Perjalanan hidup tidak lari daripada ujian yang sesekali meletakkan diri dalam keadaan sukar untuk “berdiri”. Kadangkala, kita hanya membiarkan masalah itu tercerna sendiri kerana berasakan kesakitan itu akan sembuh seiring waktu berlalu.
Mungkin juga banyak usaha telah dikerah sedikit demi sedikit untuk mengeluarkan diri daripada isu yang dihadapi tanpa pengetahuan orang lain. Namun begitu, ada kalanya kita mengharapkan seseorang sebagai tempat meluahkan apa yang terbuku di hati.
Keluarga, rakan atau mungkin sekadar pengikut di media sosial antara golongan yang menjadi pilihan bagi berkongsi rasa. Sayang seribu kali sayang, perkongsian ini kadangkala menjerumuskan diri kepada situasi perkongsian yang berlebihan dikenali sebagai oversharing.
Perkongsian ini pada peringkat awal mungkin hanya dilakukan bertujuan untuk melepaskan sedikit beban di bahu kerana telah penat memendam rasa. Daripada satu aspek kepada satu aspek yang lain, ia mula disingkap untuk melepaskan hal negatif yang bersarang di hati dan pemikiran selama ini.
Pihak yang menerima pula menunjukkan pelbagai reaksi yang menjurus kepada persoalan demi persoalan mengenai apa yang dihadapi. Sebahagian jawapan yang diberikan ada kalanya mendedahkan perkara yang lebih baik disimpan sendiri.
Kelegaan itu wujud pada permulaan, namun apabila terlalu banyak kepincangan diketahui oleh orang lain, timbul rasa menyesal akibat perkongsian yang berlebihan. Apabila sampai suatu masa kita telah sembuh daripada luka lama, ada pihak yang akan mengingatkan tentang titik hitam itu kembali.
Hal itu meletakkan kita dalam situasi seolah-olah terperangkap dalam belenggu yang menghantui hidup sebelum ini selagi mana perkara tersebut masih diulang tanya.
Sudah tentu mereka hanya cakna dan bimbang sekiranya kita masih berada dalam fasa tersebut. Namun, kadangkala situasi itu menyebabkan kita mempersoalkan semula mengenai perkara yang telah berlaku.
Rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. Sebahagian daripada penerima perkongsian ini mungkin betul-betul ikhlas untuk membantu menenangkan perasaan dan memberi cadangan bagi menyelesaikan permasalahan.
Bagaimanapun, sebahagian lagi mungkin mempunyai niat buruk dan berasa puas apabila melihat orang lain berada dalam masalah. Hal ini demikian kerana hati yang dipenuhi hasad dengki ada masanya diselindungi oleh riak wajah yang menunjukkan simpati.
Masalah kecil boleh berubah menjadi semakin teruk apabila terlalu banyak campur tangan daripada pihak yang tidak berkenaan. Perkara yang sebenarnya dapat diselesaikan dalam kelompok yang kecil menjadi lebih rumit apabila terdapat pihak yang bertindak sebagai batu api.
Keadaan emosi yang tidak stabil ditambah pula dengan hasutan jahat memudahkan seseorang itu untuk bertindak melulu dan mencetuskan solusi yang menjerat diri. Lebih ironi apabila pihak yang diberi kepercayaan sebagai tempat luahan perasaan selama ini menjadi penyebar nista.
Isu yang dihadapi menjadi bualan ramai dan menyebabkan maruah diri tercalar akibat aib yang dibuka. Seperti mulut manusia yang sukar ditutup, begitu jugalah perkongsian di media sosial yang sukar dihapuskan kerana dapat meninggalkan jejak yang lama dipertontonkan kepada khalayak.
Hal ini dapat dilihat melalui kes-kes tular yang berpunca daripada satu perkongsian kepada rantaian perkongsian yang lain.
Justeru, berhati-hatilah dalam berkongsi dan elakkan situasi oversharing. Pilihlah orang atau medium yang bersesuaian sebagai tempat curahan hati. Bagi permasalahan tertentu yang memerlukan bantuan pihak lain, rujuklah mereka yang layak atau berkenaan dengan isu tersebut.
Ingatlah juga bahawa tiada yang lebih mengetahui isi hati selain pemilik kepada hati iaitu Allah SWT yang juga penyembuh mutlak bagi jiwa yang bersedih. Sebagai manusia, kita mampu berikhtiar namun letaklah pergantungan tertinggi kepada-Nya.
Sekiranya kita menjadi pilihan orang lain untuk mencurahkan rasa, sekurang-kurangnya jadilah pendengar yang amanah dan berikanlah sokongan emosi buat mereka.
Hal ini demikian kerana sesetengah luahan hati tidak disertakan dengan harapan untuk menyelesaikan masalah, namun sekadar mencari sedikit kelegaan bagi jiwa yang lelah.
Khairunisa Zul Kuraini
Siswazah Linguistik Melayu
Universiti Malaya