Kemajuan Malaysia Berperingkat, Perlu Ditambah Baik

rahmah

Hampir enam setengah abad lalu, Ibnu Khaldun telah mengingatkan bahawa tamadun tidak runtuh kerana kekurangan sumber, tetapi kerana retaknya kesatuan sosial dan rosaknya keadilan.  

Sejarah menunjukkan bahawa tamadun jarang runtuh kerana kemiskinan sumber, sebaliknya kerana kegagalan mengurus kekayaan secara adil, runtuhnya integriti pemimpin dan terhakisnya kepercayaan sosial.

Dalam Muqaddimah, beliau menjelaskan bahawa sesebuah negara berdiri atas asabiyyah, iaitu kekuatan solidariti sosial berpaksikan Tuhan. Apabila kepercayaan rakyat terhadap pemimpin dan institusi mula terhakis, tamadun akan memasuki fasa kemerosotan.

Hari ini, dunia menyaksikan fenomena ini secara global. Di Amerika dan Eropah, polarisasi politik semakin meluas, jurang ekonomi melebar dan keyakinan terhadap institusi awam merosot. Kemajuan teknologi tidak seiring dengan kestabilan sosial. Perkara-perkara ini adalah tanda-tanda yang telah lama dihuraikan oleh Ibnu Khaldun sebagai simptom tamadun yang keletihan.

Pengenalan Indeks Malaysia Negara Rahmah

Apabila kita membaca angka dan skor Indeks Malaysia Negara Rahmah, soalan sebenar yang patut muncul bukanlah “berapa markah negara kita”, tetapi bagaimana kita sebenarnya hidup hari ini.

Adakah rakyat berasa lebih tenang atau lebih cemas? Adakah hubungan sesama masyarakat semakin rapat atau semakin rapuh? Adakah pembangunan yang dikejar benar-benar memberikan nilai atau sekadar menambah tekanan hidup?

Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) diwujudkan sebagai satu cermin sosial daripada rakyat. Ia memberi gambaran realiti semasa negara berdasarkan tiga dimensi penting iaitu politik dan tadbir urus, sosial serta ekonomi. Indeks ini memberi gambaran tentang bagaimana dasar dan sistem negara benar-benar dirasai di peringkat akar umbi.

Secara umumnya, IMNR 2025 berbicara tentang kesejahteraan rakyat dan negara secara holistik. Ia berpaksikan konsep Negara Rahmah iaitu gambaran sebuah masyarakat yang rakyatnya hidup bahagia, saling mengasihi, menghormati dan bekerjasama untuk membangunkan negara yang aman, maju, makmur dan sejahtera dalam kepelbagaian agama, bangsa, latar belakang dan budaya. 

Ia adalah aspirasi tentang sebuah negara yang baik; kehidupan rakyat dibina atas nilai rahmah iaitu kasih sayang, keadilan dan ihsan yang berpunca daripada kesedaran terhadap sifat Tuhan Yang Maha Pengampun.

Dalam konteks Negara Rahmah, nilai ini diterjemahkan bukan sekadar dalam ibadah peribadi, tetapi dalam cara kuasa ditadbir, kekayaan diagihkan dan maruah manusia dipelihara tanpa mengira agama atau bangsa.

Skor sederhana IMNR 2025

Dapatan IMNR 2025 menunjukkan satu gambaran yang menarik. Skor keseluruhan berada pada tahap sederhana, sekitar 7.4 dan secara umum menunjukkan peningkatan berperingkat sejak indeks ini mula diperkenalkan pada tahun 2021, ketika negara masih bergelut dengan kesan COVID-19. 

Ia memberi isyarat bahawa Malaysia sedang bergerak ke hadapan secara berperingkat. Kita tidak gagal, namun kita juga belum sampai. Lebih signifikan daripada skor keseluruhan ialah gambaran yang tersirat di sebaliknya.

Dimensi sosial mencatat skor tertinggi. Institusi keluarga dinilai paling utuh. Masyarakat dilihat masih berakhlak, penyayang dan harmoni dari segi hubungan antara etnik dan penganut agama. Situasi ini memberi harapan besar kerana menunjukkan rakyat masih saling menghormati dan hidup bersama secara aman.

Dalam hiruk-pikuk media sosial dan isu perkauman yang sesekali memuncak, realitinya rakyat Malaysia masih tahu hidup bersama.

Namun pada masa yang sama, isu agihan kekayaan masih kekal mendapat skor rendah. Jurang pendapatan dan kekayaan masih dirasai oleh rakyat, walaupun pelbagai dasar telah diperkenalkan. Aspek ini memerlukan pemerhatian yang lebih mendalam.

Dalam dimensi politik pula, rakyat mengiktiraf usaha ke arah tadbir urus dan pentadbiran yang lebih baik, tetapi masih berhati-hati dalam menilai keberkesanan institusi awam.

Menarik juga untuk diperhatikan bahawa golongan muda, khususnya mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun, menunjukkan pandangan paling positif terhadap keadaan negara. Sebaliknya, warga emas mencatat skor paling rendah.

Dapatan ini seolah-olah menggambarkan dua realiti berbeza: generasi muda masih menyimpan harapan, manakala generasi yang lebih lama hidup telah mengumpul lebih banyak pengalaman pahit sistem.

Dari sudut etnik dan pendapatan, bumiputera Sabah memberikan skor tertinggi, manakala golongan berpendapatan paling rendah menunjukkan penilaian yang relatif lebih positif berbanding kumpulan pendapatan lain. 

Ia menunjukkan bahawa rasa sejahtera tidak semestinya bergantung kepada tahap pendapatan semata-mata. Ia juga banyak dipengaruhi oleh sokongan keluarga, hubungan dengan komuniti sekeliling dan harapan terhadap kelangsungan hidup.

Apa maknanya semua ini?

Pertama, Malaysia masih memiliki kekuatan sosial yang kukuh. Struktur keluarga, jaringan komuniti dan interaksi antara masyarakat merupakan asas yang memelihara kestabilan negara.

Konsep ini sejajar dengan teori asabiyyah Ibnu Khaldun iaitu semangat kebersamaan, kekitaan dan kerjasama sosial yang menjadi tonggak kelangsungan tamadun. Selagi ikatan ini terpelihara, negara mempunyai kapasiti untuk ruang pemulihan dan membina pembangunan.

Kedua, cabaran utama hari ini bukanlah disebabkan kekurangan usaha individu atau kerajaan semata-mata, tetapi wujud pada struktur sistemik yang belum sepenuhnya menyokong keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat.

Untuk membina ekonomi yang stabil, memastikan agihan kekayaan lebih saksama dan meningkatkan keberkesanan pentadbiran, reformasi menyeluruh yang merangkumi mekanisme dasar, integriti institusi dan ketelusan tadbir urus diperlukan.

Ketiga, tanggungjawab bukan hanya pada kerajaan. Sektor swasta sebagai penggerak ekonomi perlu mengamalkan perniagaan beretika seperti membayar gaji yang adil, menjaga kebajikan pekerja, memelihara alam sekitar dan menyumbang kepada masyarakat sebagai asas Negara Rahmah yang memastikan kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi berjalan seiring. 

Keempat, pendidikan merupakan pelaburan paling strategik untuk kelestarian negara. Sistem pendidikan yang holistik dan inklusif perlu memastikan setiap anak Malaysia, tanpa mengira latar belakang, dapat mengembangkan potensi sepenuhnya.

Tanpa komitmen serius terhadap pembelajaran dan pembinaan karakter, kita hanya mewariskan bangunan tanpa ilmu membina tapak, rapuh dan bila-bila masa boleh runtuh. Generasi kini perlu dibentuk sebagai pencipta dan pembina agar warisan sebenar dapat diserahkan kepada pewaris masa depan.

Kemajuan berperingkat

Secara keseluruhan, perkembangan lima tahun kebelakangan ini menunjukkan kemajuan secara berperingkat ke arah aspirasi Negara Rahmah.

Namun pada masa yang sama, indeks ini turut mendedahkan jurang yang masih perlu ditangani, khususnya dalam aspek ekonomi dan politik. Di sinilah gerak kerja yang lebih mendalam perlu berlaku antara pembuat dasar, masyarakat sivil, institusi akademik dan sektor swasta.

Indeks Malaysia Negara Rahmah membantu melihat jurang antara apa yang dirancang di peringkat dasar dengan apa yang benar-benar dirasai oleh rakyat. Ia juga mengingatkan bahawa pembangunan sebenar tidak hanya diukur melalui angka KDNK, pelaburan asing atau projek besar, tetapi melalui rasa keadilan, keselamatan, peluang dan maruah dalam kehidupan seharian.

Negara Rahmah bukan sekadar projek kerajaan, sebaliknya tanggungjawab bersama seluruh rakyat kerana inilah tanah air milik kita bersama. Asasnya bermula di rumah melalui institusi keluarga yang berfungsi dan saling menyokong. 

Nilai rahmah kemudian perlu diterjemahkan di tempat kerja melalui majikan yang adil dan beretika serta dipupuk di sekolah menerusi pendidikan yang memanusiakan. Di peringkat pentadbiran, ia diperkukuh melalui integriti dan kecekapan penjawat awam.

Akhirnya, Negara Rahmah benar-benar hidup di pasar, masjid, jalan raya dan di mana-mana melalui amalan rahmah yang telah sebati menjadi budaya.

Malaysia tidak gagal. Namun perjalanan menuju Negara Rahmah masih belum sampai ke destinasi. Perjalanan ini menuntut lebih daripada sekadar angka dan slogan. Ia menuntut keberanian untuk membetulkan sistem yang tidak berfungsi, kejujuran untuk mengakui kelemahan serta kesediaan bersama untuk membina semula keadilan, langkah demi langkah.

Seperti yang telah diingatkan oleh Ibnu Khaldun berabad lamanya, tamadun tidak runtuh secara tiba-tiba. Ia melemah perlahan-lahan apabila kesatuan sosial terabai dan keadilan dibiarkan terhakis.

Soalnya kini, bukan sekadar sejauh mana negara telah melangkah, tetapi sama ada semua pihak bersedia untuk belajar daripada cermin ini dan berubah.

Basmin Maarof
Pegawai Kanan
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia