Donald Trump: Sikap Angkuh dan Ego Bakal Makan Diri?

amerika syarikat

Dunia tidak pernah lupa dengan keangkuhan Donald Trump yang sewenangnya mencadangkan agar penduduk Gaza, Palestin dipindahkan atas alasan kediaman mereka tidak lagi selamat diduduki.

Umat Islam mula resah dengan tindak-tanduk Trump yang cuba menentukan masa depan tanah suci Palestin tanpa menghiraukan suara majoriti.

Pada awal tahun 2025, Trump kembali menjengkelkan dunia dengan menaikkan tarif yang menggugat aktiviti ekonomi dunia khususnya Asia Tenggara. Malah, sekutu Amerika Syarikat juga tidak terlepas daripada kenaikan tarif ini. Pasaran saham tanah air merudum teruk selama empat bulan sebelum kembali pulih.

Lewat minggu lepas, dengan tidak semena-mena Trump yang pernah satu ketika popular dengan ungkapan “You are fired”, telah sesuka hati “memecat” Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.

Bermula dengan menghantar sebanyak 150 buah pesawat tentera Amerika Syarikat ke Caracas, mereka menceroboh masuk ke kediaman presiden dan membawanya ke lokasi yang tidak diketahui. Dilaporkan terdapat sejumlah tentera keselamatan Venezuela dan orang awam yang terkorban tanpa diketahui angka yang tepat.

Tanpa berselindung dan segan silu, Trump mengisytiharkan Amerika Syarikat akan membantu mentadbir Venezuela buat sementara waktu sehingga pemimpin baru dilantik.

Mangsa selepas Venezuela?

Sejurus selepas itu, Trump terus menyuarakan amaran bahawa Colombia, Greenland, Iran, Mexico dan Cuba antara negara yang diancamnya.

Trump memberi alasan Colombia dan Mexico harus diberi perhatian kerana operasi dadahnya yang makin berleluasa. Mudah sahaja alasannya untuk menjatuhkan pemimpin dari kedua-dua negara berkenaan.

Manakala Greenland pula menjadi sasaran kerana Amerika Syarikat ingin mengembangkan pengaruh ketenteraan laut di Atlantik Utara agar tidak dimonopoli oleh seterunya iaitu Rusia dan China.

Kenyataan media Trump tersebut telah mengundang rasa tidak puas hati Perdana Menteri Greenland, Jens Frederik Nielsen dan meminta beliau menghormati undang-undang antarabangsa. 

Iran pula memang sudah berkurun lamanya menjadi agenda utama Amerika Syarikat untuk dijatuhkan. Trump mengambil kesempatan atas ketidakstabilan politik Iran yang sarat dengan demonstrasi rakyat untuk menghalalkan tindakannya. Angka korban demonstran yang semakin meningkat kononnya menjadi kerisauan Trump akan kekejaman pemerintahan Iran.

Antara Venezuela dan Afghanistan

Berbalik kepada isu Venezuela, media antarabangsa menyebut, Trump menculik Maduro kerana ingin menguasai sumber petroleum selari dengan kenyataan beliau bahawa syarikat-syarikat minyak Amerika Syarikat akan dibawa masuk kembali beroperasi di sana. 

Hal ini telah memberi kesan secara langsung kepada ekonomi Cuba yang sumber petroleumnya sebanyak 30% berpunca dari Venezuela.

Walau bagaimanapun, Trump memberikan alasan menjatuhkan Maduro kerana kediktatoran beliau yang sudah terlalu lama memerintah Venezuela dan sikap lunaknya terhadap kartel dadah dunia.

Perkara ini adalah sesuatu yang melucukan kerana Trump pada tahun 2020 telah menandatangani perjanjian membawa pulang tentera Amerika Syarikat dari Afghanistan tanpa memerangi perladangan opium terbesar dunia di sana ketika itu.

Kini, Afghanistan tidak lagi memiliki perladangan opium terbesar dunia kerana usaha pembanterasan yang dilakukan oleh pemerintah terkini daripada kalangan Taliban dan bukannya Amerika Syarikat.

Kecelaruan yang ditimbulkan oleh Trump terhadap politik dunia tidak mampu disekat oleh negara-negara luar. Hanya kritikan keras kepada Trump sahaja yang mampu dilakukan oleh para pemimpin negara lain.

Seolahnya penentangan terhadap tindak-tanduk Trump ini hanya boleh dimulakan dari dalam politik tempatan Amerika Syarikat sendiri.

Trump tidak kebal

Baru-baru ini, muncul ahli politik muda Amerika Syarikat, Zohran Mamdani yang telah memenangi pemilihan Datuk Bandar New York. Pastinya ia mengejutkan dunia kerana kota metropolitan Amerika Syarikat kini dipimpin oleh bekas imigran.

Trump seakan terancam apabila mengecam pengundi New York kerana memilih seorang “komunis” sebagai Datuk Bandar, yang pastinya merujuk kepada Mamdani. Secara tidak langsung, warga New York mula tidak senang dengan Trump dan kejatuhannya boleh bermula dari kota besar ini.

Mamdani juga tidak takut untuk menyuarakan pandangannya apabila mengutuk keras tindakan Trump menculik Maduro sebagai melanggar undang-undang dunia.

Kelihatannya karier politik domestik Trump tidak sentiasa kebal dan semakin hari semakin tumpul taringnya. Tidak mustahil beliau akan dicabar oleh Mamdani pada satu hari nanti yang pastinya membawa idea politik baru yang lebih sejahtera.

Keegoan Trump bakal memakan dirinya dan akan mengheretnya kembali kepada kekalahan persis seperti tahun 2020 yang lalu.

Muhannad Jamil
Perunding Takaful
Aktivis IKRAM Negeri Sembilan

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia