Misi ke Gaza: Enggan Jadi Pemberi, Usah Jadi Pembenci

Misi kemanusiaan ke Gaza menunjukkan simbol solidariti dan usaha yang jitu untuk membantu penduduk di sana yang dihimpit dengan kezaliman dan menghadapi kesukaran bagi mendapatkan keperluan.

Di sebalik usaha murni ini, berbagai-bagai kerjasama dan cetusan idea disatukan dengan harapan agar nasib mereka yang teraniaya akan lebih terbela. Para sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai negara bersatu di bawah tujuan yang sama sebagai wakil kepada masyarakat dunia.

Hal ini menunjukkan bahawa perbezaan agama, budaya dan bangsa bukanlah penghalang kepada usaha untuk memperjuangkan nilai kemanusiaan. Buktinya lagi, masyarakat dari serata dunia juga menunjukkan sokongan dan berharap usaha ini berjaya.

Namun malangnya, terdapat segelintir pihak yang menunjukkan reaksi negatif serta mempersoalkan kepentingan misi tersebut dilaksanakan seolah-olah rela melihat krisis yang berlaku begitu sahaja.

Malah, sebahagian daripada mereka juga meninggalkan komen berbaur tuduhan, hinaan dan provokasi terutama kepada sukarelawan-sukarelawan yang terlibat.

“Para sukarelawan yang pergi ke sana hanya ingin mendapatkan nama.”

Hakikatnya, para sukarelawan ini telah berlayar dan menghadapi pelbagai kesukaran untuk menjejakkan kaki ke sana. Mereka sanggup mempertaruhkan nyawa bagi memperjuangkan nilai kemanusiaan. 

Mereka rela meninggalkan orang tersayang, kerjaya dan harta di tanah air sendiri kerana sudah tidak sanggup melihat penderitaan penduduk yang sekian lama dizalimi.

Setiap titik peluh dan pengorbanan mereka membuktikan bahawa sekurang-kurangnya mereka mempunyai rasa tanggungjawab dan berani untuk menjayakan misi tersebut.

“Sudah tahu tempat berbahaya, kenapa masih berdegil untuk pergi juga?”

Dalam satu situasi di jalan raya yang mempunyai banyak kenderaan bergerak laju, apakah kita sanggup membiarkan seorang kanak-kanak melintas jalan bersendirian sedangkan kita mampu memimpin tangan, menghalang pergerakannya atau berbuat apa-apa cara untuk menyelamatkan keadaan?

Bayangkan situasi seseorang kebuluran di hadapan mata kita, adakah kita betah mendiamkan diri? Sekiranya orang tersebut adalah insan yang kita sayangi, bagaimanakah perasaan kita apabila melihat orang lain hanya menjadi pemerhati?

“Daripada sibuk menolong penduduk negara lain, lebih baik fokus kepada ekonomi negara sendiri?”

Menjadi seorang manusia yang baik itu bukan sekadar menjaga kemaslahatan diri, malah perlu mencegah kemudaratan kepada orang lain. Hidup di dunia ini bukan berlandaskan hubungan dengan Allah SWT sahaja, malah ditekankan juga hubungan sesama manusia. 

Hidup sebagai manusia yang bermasyarakat tidak cukup dengan hanya berusaha untuk memajukan diri bahkan perlu saling menolong untuk kesejahteraan bersama. Ketamadunan dan kemajuan sesebuah negara tidak akan terwujud dengan sifat mementingkan diri sendiri.

Kematian walau hanya seorang yang kita sayang sudah cukup meninggalkan kesan mendalam bagi tempoh yang panjang.

Bayangkan pula bagaimana perasaan penduduk Palestin yang menghadapi kehilangan nyawa ibu bapa, pasangan, anak, sahabat dan jiran saban hari, minggu, bulan atau tahun untuk jangka masa yang sangat lama.

Sekiranya hakikat ini masih tidak mampu menggerakkan hati, maka tidak hairanlah nilai kemanusiaan semakin mati. Lihatlah kesukaran mereka untuk meneruskan hidup dengan ancaman keselamatan, kebuluran dan sumber perubatan yang terhad lalu andaikan sekiranya keluarga kita berada dalam situasi yang sama.

Justeru, sekiranya tidak mampu menyumbangkan harta atau tenaga, sekurang-kurangnya berilah sokongan kepada para sukarelawan yang sudah mewakili kita untuk membantu masyarakat di sana.

Tentera sekutu yang zalim sememangnya musuh Allah SWT yang nyata, tetapi apakah pula status kita sekiranya menjadi pembenci kepada misi yang murni ini? Ayuh renungi diri, perbaiki hati dan teruskan berdoa untuk keamanan dunia.

Khairunisa Zul Kuraini
Siswazah Linguistik Melayu
Universiti Malaya

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia