IMNR 2025 Catat Skor 7.42, Peningkatan Berterusan Sejak 2021

IMNR 2025 Catat Skor 7.42, Peningkatan Berterusan Sejak 2021

PETALING JAYA –  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan menegaskan bahawa kejayaan pembangunan negara perlu dinilai berdasarkan kesannya terhadap kehidupan dan pemikiran rakyat, bukan sekadar pencapaian ekonomi atau kedudukan indeks global.

“Nilai rahmah bersifat sejagat dan tidak eksklusif kepada mana-mana kelompok dan ia perlu diterjemahkan secara konsisten dalam dasar serta pelaksanaan supaya pembangunan negara benar-benar berimbang, inklusif dan berteraskan keinsanan,” katanya.

Indeks Malaysia Negara Rahmah 2025 (IMNR 2025) merekodkan skor keseluruhan 7.42, meletakkannya pada tahap sederhana dengan peningkatan konsisten berbanding edisi-edisi sebelumnya sejak 2021.

Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) mengukur pencapaian negara ke arah aspirasi sebagai sebuah Negara Rahmah berdasarkan pengalaman dan penilaian rakyat dengan meneliti bagaimana sistem kenegaraan difahami, dirasai dan dialami dalam kehidupan seharian. 

Kajian ini memberi tumpuan kepada tiga persoalan utama iaitu sejauh mana dasar kerajaan difahami oleh rakyat, sama ada pelaksanaannya dirasai secara adil dan berkesan. Ia turut meneliti tahap jurang antara pelaksanaan dasar kerajaan dengan pengalaman sebenar yang dialami oleh rakyat.

Berdasarkan perbandingan tahunan, skor IMNR menunjukkan trend menaik daripada 6.09 (2021) kepada 6.47 (2022), seterusnya 7.24 (2023) dan 7.39 (IMNR 2025 menggunakan 12 ciri). Skor terkini adalah 7.42 bagi IMNR 2025 yang ditambah baik kepada 15 ciri. 

Ini mewakili peningkatan sekitar 21.8 peratus berbanding skor awal pada 2021, sekali gus mencerminkan kemajuan berperingkat dalam usaha membina kesejahteraan negara berteraskan nilai rahmah.

Presiden IKRAM, Hj Badlishah Sham Baharin berkata, laporan IMNR dibangunkan sebagai satu alat refleksi untuk memahami penilaian rakyat terhadap usaha pembangunan negara serta sejauh mana nilai rahmah diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

“Ia bertujuan membantu memahami bagaimana pembangunan negara dinilai oleh rakyat dan sejauh mana nilai rahmah benar-benar dirasai dalam kehidupan seharian,” katanya.

IMNR 2025 telah ditambah baik dengan memperluaskan ciri ukuran kepada 15 Ciri Negara Rahmah dan pelaksanaan kajian yang lebih menyeluruh di seluruh negara serta merangkumi Dimensi Politik, Sosial dan Ekonomi secara holistik.

Dimensi Sosial mencatat skor tertinggi iaitu 8.03, diikuti Dimensi Ekonomi (7.13) dan Dimensi Politik (7.08). Skor ini menunjukkan bahawa kekuatan sosial seperti institusi keluarga, hubungan antara etnik dan keharmonian masyarakat kekal sebagai benteng daya tahan negara, manakala aspek tadbir urus dan pengagihan ekonomi masih memerlukan perhatian berterusan.

Skor Dimensi Sosial yang berada pada tahap tinggi mencerminkan kekuatan masyarakat, keutuhan institusi keluarga serta keharmonian sosial yang terus menjadi teras kekuatan negara.

Namun demikian, Dimensi Ekonomi dan Politik masing-masing dinilai pada tahap sederhana. Prestasi terendah dicatatkan pada aspek agihan kekayaan yang saksama, khususnya berkaitan jurang pendapatan dan kemewahan, sekali gus menuntut perhatian yang lebih serius daripada kerajaan serta sektor swasta.

Berdasarkan indeks ini, rakyat merasakan wujudnya peningkatan dalam aspek tadbir urus, khususnya berkaitan nilai kepimpinan, tahap keterbukaan dan mekanisme semak dan imbang. Namun, penilaian terhadap keberkesanan pelaksanaan dasar serta ketegasan institusi awam masih dibuat secara berhati-hati oleh rakyat.

Secara keseluruhan, keputusan IMNR 2025 menggambarkan bahawa Malaysia sedang bergerak dalam landasan pembentukan Negara Rahmah, namun perjalanan ini masih memerlukan penyesuaian dasar yang lebih bersasar dan komitmen yang berterusan. 

IMNR 2025 melibatkan 3,030 responden dewasa di seluruh negara dan dibangunkan sebagai rujukan kepada pembuat dasar, masyarakat sivil dan orang awam untuk memahami sejauh mana nilai rahmah diterjemahkan dalam kehidupan seharian rakyat.

NOTA:

  1. Baca kenyataan media IMNR 2025: Bahasa Melayu | Bahasa Inggeris
  2. Live Sidang Media: Facebook | YouTube
  3. Berita-berita liputan IMNR 2025

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia