Menjelang Usia 40 Tahun: Renungi Peringatan Pencipta

Masa yang berputar pada detiknya adalah seperti manusia yang berjalan di atas muka bumi ini. Hakikatnya, masa dan manusia ialah makhluk ciptaan Allah SWT yang memiliki permulaan dan pengakhiran. Kedua-duanya juga akan tiba saat kemusnahan dan kehancuran.

Betapa ajaib makhluk yang bernama masa. Datangnya tidak terasa dan perginya tidak dapat diulangi semula. Detik masa berjalan silih berganti antara hari, bulan dan tahun. 

Kesannya, dalam tidak sedar raut wajah yang cantik menjadi kendur dan kedut, tenaga yang kuat pada waktu muda berubah hilang bersama usia yang kian senja. Makan dan minum yang dahulunya berselera, kini terbatas dek banyaknya kerenah badan. Begitulah aturan sunnatullah bagi setiap perkara yang fana.

Usia atau umur merupakan antara nikmat yang sangat bernilai. Usia yang mendatang mengajar manusia tentang erti kehidupan. Hidup ibarat sebuah permusafiran, dari alam rahim, menyinggah di alam dunia sebelum berangkat pulang ke alam yang kekal abadi.

Pada pemahaman umum, usia barangkali sekadar perubahan angka semata-mata. Pun begitu, Allah SWT sendiri telah bersumpah dengan masa.

Hal ini menjelaskan kepada kita bahawa detik yang berlalu, seiring dengan perubahan usia, tidaklah sekadar perubahan angka malah merupakan petunjuk bahawa kita sudah semakin hampir dengan sesuatu yang namanya kematian.

Mengenai usia yang mendatang, Allah SWT sebagai pencipta kepada makhluk-Nya yang bernama masa, telah mengingatkan kita tentang usia pada angka 40 tahun. Peringatan ini dapat direnungi bersama sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran menerusi Surah al-Ahqaf ayat 15 yang bermaksud:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah, sedangkan tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.”

“Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).”

Berdasarkan ayat ini, dalam kalangan para ahli tafsir, sebahagian mereka berpandangan, usia 40 tahun merupakan fasa kematangan akal manusia dan fasa kesempurnaan dalam kekuatan diri manusia.

Perkara ini sepertimana yang telah disebutkan oleh Syeikh Muhammad bin Salih asy-Syawi dalam kitab an-Nafahat al-Makkiyah, beliau menjelaskan bahawa jika manusia telah sampai kesempurnaan dalam kekuatan akal dan telah mencapai usia 40 tahun, ia berkata:

“Rabbku, (ilhamkan) berikan aku rasa syukur atas nikmat-Mu yang Engkau berikan kepadaku dan kepada kedua-dua orang tuaku. Dan tetapkan aku agar terus beramal soleh menurut yang Engkau reda, dan jadikanlah keturunanku orang-orang yang baik. Sungguh aku bertaubat kepada-Mu dengan taubat yang sesungguhnya, dan sungguh aku termasuk orang-orang yang berserah diri kepada-Mu dan mengerjakan apa yang Engkau perintahkan dan larang.”

Dalam pada kita menelusuri ayat ini, kita akan melihat betapa hebatnya susunan ayat tersebut yang menerangkan kepada kita, sekali gus mengingatkan kita tentang perjalanan seorang makhluk yang bernama manusia.

Selain itu, melalui ayat ini juga Allah SWT mengajar kepada kita untuk bersegera bertaubat kepada Allah dengan menginsafi diri, bertaubat dan terus berjuang secara berterusan mengerjakan amalan kebaikan.

Ayat ini juga jika direnungi dengan jantung hati, tentunya kita akan merasai betapa kerdilnya manusia ini yang hanya berjalan selari dengan putaran masa yang berlalu. Dalam rancak manusia berjalan di muka bumi ini, pastinya ada salah dan silap.

Oleh kerana itu, dalam ayat ini, akhirnya Allah SWT mengajar kita satu doa khas apabila menjelang usia 40 tahun. Berkaitan doa yang terdapat dalam al-Quran pada ayat tersebut, Imam Ibn Kathir menyebut dalam kitabnya, Tafsir al-Quran al-Azim, ayat ini menyeru kepada mereka yang telah mencapai usia 40 tahun.

Telah berkata Imam al-Syaukani dalam kitabnya, Fath al-Qadir, beliau menjelaskan bahawa ayat ini menjadi bukti bahawa seseorang yang mencapai umur 40 tahun mestilah memperbanyak membaca doa-doa (yang disebut dalam ayat 15 Surah al-Ahqaf).

Begitu juga sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaily dalam kitab tafsirnya, al-Tafsir al-Munir, beliau menyebut bahawa apabila seseorang itu mencapai umur 40 tahun yang merupakan marhalah kesempurnaan akal dan fizikal, dia mestilah mensyukuri nikmat Allah ke atasnya, dan memohon taufik daripada-Nya untuk melakukan amal soleh yang diredai-Nya serta mengurniakan pula kebaikan yang terpasak kukuh pada anak dan zuriatnya. 

Demikian ulasan oleh para ilmuwan Islam. Maka pada usia yang sedang kita nikmati ini, sedarlah bahawa kita juga bakal menjadi penghuni kubur dengan izin-Nya. Setiap apa yang dikecapi, Tuhan tidak akan pernah lena daripada mengawasi para hamba-Nya.

Satu hal yang tidak kurang penting juga mengenai ayat tersebut ialah ia mengajar kita untuk menjadi para hamba Allah yang tahu bersyukur, tanpa boleh kita nafikan bahawa manusia pada hari ini sering kali berdoa agar diberikan kekayaan.

Bahkan, baginda Nabi SAW mengajar kita berdoa untuk memohon diberikan kecukupan rezeki dan bukannya memohon diberikan limpahan rezeki. Sesungguhnya sifat syukur itu adalah sangat sedikit dalam kalangan hamba Allah. Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Mulk ayat 23 yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Allah yang menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur. ”

Syukur tidaklah semudah ungkapan di bibir. Sesiapa sahaja tanpa mengira apa pun kedudukannya boleh mengucapnya, namun tidak dapat sama dengan mereka yang benar-benar menghayati dan menanam kalimah syukur di dalam jantung hatinya.

Bagi orang yang bersyukur, sedikit atau banyak bukanlah syarat untuk bersyukur. Biar apa pun yang terjadi, syukurlah kepada Allah meski apa yang dirancang tidak dapat berjalan dengan lancar.

Lawan kepada syukur ialah kesombongan. Apabila kita mulai jauh daripada inti pati ajaran agama, tidak bersyukur dan kedekut, suka merendahkan orang lain selain suka menunjuk-nunjuk dengan apa yang dimiliki, maka tidak hairanlah sifat kesombongan akan menjelma lalu terhakislah segala sifat yang terpuji.

Demikianlah beberapa peringatan penting oleh Allah SWT kepada para hamba-Nya apabila menjelang usia 40 tahun.

Sesungguhnya usia 40 tahun adalah fasa mengajak manusia bersungguh-sungguh dalam hidup, mengumpul pengalaman, memperkemas kebijaksanaan selain lebih santun, lebih berwaspada dan sentiasa bersikap matang dengan menjauhi kegopohan. Semoga Allah merahmati kita semua.

Muhammad Faidhi Azis

Aktivis Rakan Hidayah Perlis 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia