangunan dasar selesai dilaksanakan.”
Ujar GBM, ia ingin mengumpul dan mendengar satu pusingan baharu suara rakyat, setelah kerajaan persekutuan serta beberapa kerajaan negeri telah memerintah selama lebih tiga tahun.
Ini membuka peluang bagi individu serta CSO yang bekerja rapat dengan komuniti dan isu-isu rakyat menyuarakan pandangan mereka mengenai keadaan semasa negara serta harapan mereka bagi baki tempoh pentadbiran kerajaan ini.
“Kami ingin mengingatkan kerajaan persekutuan dan negeri bahawa masa sudah semakin suntuk sekiranya pihak yang berkuasa ini benar-benar serius untuk menunaikan janji.”
“Jika parti-parti politik yang memerintah gagal menunaikan manifesto dan janji pilihan raya mereka, para pengundi akan menyedari helah mereka dan berkemungkinan besar akan berpaling tadah daripada parti-parti yang berkenaan, yang telah pun kehilangan kepercayaan rakyat,” tegas GBM.
Projek Manifesto Rakyat 2.0 ini akan melibatkan orang awam di seluruh negara melalui penyerahan maklum balas, tinjauan, jelajah, forum, temu bual dan perbincangan kumpulan fokus, yang dirancang dilaksanakan bermula dari Februari hingga Julai 2026, merangkumi libat urus komuniti bandar dan luar bandar, termasuk Sabah dan Sarawak, serta kumpulan terpinggir.
Perbincangan dasar akan dianjurkan di bawah empat teras utama: Rakyat dan Masyarakat; Hak Rakyat; Kesejahteraan Rakyat; serta Institusi Rakyat. Dokumen akhir ini akan diterbitkan dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Tamil dan Cina,” jelas GBM lagi.
GBM dan Kumpulan Kerja MR 2.0 akan menjemput individu, kumpulan komuniti serta organisasi di seluruh Malaysia untuk turut serta membentuk Manifesto Rakyat 2.0 ini, dan mengalu-alukan semua pihak untuk melengkapkan Tinjauan dan Borang Penyerahan Cadangan Manifesto Rakyat:
- tinyurl.com/ManifestoRakyat2SurveyBM (Bahasa Melayu)
- tinyurl.com/ManifestoRakyat2SurveyEN (Bahasa Inggeris)
- tinyurl.com/ManifestoRakyat2SurveyCN (Bahasa Cina)
Sekiranya ingin mengemukakan cadangan yang lebih terperinci, anda boleh memuat turun borang penyerahan melalui pautan tersebut dan mengisinya ikut arahan yang telah diberikan. Maklumat lanjut boleh dilayari di pautan www.manifestorakyat.my atau www.gbmalaysia.org.my.
Dalam sidang media itu juga, taklimat dan pengenalan mengenai Manifesto Rakyat 2.0 dibentangkan oleh Koordinator Program GBM, Dr. Lim Chee Han diikuti dengan perkongsian lima ahli panel mengenai prestasi kini kerajaan dan penilaian Manifesto Rakyat yang lalu, iaitu Faisal Aziz (Pengerusi BERSIH), Aisyah Dalila, Dr Citra, SP Nathan dan Muhammad Sha’ani.
Turut hadir Pengerusi GBM, Ir Stanley Yong Yew Wei, bersama Timbalan Presiden IKRAM, Jusni Yusoff dan Ahli JKP, Dr Hasbullah Ashari, serta rakan-rakan NGO di bawah GBM.
Ditubuhkan pada 2011, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) adalah gabungan lebih 20 NGO berbilang kaum dan bahasa di Malaysia, bertujuan untuk menangani pelbagai cabaran yang dihadapi masyarakat, dengan matlamat utama untuk memupuk sebuah negara yang adil dan saksama.
*Tonton rakaman penuh sidang media: https://www.youtube.com/live/0B6-nTufU0s




