Dalam kerukunan berumah tangga, tanggungjawab serta peranan yang dimainkan oleh suami dan isteri adalah sama penting bagi menjamin keharmonian hubungan.
Baik suami mahupun isteri, adalah mustahak bagi kedua-duanya memahami peranan masing-masing selain saling bertoleransi dalam perkara yang membawa kepada kebaikan bersama.
Tipu jika kita katakan bahawa kebahagiaan rumah tangga itu adalah apabila sepi tanpa konflik pergaduhan. Perkahwinan itu menyatukan dua jiwa, hati dan perasaan. Maka tentu sekali dalam berumah tangga, pergaduhan adalah asam garam kehidupan.
Persoalannya bukan tentang besar atau kecil sesuatu pergaduhan tetapi soal bagaimana kita menguruskan konflik pergaduhan tersebut. Oleh itu, suami isteri masing-masing perlu bijak berhadapan dengan konflik rumah tangga supaya ia dapat diselesaikan dengan cara terbaik.
Berkaitan hubungan suami isteri, suatu ketika dahulu sering kali masyarakat bercakap mengenai satu ungkapan yang berbunyi “Isteri adalah cerminan suami.“
Ungkapan ini jika kita amati dengan betul, maka kita fahami bahawa sikap isteri sama ada baik atau buruk secara tidak langsung menunjukkan sikap suaminya juga.
Dalam erti kata lain, jika isteri bersikap buruk, suaminya pun berkemungkinan besar bersikap buruk juga. Sebaliknya, jika isteri bersikap baik, pasti suaminya pun bersikap baik.
Rumusan mudahnya, baik buruk seorang isteri itu tergantung dan terletak kepada baik atau buruk suaminya juga. Isteri yang baik datangnya daripada suami yang baik manakala isteri yang jahat datangnya daripada suami yang jahat.
Hakikatnya, adakah benar ungkapan yang sering berlegar dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini? Sejauh mana kebenaran akan ungkapan tersebut? Bagaimana pula Islam melihat hal sebegini?
Menurut neraca Islam, ungkapan “isteri cerminan suami” adalah tidak benar sama sekali. Sangat tidak adil ungkapan seperti ini kerana seolah-olah meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada para suami, walhal dalam lipatan sejarah manusia, ada suami yang baik namun isterinya jahat. Begitu juga sebaliknya ada suami yang jahat tetapi isterinya pula baik.
Bagi memahami perbezaan peribadi isteri dan suami ini, marilah kita lihat bagaimana Allah SWT menceritakan perihal Nabi Nuh dan isterinya, juga mengenai Nabi Lut dan isterinya.
Kisah tersebut terakam dalam al-Quran menerusi firman Allah SWT dalam Surah at-Tahrim ayat 10 yang bermaksud:
“Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh daripada hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka daripada (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): “Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ).”
Ketika mentafsirkan ayat ini, Imam al-Qurtubi menukilkan dalam kitab tafsirnya, Ibnu Abbas menyatakan bahawa isteri Nabi Nuh memfitnah dan menghebahkan kepada kaumnya bahawa suaminya gila, sementara isteri Nabi Lut membocorkan rahsia berkaitan kedatangan tetamu-tetamu Nabi Lut a.s. kepada kaumnya (yang bernafsu dengan kaum jenis) dengan cara menyalakan api pada waktu malam dan jika tetamu yang datang waktu siang, memberi tanda dengan asap.
Isteri Nabi tersebut tidak pernah melakukan zina, namun maksud pengkhianatan menurut kesepakatan ahli tafsir yang dilakukan oleh isteri-isteri Nabi adalah pengkhianatan terhadap urusan agama.
Kefahaman terhadap ayat ini membawa kita kepada suatu cara fikir bagaimana Allah SWT menunjukkan kepada kita kedua-dua isteri para Nabi yang telah ingkar dan tidak taat kepada suami selain enggan untuk mentaati perintah Allah SWT, padahal kedua-dua isteri ini mempunyai suami yang soleh, yang bukan sahaja beriman kepada Allah, bahkan dipilih oleh Allah untuk membawa risalah-Nya.
Pun begitu, kesolehan para suami yang ada pada Nabi Nuh dan Nabi Lut tidak dapat membantu untuk membawa isteri mereka menjadi isteri yang baik yang mentaati perintah Allah SWT.
Selain itu, dalam ayat berikut pada surah yang sama, Allah SWT menceritakan pula mengenai perihal isteri Firaun yang soleh namun mempunyai suami yang derhaka kepada Allah. Firman Allah SWT dalam Surah al-Tahrim ayat 11 bermaksud:
“Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga, dan selamatkanlah daku daripada Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku daripada kaum yang zalim.”
Lihatlah bagaimana Allah Azzawajalla menceritakan kisah seorang isteri yang telah dikurniakan syurga dan suaminya iaitu Firaun diberikan balasan azab neraka.
Asiah iaitu isteri kepada Firaun telah dimuliakan oleh Allah sebagai wanita yang sempurna. Pengiktirafan ini adalah sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud:
“Manusia yang sempurna daripada kalangan lelaki itu banyak, namun tidak ada manusia sempurna daripada kalangan wanita melainkan Maryam binti Imran dan Asiah isteri Firaun. Dan keutamaan Aisyah (isteri Rasulullah) terhadap wanita-wanita lain bagaikan keutamaan makanan tsarid (bubur) dibandingkan seluruh makanan lain.”
Keterangan ini menjelaskan kepada kita bahawa kedudukan mulia seorang isteri tidaklah kerana baik atau buruk suaminya. Isteri Firaun yang bernama Asiah, dengan penuh kesabaran dan semangat juang yang tinggi mempertahankan ketaatan-Nya kepada Allah, memiliki suami yang sangat kejam dan zalim yang turut tercatat dalam lipatan sejarah manusia.
Maka, berdasarkan kepada apa yang telah kita jelaskan, tidaklah benar sama sekali untuk mengatakan isteri adalah cerminan kepada suami. Pun begitu, dalam sudut lain, suami mempunyai tanggungjawab yang sangat besar mendidik dan membimbing isteri dan anak-anaknya menjadi manusia yang beriman dan bertakwa.
Didikan oleh suami sangat penting kerana suami merupakan ketua keluarga selain tunjang kepada sebuah rumah tangga. Tanggungjawab mendidik ini adalah sebagai usaha manusia, selebihnya petunjuk hidayah serta taufik adalah milik Allah SWT. Manusia sedaya upaya boleh berusaha dan kemudian berdoa kepada Allah agar dikurniakan petunjuk oleh-Nya.
Pada masa yang sama, masyarakat harus memahami bahawa seorang suami tidak menanggung dosa isteri dan anak-anaknya. Setiap keburukan dan kejahatan ditanggung dosa oleh pelakunya sendiri.
Telah berkata Imam al-Baghawi dalam kitab tafsirnya bahawa seorang suami yang soleh tidak akan dipersalahkan dan dimudaratkan dengan maksiat yang masih dilakukan oleh isterinya.
Namun begitu, jika seorang suami bersikap dayus dengan membiarkan anak isterinya berbuat dosa tanpa memberi teguran dan nasihat, maka si suami berdosa kerana tidak menegur akan kesalahan anak isterinya.
Oleh itu, jelaslah bahawa seorang isteri bukanlah cerminan kepada suami. Ungkapan berbaur feminisme ini seharusnya ditolak oleh masyarakat kerana boleh memberikan pengaruh yang salah selain gambaran yang tidak betul mengenai hubungan suami dan isteri.
Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.
Muhammad Faidhi Azis
Aktivis Rakan Hidayah Perlis