Ada lagu yang sekadar hiburan. Ada pula lagu yang apabila diputarkan berkali-kali, tidak pernah jemu atau membosankan. Malah semakin didengarkan, semakin menusuk hingga mampu mengalir air mata. Demikianlah nasyid Aisyah Humaira yang dinyanyikan sebuah kumpulan nasyid tanah air, suatu waktu dulu.
Lagu itu bukan sekadar alunan melodi indah, tetapi sebuah puisi rohani yang mengangkat ketabahan seorang wanita bernama Aisyah radiallahuanha, yang pernah difitnah dengan tuduhan paling kejam, tuduhan yang hampir melumpuhkan hati, andai bukan kerana iman yang teguh.
Lalu, setiap kali baitnya diulang, terasa seakan diri ini sedang diajak merenung kembali perjalanan hidup. Bukankah fitnah dan pengkhianatan itu masih berulang pada zaman ini? Bukankah ada wanita, pemimpin, insan biasa yang diberi amanah, namun amanah itu dirobek, dirampas dan dinafikan?
Bukankah ada pula mereka yang bekerja keras, memikul tugasan penuh dedikasi, tetapi pada akhirnya diketepikan demi kepentingan segelintir yang hipokrit?
Air mata yang mengalir bukan tanda kelemahan. Ia adalah saksi bahawa jiwa manusia masih hidup, masih punya rasa, masih mencari kekuatan daripada Yang Maha Esa.
Jejak Humaira, dari Madinah ke zaman kini
Sayyidah Aisyah r.a., isteri Rasulullah SAW yang paling muda, digelar Humaira kerana pipinya yang kemerah-merahan. Namun, gelaran itu bukan sekadar pujian pada rupa.
Di sebalik nama itu, ada sejarah getir yang menguji iman seorang wanita. Peristiwa al-Ifk menjadi luka yang paling dalam. Aisyah difitnah melakukan zina, padahal beliau adalah wanita suci yang membesar dalam rumah tangga kenabian.
Sebulan lamanya fitnah itu berlegar. Rasulullah SAW sendiri tidak tahu bagaimana untuk menjawabnya. Aisyah menangis tanpa henti, tidak kering air matanya. Beliau berkata dalam riwayat sahih:
“Aku menangis malam itu sehingga pagi dan air mataku tidak dapat berhenti, dan aku tidak dapat tidur sehingga pagi aku menangis.” (HR al-Bukhari, no. 4750)
Namun akhirnya, Allah membela beliau dengan turunnya wahyu Surah an-Nur ayat 11–20. Bayangkan, wanita ini difitnah manusia, tetapi dibela terus oleh Allah dengan wahyu yang dibaca hingga hari ini. Masya-Allah, inilah martabat tabah yang sebenar.
Luka khianat, luka yang sama
Zaman berubah, tetapi corak ujian tetap serupa. Hari ini, wanita yang diberi amanah kepimpinan juga tidak terlepas daripada fitnah. Mereka berusaha keras, memimpin dengan ikhlas, memikul tanggungjawab yang berat, tetapi di hujung jalan, amanah itu dirampas.
Ada yang dinafikan hak, ada yang dihalang dengan penuh keangkuhan, ada yang difitnah kononnya lemah, sedangkan merekalah yang paling banyak bekerja.
Lebih pedih apabila pengkhianatan datang daripada orang yang pernah dipercayai. Orang yang menghulur senyum, tetapi di baliknya menanam racun. Orang yang berjanji setia, tetapi akhirnya menikam dari belakang. Inilah wajah-wajah hipokrasi dan kemunafikan yang pernah dicela oleh al-Quran:
“Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: Kami beriman. Tetapi apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata: Sesungguhnya kami bersama kamu, kami hanya memperolok-olokkan (orang-orang beriman itu).” (Surah al-Baqarah, 2:14)
Apalah bezanya mereka dengan golongan yang menafikan amanah hari ini? Mereka tidak sekadar merampas hak, tetapi turut mencalarkan jiwa orang yang tabah berjuang.
Ketabahan sebagai benteng
Sabar bukan sekadar menahan marah. Sabar adalah kekuatan yang membuatkan seseorang tetap teguh berdiri walaupun badai menggila. Aisyah sabar bukan kerana beliau tidak berasa sakit, tetapi kerana beliau yakin Allah Maha Mengetahui.
Demikian juga halnya dengan wanita hari ini. Sabar itulah yang menyelamatkan mereka daripada jatuh ke lembah putus asa. Tabah itulah yang membuatkan langkah tidak berhenti walau dipijak. Dan iman itulah yang menjadi benteng daripada hilang arah.
“Dan bersabarlah kamu, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, 8:46)
Luka itu mengajar, bukan mematahkan
Wanita yang pernah melalui pengalaman difitnah, dikhianati atau dinafikan haknya, tahu bahawa luka itu pedih. Namun luka itu juga mendewasakan. Dari luka, lahir hikmah. Dari air mata, lahir cahaya. Dari pengkhianatan, lahir kekuatan baru.
Kata Sayyidatina Aisyah r.a.:
“Sebaik-baik wanita adalah yang paling sedikit menyusahkan suaminya dan paling banyak membantunya dalam urusan agama.” (Riwayat Ibn Saad)
Kata-kata ini menggambarkan falsafah hidup Aisyah iaitu jangan sibukkan diri dengan menyusahkan orang lain, tetapi sibukkan diri dengan memberi manfaat. Begitu juga halnya dalam perjuangan. Walaupun dikhianati, seorang wanita yang tabah akan tetap menyumbang, tetap berjuang, tetap mendidik umat.
Ketahuilah bahawa mengkhianati amanah bukan sekadar salah terhadap manusia, tetapi antara tanda orang munafik dan berdosa besar di sisi Allah. Rasulullah SAW bersabda:
“Tanda-tanda orang munafik itu tiga: Apabila dia bercakap dia berdusta, apabila dia berjanji dia memungkiri janji dan apabila dia diberikan amanah dia mengkhianatinya.” (HR Bukhari & Muslim)
Mengambil hak orang lain, menafikan jasa orang yang bekerja, menindas dengan kuasa, itulah tanda kemunafikan. Dan jangan lupa, setiap pengkhianatan pasti ada pembalasannya. Mungkin tidak di dunia, tetapi pasti di akhirat.
Seruan untuk bangkit
Kepada wanita yang sedang terluka, jangan biarkan pengkhianat itu mematahkan semangat. Jadilah Humaira moden, menangis tetapi tetap bangkit, tersungkur tetapi terus melangkah, dikhianati tetapi sentiasa ikhlas.
Masyarakat harus disedarkan agar kezaliman itu tidak diulangi. Jangan menafikan hak orang lain. Jangan kita menjadi sebahagian daripada budaya hipokrasi yang hanya akan menghancurkan. Sebaliknya, binalah budaya menghormati amanah, menegakkan keadilan dan mengiktiraf usaha setiap insan yang telah berjuang.
Doa seorang Humaira
Sejarah Aisyah Humaira bukan sekadar nostalgia. Ia adalah doa yang hidup. Doa agar setiap wanita yang tabah terus diberikan kekuatan. Doa agar mereka yang pernah dizalimi, dikhianati, difitnah, terus dipeluk Allah SWT dengan rahmat-Nya. Dan doa agar mereka yang berkhianat segera insaf sebelum terlambat.
Yakinlah, setiap pengkhianatan akan terbalas. Dan setiap ketabahan akan dibela oleh Allah, sebagaimana Dia membela Aisyah dengan wahyu-Nya.
“Sabar itu cahaya.” (HR Muslim)
Moga kita semua, lelaki mahupun wanita, belajar daripada kisah ini. Agar kita tidak tergolong bersama pengkhianat, tetapi bersama golongan yang tabah, ikhlas dan berjuang demi kebenaran.
Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia