“Hari ini, ramai lelaki tidak tahu bagaimana untuk menjadi lelaki kerana tidak ramai yang menunjukkannya secara hidup,” ujar CEO Arba Foundation, Ustaz Azlan Shah Nabees Khan ketika menjelaskan hakikat pedih tentang krisis maskulin yang sedang melanda dunia hari ini.
Zaman ini menyaksikan lelaki tenggelam dalam kelesuan fizikal, kekeliruan mental dan keruntuhan emosi akibat kesan gaya hidup sedentary, ketagihan skrin, pemakanan tidak sihat dan sistem sosial yang perlahan-lahan menghakis naluri qawwam dalam diri mereka.
Krisis ini, kata Azlan Shah, bukan berlaku dalam sehari. Arus kehidupan moden dan sistem nilai hari ini perlahan-lahan melumpuhkan naluri kepimpinan serta ketahanan diri lelaki, sejak mereka masih pada peringkat awal pembentukan jati diri.
“Secara halus, sistem hari ini sedang menyembelih anak-anak lelaki kita sebagaimana Firaun menyembelih anak-anak lelaki Bani Israel. Cuma bezanya, kali ini bukan dengan pedang, tetapi dengan sistem,” ujar Azlan Shah.
Jelasnya, akar kepada kelemahan ini tumbuh sejak usia kanak-kanak lagi. Sistem pendidikan dan sosial tidak memberi ruang untuk anak lelaki membina daya tahan dan potensi kepimpinan secara fitrah.
“Lelaki tak direka untuk duduk dan tidak bergerak,” tegas Azlan Shah. Tradisinya, mereka membesar dengan bergerak, meneroka, memburu, meniru dan belajar daripada figura lelaki di sekeliling mereka.
Namun, hari ini mereka dipaksa duduk diam di bilik darjah yang pasif dan tidak mesra fitrah. Mereka diadili mengikut sistem pembelajaran yang statik, lalu mudah dilabel sebagai gagal, malas atau bermasalah. Hakikatnya, mereka bukan gagal tetapi sistem itu sendiri yang gagal memahami cara mereka belajar.
“Budak lelaki perlukan rasa berjaya, rasa dia capai sesuatu,” ujar Azlan Shah. Namun realitinya, hampir setiap usaha mereka di sekolah dianggap silap. Sistem pendidikan yang ada tidak menyediakan ruang yang adil untuk mereka menyerlahkan potensi mengikut fitrah.
“Apabila mereka rasa tidak dihargai di sekolah, tiada siapa yang melihat nilai diri mereka, mereka menyendiri.”
Maka, dalam kesunyian itulah mereka mula mencari ruang yang dirasakan mampu menerima mereka seadanya. Ruang ini menawarkan rasa berjaya, rasa berkuasa dan rasa diiktiraf, sesuatu yang tidak pernah mereka peroleh dalam dunia nyata.
Dunia permainan video dan budaya samseng menjadi antara saluran palsu yang mengisi kekosongan itu, walaupun pada akhirnya membawa kepada kehancuran diri dan keruntuhan nilai moral.
Lebih menyedihkan, di rumah, sekolah dan persekitaran sosial mereka juga tidak wujud figura lelaki qawwam yang boleh dijadikan teladan. Ketiadaan panduan hidup ini melengkapkan krisis identiti yang sedang dihadapi oleh generasi lelaki muda.
Mereka semakin hilang arah, hilang pegangan lalu akhirnya terumbang-ambing dalam kehidupan yang serba kabur dan menyesakkan.
Dalam TED Talk beliau bertajuk “Cabaran Generasi Qawwam”, Azlan Shah menggariskan tiga komponen utama membentuk seorang lelaki qawwam iaitu kekuatan fizikal dan mental, tanggungjawab kewangan serta keupayaan memberikan perlindungan berterusan.
Gaya hidup sihat: Fizikal dan mental sebagai teras qawwam
“Otak macam badan juga. Kalau tak digunakan, ia jadi lemah, jadi lemau,” ujarnya. Oleh itu, lelaki mesti menjaga kesihatan fizikal dan mental sebagai syarat asas untuk menjadi qawwam. “Tanggungjawab memimpin keluarga memerlukan otak yang betul-betul tajam dan jelas,” tegasnya.
Beliau menegaskan pentingnya lelaki keluar daripada gaya hidup statik. Lelaki yang hanya duduk bermain permainan video, menghabiskan masa di hadapan skrin, tidak cukup tidur dan tidak aktif secara fizikal tidak akan mampu menjadi pelindung, penyelesai masalah atau penentu arah dalam rumah tangga dan masyarakat.
“Lelaki kena ada aktiviti fizikal. Berlari, main sukan, hiking, kena bangun pagi,” seru Azlan Shah. Tubuh yang sihat bukan hanya memberi tenaga, tetapi membina semangat dan daya tahan terhadap tekanan hidup.
Selain itu, kesihatan mental juga mesti diutamakan. “Isu yang paling besar hari ini ialah gaming dan pornografi selepas kahwin,” katanya, merujuk kepada aduan-aduan yang diterima oleh ramai kaunselor keluarga.
Ketagihan terhadap pornografi dan game disebut sebagai dua faktor utama yang merosakkan minda lelaki muda hari ini. Kecanduan ini mencuri tumpuan, mencacatkan keupayaan berfikir secara kritikal dan menghakis daya juang.
Menyusun semula nilai ekonomi: Tanggungjawab kewangan yang realistik
“Jangan hidup mengikut orang. Binalah kehidupan yang sesuai dengan kudrat dan kemampuan sendiri,” pesan beliau.
Menurutnya, ramai lelaki muda hari ini membina rumah tangga di atas landasan fantasi iaitu percutian mewah, barangan jenama, rumah besar dan kereta berkilat.
Semuanya demi memenuhi tekanan sosial. Dikejar impian yang tidak berpijak pada realiti, akhirnya mereka terjerat dalam beban hutang dan tekanan hidup yang membunuh ketenangan.
Menurut Azlan Shah, “Skim “Buy Now, Pay Later” di Malaysia melonjak daripada RM4.5 bilion kepada RM7 bilion hanya dalam tempoh tiga bulan”. Tekanan sosial ini mewujudkan “perlumbaan status” yang menyesakkan. Lelaki bukan lagi dinilai atas tanggungjawab dan karakter, tetapi atas kemampuan mempamerkan gaya hidup ilusi yang memabukkan.
Menurut beliau, ramai yang tersilap anggap bahawa Khadijah menyara kehidupan Nabi kerana beliau seorang yang kaya.
“Khadijah memang kaya. Kekayaan itu datang daripada warisan keluarga dan harta peninggalan bekas suaminya. Tetapi, yang menyara keluarga selepas perkahwinan ialah Nabi SAW sendiri,” ujar Azlan Shah.
Beliau menjelaskan, sewaktu menjadi pedagang bagi Khadijah sebelum berkahwin, Nabi SAW telah membuktikan kebijaksanaan dan integritinya sebagai usahawan yang berjaya. Malah, ketika pulang daripada urusan perdagangan, Baginda membawa pulangan yang berlipat ganda sehinggakan prestasinya menjadi antara yang terbaik di Makkah.
“Nabi itu CEO paling perform masa itu. Apabila Khadijah berminat, Nabi sendiri yang menghantar lamaran. Bukan setakat itu, Baginda juga memberi hantaran yang nilainya tinggi bukan kerana perlu mahal, tetapi untuk menunjukkan bahawa Nabi bukan orang miskin yang tiada kemampuan,” jelas beliau lagi.
Apa yang lebih penting, kata beliau, ialah hakikat bahawa selepas perkahwinan, Nabi Muhammad SAW menyara sepenuhnya keluarga walaupun isterinya seorang hartawan.
Perkara ini menjadi asas yang jelas dalam memahami konsep qawwam iaitu lelaki yang bertanggungjawab menyara, melindungi dan memimpin keluarganya dengan penuh kejujuran dan bermaruah.
“Menjadi qawwam bukan soal mengejar kemewahan, tetapi soal membina kebertanggungjawaban yang tulus. Kalau lelaki tidak bersedia memikul tanggungjawab itu, kedinamikan keluarga akan sukar dipertahankan,” ujar beliau.
Mencari mentor yang bijaksana
Ustaz Azlan Shah menekankan kepentingan memiliki mentor, bukan sekadar berkawan dengan rakan sebaya.
“Dahulu, hubungan kita bersifat menegak iaitu ada yang lebih tua, lebih berilmu dan lebih berpengalaman untuk dijadikan rujukan. Tetapi hari ini, semuanya mendatar dan hanya bergaul dengan rakan sebaya yang setaraf. Apabila kita ajukan masalah kepada kawan yang menghadapi masalah yang sama, jawapan yang diterima juga sering kali salah.”
Tambahnya, seorang lelaki memerlukan bimbingan daripada susuk yang mampu menegur ketika lalai, membetulkan arah ketika tersasar dan meniup semangat ketika dirinya lemah. Tanpa budaya bimbingan ini, masyarakat hanya akan terus melahirkan generasi lelaki yang gagal memimpin diri sendiri, apatah lagi memimpin orang lain.
Kebahagiaan yang realistik: Syukur
Terdahulu, lelaki juga perlu memilih pasangan yang menyokong nilai qawwam, bukan pasangan yang menuntut gaya hidup mewah yang melampaui batas.
“Pernah tak Nabi ajar sahabat, nak jadi qawwam, kena mewahkan isteri dan anak?” tanya Ustaz Azlan Shah secara retorik. Jawapannya, tentu tidak. Baginda mengajarkan syukur, bukan kemewahan. Kehidupan yang cukup, tenang dan diberkati jauh lebih bernilai daripada kehidupan mewah yang penuh beban.
Inilah nilai yang perlu diajar kepada lelaki muda hari ini, bahawa menjadi qawwam bukan tentang menjadi “provider” kepada gaya hidup mewah, tetapi kepada keperluan asas yang mencukupi, selamat dan diberkati. Maka definisi bahagia juga mesti dibetulkan iaitu daripada “aku nak keluarga yang kaya” kepada “aku nak keluarga yang selamat, cukup dan harmoni”.
Qawwam untuk keluarga, juga untuk masyarakat
“Satu tahap kemuliaan lelaki ialah apabila dia mula berfikir tentang anak-anak yang bukan anak kandungnya dan masyarakat dia,” ujar beliau. Situasi ini adalah natijah tertinggi daripada lelaki yang sudah berjaya membina dirinya. Bukan sahaja dia melindungi keluarga, malah dia menjadi pelindung kepada umat.
Beliau mengambil contoh Rasulullah SAW yang yatim, tetapi menjadi pelindung umat. “Nabi mencintai bukan hanya anak-anak Baginda sendiri, tetapi seluruh umat,” katanya. Inilah qawwam sebenar iaitu lelaki yang hidup bukan untuk dirinya, tetapi untuk meninggalkan impak kepada generasi akan datang.
Jika hari ini kita hanya melahirkan lelaki yang hanya menyelamatkan diri sendiri, umat ini belum tentu akan bangkit. Tapi jika kita melahirkan lelaki yang sedar bahawa hidupnya adalah untuk membaiki masyarakat, maka umat ini akan punya harapan.
Jalan keluar kepada krisis ini bukan pada retorik, tetapi dengan membina semula asas-asas ini dari peringkat akar. Jika lelaki hilang arah, keluarga akan goyah. Apabila keluarga goyah, masyarakat tumbang. Maka, kebangkitan qawwam mesti bermula hari ini.
Basmin Maarof
Pegawai Kanan
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia