Rumah Terbuka Syawal: Junjung Adab, Pelihara Santun

Rumah Terbuka Syawal: Junjung Adab, Pelihara Santun | IKRAM

Aidilfitri adalah perayaan meraikan kemenangan rohani setelah sebulan ditarbiah dalam bulan Ramadan. Roh Ramadan harus diteruskan dalam bulan Syawal dan hari-hari selepasnya, menandakan Ramadan berjaya memberikan kemenangan rohani kepada kita.

Justeru, budaya ziarah dan penganjuran rumah terbuka sepanjang bulan Syawal yang begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia sewajarnya dijadikan medan untuk menyuburkan silaturahim, menyemai rasa kasih sayang serta menghidupkan nilai adab dan akhlak sebagaimana yang diajarkan oleh Islam.

Tradisi ini tidak sepatutnya diherotkan menjadi sekadar pesta makanan, kesempatan berswafoto atau berhibur secara berlebihan.

Menjaga adab sebagai tetamu dan tuan rumah

Jemputan-jemputan rumah terbuka atau jamuan raya menjadikan Syawal ibarat bulan silaturahim, tetapi silaturahim tidak akan indah tanpa adab.

Sebagai tetamu, kita diajar oleh Rasulullah SAW untuk datang pada waktu yang sesuai, tidak terlalu lama menumpang, tidak membiarkan sampah bertaburan serta menjaga tutur kata dan perlakuan.

Sebagai tuan rumah pula, kita digalakkan untuk memuliakan tetamu, tidak kira mereka datang sehelai sepinggang atau berpakaian gah. Nabi SAW bersabda (maksudnya)

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Namun, adab ini boleh terhakis sekiranya adab bertamu diabaikan atau tuan rumah sendiri mengabaikan nilai-nilai tersebut. Ada ketikanya, penganjuran rumah terbuka menjadi medan untuk berlumba-lumba menunjukkan kemewahan.

Hal ini seharusnya diperbetulkan dengan kembali pada niat untuk berkongsi rezeki, menyantuni tetamu dan mengeratkan hubungan sesama insan.

Ramai yang terleka bahawa suasana rumah terbuka turut menuntut penjagaan batasan syarak, terutama dalam pergaulan antara lelaki dan wanita. Tidak sedikit majlis rumah terbuka hari ini menjadi ruang percampuran bebas, lawak berlebihan dan bergambar tanpa batas. 

Di Malaysia, rumah terbuka bukan sahaja diziarahi oleh kaum keluarga, tetapi turut dihadiri oleh rakan-rakan daripada pelbagai latar bangsa dan agama.

Inilah keunikan Malaysia. Syawal bukan hanya milik umat Islam, tetapi menjadi musim terbuka untuk seluruh rakyat saling berkunjung, menghormati dan mengenali budaya satu sama lain.

Rumah terbuka menjadi pentas hidup untuk memperlihatkan nilai murni dalam budaya masyarakat Islam. Ia membolehkan masyarakat bukan Islam melihat sendiri keindahan Islam melalui layanan mesra, suasana harmoni dan semangat perpaduan.

Tiada khutbah panjang atau ceramah disampaikan, hanya akhlak, senyuman dan keramahan yang menjadi “penceramah” terbaik dalam majlis itu.

Inilah yang dipesan oleh para ulama iaitu jangan biarkan Syawal menjadi pintu kepada kelalaian setelah kita menutup pintu-pintu dosa sepanjang Ramadan.

Adab berpakaian, menjaga pandangan, menjaga percakapan dan ketertiban mesti dijunjung kerana Syawal bukan musim untuk melupakan disiplin Ramadan.

Berwaspada dalam kemeriahan

Rumah terbuka tidak salah, tetapi biarlah terbuka juga jiwa untuk mendidik, menasihati dan mengingatkan kembali tujuan hidup sebagai hamba.

Jangan berlebihan dalam perkara mubah (harus) kerana iblis tidak semestinya menggoda manusia melalui jalan maksiat terang-terangan.

Bahkan, apabila seseorang telah menjauhi syirik, bidaah dan dosa besar, iblis boleh menukar strategi iaitu menghasut manusia melalui perkara mubah yang dilakukan secara berlebihan.

Dalam konteks Syawal, perkara mubah itu mungkin hadir dalam bentuk pergaulan yang melampaui batas, pembaziran makanan, perhiasan dan perbelanjaan yang bermegah-megahan, atau kesibukan sosial yang melalaikan daripada zikir, solat dan nilai-nilai Ramadan yang seharusnya diteruskan.

Hari ini, ada rumah terbuka yang lebih mirip kepada konsert, penuh hiasan mewah, makanan berlebihan dan persembahan hiburan yang melampaui batas menjauhi kesederhanaan yang dianjurkan Islam.

Pergaulan bebas tanpa kawalan antara lelaki dan perempuan, percampuran budaya hiburan keterlaluan dalam rumah terbuka dan perasaan riak dalam menjamu tetamu mungkin bermula daripada niat baik, tetapi apabila berlebihan, ia membuka ruang kepada dosa dan menjauhkan hati daripada sunah.

Hati itu ibarat gelas, apabila dipenuhi dengan perkara yang tidak dituntut, sukar untuk menerima cahaya kebenaran.

Maka, marilah kita meraikan Syawal dengan adab dan batasan. Biarlah rumah terbuka mencerminkan rumah hati yang terbuka kepada nilai Islam: kesederhanaan, kasih sayang, hormat dan kesyukuran. Jangan sampai kegembiraan yang mubah menjadi pintu masuk kepada kelalaian yang menghancurkan.

Syawal bukan hanya tentang menjamu, tetapi juga menyambung roh Ramadan yang mendidik jiwa. Jangan biarkan Syawal menjadi pintu kepada kelalaian setelah kita menutup pintu-pintu dosa sepanjang Ramadan.

Adab pergaulan, berpakaian, menjaga pandangan, beramah-mesra dan ketertiban mesti dijunjung kerana Syawal bukan musim untuk melupakan disiplin Ramadan.

 

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia