AISAR: 5 Formula Islam Rahmah Bina Hidup Bertamadun

5 formula

Selepas beberapa tahun kita diasak dengan naratif “kena kuat,” “kena bertahan” dan “hustle culture,” warga kini sebenarnya sedang mengalami keletihan emosi yang kronik. Tahun 2026 adalah masa untuk revolusi lembut iaitu keberanian untuk mengamalkan Islam yang syumul dengan mengutamakan hak diri dan jiwa tanpa rasa bersalah.

Selama ini, kita diajar bahawa kekuatan itu adalah tentang bebanan material. Namun, pada tahun 2026, naratif itu perlu berubah kepada kefahaman yang syumul. Kita tidak lagi perlukan lebih ramai orang yang “kuat” tapi hancur rohaninya; kita perlukan mereka yang “berani” menjaga amanah Allah, iaitu diri mereka sendiri.

Kita sudah terlalu lama didewakan dengan gelaran “orang kuat” – kuat bekerja, kuat menanggung beban dan kuat juga berpura-pura. Seolah-olah dalam hidup ini, siapa yang paling menderita, dialah pemenangnya.

Namun, pada tahun 2026 ini, ayuh lakukan tindakan provokasi berteraskan wasatiy (pertengahan): Berhentilah menjadi kuat yang ekstrem, dan mulakan menjadi berani yang berprinsip!

Mengapa kekuatan tanpa wasatiyyah menipu kita?

Secara reflektif, selama ini, “menjadi kuat” bermaksud kita mengabaikan fitrah manusiawi. Kita bangga mengabaikan hak tubuh, sedangkan Islam mengajar sifat pertengahan. Kekuatan tanpa sempadan sebenarnya adalah jalan pintas menuju kehancuran diri.

Kita tidak sedar, dalam usaha menjadi “tiang” untuk orang lain, kita melupakan prinsip ihsan (excellence) terhadap diri sendiri yang akhirnya mereputkan asas kehidupan bermasyarakat yang bertamadun. Keberanian berprinsip (mencapai excellence/ihsan).

Kenapa kita perlu “berani“? Kita perlu berani kerana menjaga keseimbangan (wasatiy) itu jauh lebih sukar daripada mengikut arus hustle culture yang tidak berhujung. 

1. Ia memerlukan keberanian untuk berkata “Tidak” demi menjaga kualiti amanah, walaupun ia mencabar norma produktiviti kosong.     

2. Ia memerlukan keberanian untuk meletakkan dunia ke tepi dan kembali kepada zikrullah, walaupun dunia sedang sibuk menjerit tentang trending.

3. Ia memerlukan keberanian untuk mengakui kelemahan sebagai hamba, daripada terus memakai topeng ”superhero” yang menjauhkan kita daripada hakikat ketuhanan.

Tahun 2026 sepatutnya menjadi tahun kita berhenti meminta maaf kerana mempraktikkan Islam yang rahmah kepada diri sendiri. Menjaga diri bukan mementingkan diri, tetapi ia adalah tuntutan Islam yang berprinsip untuk kelangsungan dakwah dan kehidupan.

Memanusiakan semula hamba Allah

Kita bukan robot. Kita adalah manusia yang punya had (fitrah). Elemen empati yang paling besar adalah memberikan hak kepada diri dalam kerangka Islam yang syumul. Tanyakan pada diri: bila kali terakhir aku bernafas syukur tanpa memikirkan dunia?

Jika “tak ingat,” maka kita dalam bahaya. Tahun 2026 menuntut kita lebih jujur. Keberanian ini bermakna kita membuang yang toksik dan memeluk kelemahan sebagai identiti hamba. Diri kita tiada galang ganti; ia adalah amanah Tuhan yang perlu dipertanggungjawabkan.

Bagi kerjaya, sumber daya bersilih ganti, tetapi bagi keluarga dan ummah, kehadiran kita yang sejahtera adalah segalanya. Maka, jadilah berani untuk tidur awal, berani menutup ruang kerja selepas waktu pejabat, dan berani duduk diam dalam tafakur. Keberanian ini adalah pelaburan excellence yang diredai.

AISAR sebagai “Formula Islam Rahmah 2026”

Bagaimana kita menterjemah keberanian menjaga diri ini dalam acuan fikrah yang lebih tinggi? Kita gunakan formula AISAR yang berpaksikan gagasan Islam Rahmah untuk membina kehidupan bermasyarakat yang lebih bertamadun:

1. Awareness (Kesedaran) → Syumul (Menyeluruh)

Berani Untuk Sedar Hakikat Diri: Kesedaran dalam kerangka Islam Rahmah bermaksud kita melihat diri melalui lensa syumul. Kita bukan sekadar pekerja atau penggerak komuniti, tetapi hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab menyeluruh terhadap roh, akal dan jasad. 

Keberanian bermula apabila kita sedar bahawa mengabaikan kesihatan mental dan fizikal adalah satu bentuk “pengkhianatan” kepada amanah Tuhan yang syumul. Kita berhenti menafikan limitasi diri kerana sedar jasad juga mempunyai hak yang akan dipersoalkan di akhirat.

2. Identification (Identifikasi) → Excellence (Ihsan)

Berani Melabel Punca Demi Kualiti: Untuk mencapai tahap Excellence atau Ihsan, kita perlu teliti dalam mengenal pasti (identification) apa yang merosakkan kualiti amal kita. Adakah tenaga ruhanian kita bocor disebabkan hubbud dunya (cintakan dunia) atau sekadar mengejar validasi manusia?

Kita tidak boleh mencapai kecemerlangan (excellence) jika kita tidak berani melabel punca yang memakan integriti jiwa. Mengenali “penyakit” adalah langkah pertama ke arah kesempurnaan amal.

3. Self-Regulation (Regulasi Diri) → Wasatiy (Pertengahan)

Berani Mengawal Emosi dengan Neraca Keseimbangan: Prinsip wasatiy mengajar kita untuk tidak ekstrem dalam bekerja sehingga mengabaikan keluarga, dan tidak pula terlalu santai sehingga mengabaikan amanah. Apabila dunia mendesak dengan hustle culture, amalkan regulasi diri (self-regulation).

Amalan ini adalah keberanian untuk tidak melompat mengikut impuls materialistik. Kita tuntut semula ketenangan melalui neraca syariat yang mengutamakan kesederhanaan dan keseimbangan hidup.

4. Action (Tindakan) → Islam yang Berprinsip

Berani Menetapkan Sempadan (Border) yang Jelas: Inilah fasa manifestasi Islam yang Berprinsip. Tindakan (Action) bukan sekadar buat kerja, tetapi berani menetapkan sempadan antara tuntutan makhluk dan hak Pencipta.

Berani berkata “tidak” kepada perkara yang melanggar prinsip kesejahteraan jiwa adalah tindakan yang bermaruah. Keberanian 2026 adalah keberanian bertindak atas prinsip bahawa keredaan Allah lebih utama daripada kepuasan manusia yang tidak berhujung.

5. Resilience (Daya Tahan) → Syumul dan Berprinsip

Berani Bangkit dengan Daya Lentur Rabbani: Resilience dalam konteks Islam Rahmah bukanlah “tahan derita” tanpa arah, tetapi “daya tahan” untuk kekal konsisten dengan prinsip penjagaan diri dalam jangka masa panjang.

Ia adalah integrasi Syumul dan Berprinsip – membina kekuatan dalaman supaya jika kita “jatuh”, kita bangkit dengan daya lentur yang menyihatkan (‘afiyah). Kita tidak sekadar bertahan untuk memikul beban, tetapi bertahan untuk terus memberi manfaat tanpa mengorbankan kesejahteraan diri sendiri.

Terjemahan praktikal

Sebagai kesimpulan, formula AISAR ini bukanlah sekadar teknik pengurusan stres biasa, tetapi adalah terjemahan praktikal daripada elemen-elemen dalam buku Asas Islam Rahmah (AISAR) yang diutarakan oleh para pemikir Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Melalui kerangka AISAR, kita belajar bahawa menjaga diri adalah janji setia kepada nyawa yang dipinjamkan Tuhan. Beranilah untuk berhenti dan beranilah untuk pulih kerana jika kita hilang dalam keriuhan dunia, kita akan kehilangan satu-satunya “rumah” amanah Allah iaitu diri kita sendiri.

“Tahun ini, biarlah mereka kenang kita sebagai hamba yang berani menjaga amanah Tuhannya dengan penuh rahmah.”

Dr. Rosfazila Abd Rahman
Pensyarah kanan / Penyelidik/ Ketua Pasca Siswazah
Jabatan Pengajian Sosial & Kemanusiaan
Fakulti Sains Sosial (FSS)
Universiti Islam Selangor (UIS)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia