Perang & Tragedi di Gaza: Kita Juga Adalah Mangsa?

Perang & Tragedi di Gaza: Kita Juga Adalah Mangsa? | IKRAM

Bayangkan sekiranya sebuah negara di Timur Tengah mengebom kapal bantuan yang membawa makanan untuk orang awam atau sebuah negara di Asia Timur membunuh petugas perubatan dalam ambulans.

Bayangkan pula jika ada antara negara-negara ini menyerang konvoi bantuan antarabangsa yang jelas bertanda sebagai misi kemanusiaan, pasti dunia Barat akan segera melenting dengan kecaman keras, resolusi tergempar dan pelbagai bentuk tekanan diplomatik.

Namun, apabila kekejaman seperti itu menimpa rakyat Palestin, suara yang selalunya lantang itu tiba-tiba menghilang. Dunia Barat menjadi bisu, tuli dan buta seolah-olah nilai kemanusiaan yang mereka junjung itu bersifat terpilih dan berkepentingan.

Saban hari dunia menyaksikan derita yang tak terperi di Gaza. Gambar-gambar ngeri kanak-kanak yang terkorban, hospital yang runtuh dibedil, sekolah yang menjadi kubur buat pelajarnya terpapar setiap hari di depan mata.

Namun, walau sepedih mana pun paparan itu, masyarakat dunia luar masih mampu duduk, menatap dan kemudian menyambung rutin harian seolah-olah tiada apa yang berlaku. 

Dalam konteks inilah, penganalisis strategi global, Dr. Anas Altikriti melalui syarahannya yang bertajuk “From Occupation to Resistance: Understanding the Realities of Palestine” pada Sabtu (3 Mei) lepas, mengemukakan satu persoalan untuk direnungkan bersama.

“Adakah kita, masyarakat dunia, sebenarnya turut menjadi mangsa dalam malapetaka berdarah yang sedang berlaku ini?”

Namun, yang dimaksudkan bukanlah mangsa peluru atau runtuhan bangunan, bukan juga kehilangan anak, saudara dan rumah atau terpaksa tidur di bawah dentuman bom.

Sebaliknya, seluruh masyarakat global sedang menjadi mangsa dalam bentuk yang lebih halus dan mendalam iaitu mangsa kepada kejatuhan nilai kemanusiaan, kebisuan moral serta kepincangan sistem global yang rosak.

Gaza dan simbol kegagalan kemanusiaan

Apa yang berlaku di Gaza bukan sekadar konflik antara dua pihak yang bertelagah. Ia adalah pembunuhan sistematik dan pemusnahan terancang terhadap sebuah bangsa atau etnik. Jumlah korban bukan sekadar angka, tetapi setiap satu mewakili nyawa manusia yang mempunyai impian, keluarga dan masa depan.

Namun, lebih mengerikan daripada kematian itu sendiri ialah normalisasi terhadap penderitaan tersebut. Dunia kini tidak lagi terkejut dengan angka ribuan kanak-kanak yang terbunuh. Rasa empati dan kemarahan yang dulu wujud kian pudar, diganti dengan keletihan emosi dan kepekaan yang semakin menipis.

Di sinilah berlakunya tragedi yang lebih besar iaitu masyarakat telah kehilangan sesuatu yang jauh lebih berharga daripada harta atau nyawa. Kita telah kehilangan keupayaan untuk berasa apa-apa dan di situlah hakikat bahawa kita telah menjadi mangsa peperangan berdarah ini.

Jenayah dinormalisasi

Dr. Anas menggariskan bagaimana jenayah terhadap Palestin kini dilakukan dengan terang-terangan, tanpa sekelumit rasa takut atau malu. Pemimpin seperti Donald Trump dan Benjamin Netanyahu dengan berani merancang dan menyokong pemusnahan Gaza di hadapan mata dunia.

Dunia menyaksikan dua pemimpin yang berdepan tuduhan jenayah perang masih boleh bercakap tentang keamanan dan demokrasi, namun masyarakat antarabangsa hanya dapat menonton tanpa berupaya menghentikannya.

Kebisuan adalah kerjasama secara tidak langsung. Ketidakmampuan (atau ketidakmahuan) untuk bersuara, memprotes dan mendesak perubahan telah menjadikan sebahagian daripada kita sebagai alat kepada sistem yang zalim.

Perkara ini bukan sekadar soal politik tetapi soal kejatuhan moral. Apabila tiada keberanian untuk bertindak, maka ketidakadilan dibiarkan berleluasa dan diselindungkan pula atas nama undang-undang atau kononnya demi mempertahankan kestabilan. 

Institusi global dan kejatuhan moral Barat

Barat pada suatu ketika dahulu mendabik dada sebagai penjaga hak asasi manusia. Mereka mewujudkan institusi seperti ICC dan ICJ kononnya untuk menjamin keadilan sejagat. Tetapi kini, apabila institusi itu cuba melaksanakan mandatnya terhadap Israel atau sekutunya, ia terus diserang, dipertikai malah diancam kewujudannya.

Fenomena ini bukan sekadar pengkhianatan terhadap rakyat Gaza. Ia adalah pengkhianatan terhadap prinsip yang mereka sendiri cipta. Apabila undang-undang antarabangsa menjadi senjata politik dan bukannya alat keadilan, maka runtuhlah seluruh asas tamadun moden yang dibanggakan selama ini.

Jelas Anas yang juga pengasas The Cordoba Foundation, United Kingdom, mereka  yang terus mempercayai sistem ini, mengagungkannya dan mahukan kebebasan ala Barat, sebenarnya juga telah tertipu dan sekali lagi menjadi mangsa.

Suara aman ditindas

Barangkali antara manifestasi paling nyata bahawa “kita adalah mangsa” ialah apabila suara aman pun mula ditindas. Di Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara-negara Eropah yang lain, pelajar, profesor, aktivis dan gerakan solidariti seperti BDS dikenakan tindakan tegas.

Mereka kehilangan pekerjaan, dihalau daripada institusi dan disiasat oleh pihak berkuasa. Semuanya hanya kerana menyatakan sokongan terhadap Palestin.

Ironinya, suara aman yang memperjuangkan hak, keadilan dan kemanusiaan dianggap sebagai ancaman. Bukankah itu menunjukkan sistem yang ada telah terbalik? Bukankah itu juga mencerminkan bahawa yang sedang goyah bukan sekadar Gaza, tetapi seluruh struktur global yang berpaksikan kepura-puraan?

Harapan yang muncul dari reruntuhan

Anas menjelaskan bahawa di tengah-tengah kejatuhan moral ini, ada cahaya yang mulai menyinar. Perhimpunan besar-besaran yang melibatkan ribuan orang masih sedang berlaku di seluruh dunia demi Palestin, iaitu dari kampus universiti ke jalan-jalan ibu kota, menjadi tanda bahawa manusia belum sepenuhnya mati jiwanya.

Solidariti yang ditunjukkan tidak lagi datang hanya daripada bangsa Arab atau Muslim. Ia merentasi agama, bangsa, ideologi dan sempadan. Malah, ramai Yahudi anti-Zionis turut serta dalam protes. Naratif bahawa sokongan terhadap Palestin adalah bentuk anti-Semitisme kini kian goyah. Kebenaran akhirnya menemui jalannya melalui gerakan rakyat.

Kebangkitan anak muda

Anak muda hari ini bukan lagi generasi yang mudah ditakut-takutkan. Mereka kreatif, berani dan mempunyai medium tersendiri untuk bersuara. Media sosial menjadi ruang perjuangan baharu dengan mesej-mesej tentang kezaliman di Gaza disampaikan secara kreatif, menyentuh hati dan membuka mata.

Di negara Barat, mereka tidak takut menyatakan pendirian, tidak malu menyebut “From the river to the sea” walaupun dicop sebagai ekstrem. Mereka memahami bahawa menolak Zionisme tidak bermakna membenci Yahudi. Mereka menolak kezaliman, bukan kepercayaan. Melalui mereka, ada harapan untuk dunia baharu mulai tumbuh.

Melawan kekalahan mental

Anas mengingatkan bahawa penjajahan tidak bermula dengan peluru, tetapi dengan kekalahan mental. Apabila sesuatu bangsa diyakinkan bahawa mereka lemah dan tidak berdaya, ketika itu penjajahan sudah pun bermula walau tanpa sebutir peluru.

Begitu jugalah halnya dengan kita. Selama ini kita diberitahu bahawa kita tidak mampu mengubah apa-apa,  suara kita kecil dan usaha kita sia-sia. Namun, sejarah membuktikan bahawa semua perubahan besar bermula dengan segelintir insan yang percaya. Keyakinan itulah yang kini mula hidup kembali.

Membangunkan dunia baharu

Apa yang berlaku di Gaza adalah tanda kehancuran dunia lama. Dunia yang dibina atas ketamakan, ketidakadilan dan penindasan kini sedang runtuh. Namun, dalam keruntuhan itu, terbuka ruang untuk membina semula dunia yang lebih adil dan berperikemanusiaan.

Tetapi tugas itu bukan milik orang Gaza semata-mata. Ia adalah tanggungjawab semua masyarakat di seluruh dunia. Kita perlu bangkit daripada kebisuan, membersihkan hati daripada kenistaan moral dan kembali menyemai nilai moral yang murni dalam masyarakat. Perjuangkan keadilan bukan hanya melalui protes, tetapi melalui pendidikan, wacana, budaya dan seluruh ruang kehidupan.

Siapa sebenarnya mangsa?

Gaza berdarah, tetapi dunia yang membenarkan darah itu mengalir juga sedang nazak. Mereka yang menyaksikan dan tidak bertindak adalah mangsa kepada keruntuhan nilai dan juga kepada sistem yang korup dan kepercayaan palsu bahawa rakyat biasa tidak mungkin berkuasa.

Namun, dengan kesedaran dan keberanian, kita masih boleh menyelamatkan maruah dan mengembalikan nilai kemanusiaan. Pilihlah untuk tidak menjadi mangsa yang pasif, tetapi menjadi insan yang bangkit daripada kemusnahan ini dengan tekad untuk mengubah dunia.

Bangunlah kerana akhirnya perjuangan rakyat Gaza bukan hanya untuk tanah mereka semata-mata tetapi perjuangan untuk memulihkan harga diri seluruh umat manusia.

 

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat 
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia