Ibrah Kisah Salman al-Farisi: Harga Sebuah Kebenaran

ustazah

Kisah Salman al-Farisi merupakan sebuah manifesto perjuangan anak muda dalam mencari hakikat kebenaran. Menerokai semula jejak pengorbanan para sahabat bukan sekadar menoleh ke masa lalu tetapi satu keperluan untuk mengisi kekosongan jiwa.

Tanggungjawab membina semula kekuatan karakter generasi masa kini menuntut kita untuk menanam keberanian dalam mempertahankan prinsip. Ia selari dengan visi Islam Rahmah yang menekankan bahawa Islam bukan hanya untuk diri sendiri tetapi untuk kesejahteraan masyarakat sejagat.

Meninggalkan “zon selesa”

Salman dilahirkan sebagai seorang anak bangsawan Parsi dalam keluarga penganut agama Majusi. Beliau hidup dalam kemewahan dan kasih sayang. Namun, saat beliau melihat ritual di gereja Nasrani yang dirasakan lebih murni, Salman tidak menutup mata hatinya. 

Walaupun dikurung dan dirantai oleh bapanya, beliau nekad memilih jalan yang sukar demi keyakinan. Beliau telah melarikan diri mengikut kabilah perniagaan ke Syam. Tindakan ini selari dengan firman Allah SWT: “Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata…” (Surah al-Baqarah: 207)

Prinsip mencari kebenaran dalam Islam menuntut kita untuk berani keluar daripada taklid buta (ikut-ikutan). Keimanan bermula daripada pencarian yang jujur, bukan sekadar warisan harta atau status sosial.

Ujian perjuangan: Antara khianat dan cahaya

Kembara Salman ke Syam membawanya kepada seorang paderi yang tidak amanah. Beliau telah mengeksploitasi agama demi kepentingan peribadi.

Namun, Salman tidak membenarkan perilaku buruk seorang individu memadamkan kecintaannya kepada kebenaran. Pascakematian paderi itu, beliau dipertemukan pula dengan silsilah guru-guru yang benar-benar zuhud dan berintegriti di Mosul, Nasibin dan Amuria.

Ini adalah pengajaran tentang integriti dan kualiti insan. Seorang mukmin harus bijak menilai antara kebenaran ajaran dengan kelemahan penganutnya. Salman tidak terjatuh dalam perangkap prejudis.

Beliau terus mencari kualiti keinsanan yang mulia sehingga saat beliau diberitahu tentang kemunculan nabi terakhir yang membawa risalah Nabi Ibrahim, risalah yang membawa rahmat kepada seluruh alam.

Dari bangsawan ke hamba: Ketabahan mengharungi penindasan

Demi mencapai cita-citanya, Salman sanggup menyerahkan seluruh hartanya kepada pedagang kabilah, namun beliau dikhianati dan dijual sebagai hamba di Yathrib (Madinah). Daripada seorang elit di istana Parsi, beliau menjadi buruh paksa di bawah terik matahari.

Salman memanifestasikan sifat sabar dan tawakal yang aktif. Beliau tidak meratap, sebaliknya terus bekerja keras sambil menanti petunjuk. Islam menekankan bahawa martabat manusia tidak ditentukan oleh status sosial tetapi oleh keteguhan prinsip. 

Penghambaan fizikal yang dialaminya sedikit pun tidak dapat memenjarakan merdeka jiwanya yang sudah pun menemui bau kebenaran di bumi Madinah yang penuh pohon kurma.

Detik pencarian berakhir: Kemanusiaan yang menyantuni

Pertemuan Salman dengan Rasulullah SAW di Quba’ dan Madinah adalah kemuncak kepada sebuah kembara saintifik. Salman tidak hanya mengikut emosi, tetapi menguji kebenaran melalui bukti: sifat Baginda yang tidak menerima sedekah, menerima hadiah dan memiliki tanda kenabian.

Rasulullah SAW menunjukkan contoh kepimpinan yang rahmah. Baginda tidak tersinggung apabila diperhatikan dengan teliti, malah dengan penuh hemah memudahkan urusan Salman dengan menurunkan sedikit kain selendangnya. Inilah wajah Islam yang inklusif dengan menyantuni pencarian ilmu dengan kasih sayang, bukan dengan paksaan atau kekerasan.

Solidariti ummah: Kemerdekaan sebagai matlamat sosial

Setelah memeluk Islam, Salman masih terbelenggu dengan status hamba. Rasulullah SAW lantas menggerakkan para sahabat untuk membantu Salman melalui perjanjian mukatabah

Melalui semangat gotong-royong menanam 300 anak pokok kurma dan sumbangan emas, Salman akhirnya kembali menjadi manusia merdeka.

Inilah intipati negara rahmah, sebuah komuniti yang saling membebaskan dan memperkasakan. Islam Rahmatan lil ‘Alamin bukan sekadar urusan solat tetapi usaha kolektif untuk menghapuskan penindasan dan membina kesejahteraan sosial bersama.

Ibrah kisah Salman al-Farisi

Kembara Salman al-Farisi menyedarkan kita bahawa perubahan besar bermula daripada keberanian untuk mencari kebenaran walaupun terpaksa keluar daripada zon selesa. 

Sebagaimana Salman sanggup meninggalkan kemewahan istana demi hidayah, generasi masa kini perlu memiliki kekuatan jiwa untuk membebaskan diri daripada belenggu taklid buta dan budaya ikut-ikutan yang tidak berakar pada ilmu.

Dalam kerangka Islam Rahmah, keberanian ini bukan sekadar tentang perpindahan fizikal, tetapi merupakan satu penghijrahan minda untuk sentiasa kritis dan jujur dalam menuntut keredaan Allah SWT di tengah-tengah dunia yang penuh dengan kekaburan nilai.

Kesungguhan mencari kebenaran seterusnya menuntut kita untuk menjaga integriti dan ketabahan apabila berhadapan dengan realiti manusia di sekeliling.

Pengalaman pahit Salman bertemu dengan tokoh yang khianat di Syam mengajar kita bahawa kelemahan peribadi individu atau pemimpin tidak seharusnya memadamkan cahaya iman di dalam hati. 

Sebaliknya, naratif Islam Rahmah memanggil kita untuk menjadi insan yang memiliki jati diri yang kental dan tetap teguh memegang prinsip amanah dan kejujuran. Hasilnya, kita tidak mudah kecewa dengan ujian yang berlaku, malah mampu menjadi contoh teladan yang tetap berdiri teguh atas neraca kebenaran.

Akhirnya, karakter yang berintegriti haruslah diterjemahkan ke dalam bentuk solidariti kolektif untuk membina masyarakat yang merdeka, sebagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat bersatu tenaga memerdekakan Salman daripada perhambaan.

Kita perlu bertanggungjawab untuk saling membantu membebaskan sesama insan daripada belenggu kejahilan dan ketidakadilan. 

Dengan menyatukan keberanian peribadi, integriti yang utuh dan semangat persaudaraan yang tinggi, barulah kita dapat membina semula kekuatan karakter generasi masa kini yang bukan sahaja cintakan kebenaran, malah benar-benar menjadi ejen rahmat yang membawa kebaikan buat sekalian alam.

Ustazah Hasliza Talib
Pensyarah Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab
Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia