Bersungguh dalam Beramal: Bilakah Masa yang Sesuai?

beramal

Persoalan tentang masa yang “paling sesuai” untuk bersungguh-sungguh dalam beramal sering berlegar dalam fikiran.

Lebih-lebih lagi apabila kita menerima khabar pemergian orang lama yang kembali menghadap Allah dalam keadaan masih aktif, masih memikul amanah, dan masih berada di kemuncak sumbangan dalam medan dakwah dan tarbiah

Situasi begini sering mengundang rasa insaf dan kekaguman. Tidak kurang juga yang terdetik di hati, Insya-Allah, bila pencen nanti bolehlah aktif seperti beliau.” 

Namun, realiti kehidupan sering mengingatkan kita bahawa masa depan bukan sesuatu yang pasti. 

Bagaimana jika usia pencen diuji dengan sakit? Bagaimana jika tidak sempat sampai ke usia pencen sedangkan hari ini masih diberikan kesihatan? 

Hakikatnya, kita menyaksikan sebahagian mereka yang dahulunya aktif terpaksa memperlahankan langkah apabila diuji dengan keuzuran. Keadaan ini menimbulkan satu persoalan penting: adakah kita sedang menangguhkan amal dengan alasan masa depan yang belum tentu?

Qudwah yang menutup alasan menunggu 

Dalam masa yang sama, terdapat juga golongan orang lama yang diuji dengan sakit, namun semangat dan komitmen mereka langsung tidak surut. Mereka masih menyumbang setakat kemampuan, masih menerima tanggungjawab dan masih beristiqamah di medan amal. 

Kewujudan mereka sebenarnya menutup segala alasan untuk menunggu masa yang dianggap lebih “sesuai”. Mereka yang kekal aktif pada usia pencen bukanlah kerana pencen itu sendiri, tetapi kerana mereka telah membina budaya amal sejak usia muda. 

Mereka melalui fasa awal bekerja, membina rumah tangga dan memikul amanah dakwah dalam keadaan penuh kekangan. Bezanya, zaman mereka tidak dipenuhi media sosial dan dokumentasi terbuka.

Namun selepas pemergian mereka, kisah-kisah keaktifan sejak muda mula dikongsi dan menjadi saksi bahawa istiqamah itu dibina secara berperingkat, bukan secara mengejut pada hujung usia. 

Mindset yang perlu diperbetul

Di sinilah perlunya perubahan cara fikir. Ia bukan sekadar menenangkan diri dengan harapan bahawa masa pencen akan memberi ruang untuk beramal, tetapi mengambil semangat dan rentak amal itu seawal mungkin. 

Apa yang kelihatan kukuh pada penghujung usia, sebenarnya adalah hasil kebiasaan yang dibina sejak awal. Allah SWT berfirman (maksudnya):

“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi…” (Surah Ali Imran: 133) 

Arahan Allah jelas – bersegera, bukan menunggu. Rasulullah SAW turut mengingatkan: 

“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara: hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, lapangmu sebelum sibukmu, mudamu sebelum tuamu dan kayamu sebelum miskinmu.” (HR al-Hakim) 

Hadis ini mengajar bahawa amal perlu dibina ketika kita masih mampu kerana apabila ujian datang, ia bukan masa untuk bermula, tetapi masa menuai apa yang telah ditanam. 

Tiada pencen dalam amal dakwah dan tarbiah 

Amal dakwah dan tarbiah bukan projek bermusim dan bukan komitmen sementara. Ia tidak mengenal istilah pencen kerana ia adalah jalan kehidupan yang menyiapkan kita untuk kerehatan sebenar di akhirat. Rasulullah SAW bersabda: 

“Apabila mati anak Adam, terputuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya.” (HR Muslim) 

Amal dakwah dan tarbiah, apabila dilaksanakan dengan ikhlas dan istiqamah, menghimpunkan nilai-nilai ini dalam satu perjalanan hidup. 

Mewarisi, bukan sekadar mengagumi 

Al-Fatihah buat generasi awal yang telah mendahului kita. Mereka bukan sekadar meninggalkan kenangan, tetapi meninggalkan qudwah dan warisan perjuangan. 

Tanggungjawab generasi hari ini bukan hanya mengagumi keaktifan mereka pada usia pencen, tetapi mewarisi semangat tersebut dari sekarang, setakat kemampuan, dengan penuh kesedaran dan keikhlasan. 

Ingatlah, siapa yang mengimpikan husnul khatimah pada penghujung usia, ia perlu membina istiqamah sejak awal usia.  

Saharuddin Yusoff 

Yang Dipertua 

Pertubuhan IKRAM Malaysia Kawasan Manjung

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia