Fenomena peningkatan kes sumbang mahram, seks bebas, eksploitasi seksual dan pelbagai bentuk penyimpangan seksual dalam kalangan remaja dan kanak-kanak kini bukan lagi sesuatu yang boleh dianggap terpencil atau kebetulan. Malah, ia sudah menjadi sebahagian daripada realiti sosial yang semakin meruncing.
Apa yang dilaporkan di media, disiasat oleh pihak berkuasa atau dirawat oleh petugas kesihatan hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan realiti yang jauh lebih menakutkan dan kompleks, tersembunyi di sebalik tabir masyarakat yang semakin longgar nilai dan pengawasannya.
Realiti yang tidak dilaporkan, suara yang dibisukan
Dalam kes-kes penderaan seksual, sumbang mahram dan hubungan luar nikah, ramai mangsa memilih untuk berdiam diri. Kanak-kanak dan remaja yang menjadi mangsa selalunya dibelenggu oleh ketakutan, rasa malu, tekanan emosi atau diugut oleh pelaku yang sering kali adalah individu yang dikenali.
Malah dalam kes sumbang mahram, pelaku adalah ayah, abang, datuk, bapa saudara atau ahli keluarga sendiri. Apabila pemangsa adalah orang yang sepatutnya menjadi pelindung, maka mangsa akan semakin keliru dan buntu.
Akibatnya, laporan kepada pihak berkuasa hanya berlaku dalam kes-kes tertentu yang sangat kritikal atau terbongkar secara kebetulan.
Menurut laporan Polis Diraja Malaysia, ribuan kes penderaan seksual dilaporkan setiap tahun dan berlaku trend peningkatan, namun jumlah sebenar lebih banyak kerana tidak dilaporkan, terutama dalam kes-kes yang melibatkan mangsa bawah umur.
Bayangkan berapa ramai anak-anak yang sedang menderita dalam diam, tanpa sesiapa pun menyedari apa yang berlaku kepada mereka.
Simptom yang menandakan wujudnya masalah di bawah permukaan
Peningkatan kes kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja bukan sekadar isu perubatan atau kesilapan pergaulan, tetapi merupakan isyarat kepada keterlibatan remaja dalam hubungan seksual sebelum nikah sama ada secara rela atau dipaksa.
Malangnya, setiap kehamilan yang berlaku bukanlah satu-satunya insiden, tetapi lazimnya hasil daripada hubungan yang telah berlaku berulang kali. Hal ini bermakna, di sebalik satu kes kehamilan, tersembunyi sejarah yang jauh lebih gelap.
Begitu juga dengan peningkatan penyakit jangkitan seksual (STD), tekanan emosi, kemurungan, cubaan bunuh diri dan kecelaruan identiti seksual dalam kalangan belia semuanya adalah petunjuk bahawa krisis dalaman yang dihadapi oleh generasi muda kita sedang berada pada tahap membimbangkan.
Namun, gejala-gejala ini sering disalah faham, atau dirawat sebagai masalah terpencil tanpa menyentuh akar permasalahan yang lebih dalam.
Dunia digital dan pornografi: Perosak senyap akal dan jiwa
Hari ini, anak-anak kecil seawal usia sekolah rendah telah memiliki gajet sendiri, lengkap dengan capaian internet tanpa sempadan.
Tanpa kawalan dan bimbingan yang cukup, mereka berisiko tinggi terdedah kepada bahan lucah, video tidak senonoh, permainan dalam talian berunsur seksual dan perbualan digital yang membuka jalan kepada hubungan terlarang.
Kajian di peringkat antarabangsa mendapati bahawa purata umur pertama kali anak-anak melihat pornografi kini semakin menurun. Kesan daripada pendedahan ini sangat besar.
Pornografi bukan sekadar merangsang nafsu, malah ia merosakkan struktur pemikiran, mengubah cara remaja melihat hubungan antara lelaki dan perempuan, seterusnya boleh menjadi pencetus kepada kelakuan seksual secara fizikal, sama ada secara rela atau paksaan.
Lebih membimbangkan, ada remaja yang menjadi pengedar video lucah buatan sendiri, melibatkan rakan sebaya atau pasangan cinta mereka, sebagai bentuk “permainan cinta”. Ini bukan sekadar gejala sosial, tetapi satu bencana rohani dan moral yang memerlukan campur tangan segera.
Keluarga: Barisan hadapan yang semakin rapuh
Dalam Islam, keluarga adalah benteng utama dalam mendidik akhlak dan membentuk peribadi anak-anak. Ibu bapa adalah murabbi pertama yang wajib menanam nilai, membimbing fitrah dan menjaga keselamatan fizikal serta emosi anak-anak. Namun dalam era moden, peranan ini semakin terhakis.
Kesibukan kerja, tekanan ekonomi, kerapuhan institusi perkahwinan serta pengaruh budaya individualistik menyebabkan ramai ibu bapa sukar memantau kehidupan harian anak-anak.
Komunikasi antara ibu bapa dan anak juga semakin renggang, menjadikan remaja mencari jawapan kepada persoalan hidup melalui internet, rakan sebaya atau media sosial yang tidak semua membawa nilai yang betul.
Jika ibu bapa tidak berbicara tentang maruah, aurat, adab pergaulan dan batas syariat, maka akan ada pihak lain yang mengajar anak-anak tetapi dalam bentuk yang menyimpang dan merosakkan. Apabila anak-anak sudah rosak, ibu bapa akan berdepan dengan kesukaran atau tidak lagi mampu mengawalnya, bahkan tidak tahu di mana untuk bermula membaikinya.
Pendidikan seksual berteraskan nilai dan agama
Sebahagian masyarakat memandang serong apabila isu pendidikan seksual dibincangkan secara terbuka. Namun hakikatnya, Islam sendiri tidak menafikan fitrah manusia, malah membimbingnya ke arah yang suci, halal dan terpelihara.
Oleh itu, pendidikan seksual bukanlah mengajar teknik, tetapi mendidik anak-anak tentang adab tubuh badan, batas aurat, pergaulan halal dan haram serta tanggungjawab akhlak dan agama terhadap tubuh mereka sendiri.
Anak-anak perlu tahu bahawa mereka berhak menolak sentuhan yang tidak wajar dan mereka wajib menjaga kemaluan dan aurat. Mereka perlu faham maksud sentuhan selamat dan tidak selamat serta mereka mesti diberi kefahaman tentang peranan maruah sebagai amanah Allah yang wajib dipelihara.
Pendidikan ini bukan hanya di sekolah, tetapi mesti bermula di rumah oleh ibu bapa dan disokong oleh semua pihak termasuk kejiranan, guru, pendakwah dan masyarakat secara amnya.
Islam dan pencegahan awal: Menjaga kunci-kunci yang membuka pintu zina
Islam sebagai agama fitrah yang menyeluruh telah menetapkan panduan yang sangat teliti dalam menjaga maruah dan kesucian diri, khususnya dalam menangani isu yang berkaitan dengan seksualiti.
Bukan hanya zina yang ditegah secara tegas, malah segala jalan, pintu dan lorong yang boleh membawa kepada zina turut diperintahkan untuk dijauhi. Inilah pendekatan Islam yang bersifat mencegah iaitu mengawal sebelum parah, mendidik sebelum musnah.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra’, ayat 32 (maksudnya):
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
Ayat ini tidak hanya melarang perbuatan zina, tetapi melarang” menghampiri” iaitu mendekati sebarang unsur yang boleh membawa kepada perzinaan, termasuk melihat, mendengar, menyentuh, berkhayal dan berinteraksi tanpa batas. Maka, Islam meletakkan penjagaan terhadap pancaindera sebagai kunci utama dalam menutup pintu kebinasaan.
Zina bukan hanya pada perbuatan fizikal. Zina hati dan imaginasi juga disebut oleh Rasulullah SAW (maksudnya):
“Sesungguhnya Allah telah menetapkan atas anak Adam bahagiannya daripada zina yang pasti akan dia tempuhi: zina mata adalah melihat, zina telinga adalah mendengar, zina lidah adalah berkata, zina tangan adalah menyentuh, zina kaki adalah berjalan (menuju maksiat) dan zina hati adalah berangan-angan dan bernafsu. Kesemua itu akan dibenarkan atau didustakan oleh kemaluan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Islam memelihara seluruh dimensi insan iaitu zahir dan batin daripada dicemari unsur yang boleh meruntuhkan maruah dan nilai kemanusiaan.
Dalam menghadapi dunia moden yang dipenuhi dengan rangsangan seksual, sama ada tersirat mahupun tersurat, Islam menyuruh untuk memelihara “kunci-kunci” yang wajib dijaga. Sekiranya diabaikan, ia akan membuka pintu kepada pelbagai fitnah yang lebih besar, termasuk perzinaan dan keruntuhan nilai masyarakat.
Masjid dan masyarakat kembali memainkan peranan
Dalam usaha membendung gejala ini, masyarakat juga tidak boleh berpeluk tubuh. Masjid, surau, NGO dan para asatizah perlu bangkit memainkan peranan bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, tetapi juga pembimbing, pelindung dan penasihat kepada generasi muda.
Remaja yang terjerumus bukan semuanya jahat tetapi sebilangan mereka adalah mangsa keadaan. Maka, kita perlu mendekati mereka dengan hikmah, belas kasihan dan usaha dakwah yang bersifat membina.
Kita tidak boleh hanya menuding jari. Setiap anak yang rosak adalah tanggungjawab bersama. Setiap jiwa yang terpesong masih boleh diselamatkan. Dan setiap gejala yang berlaku, jika ditangani dengan ilmu dan iman, boleh dipulihkan sebelum ia menjadi barah sosial yang membinasakan seluruh umat.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia