Dasar Tarif Presiden Donald Trump Akan Makan Diri

Baru-baru ini Presiden Donald Trump telah mengumumkan kadar tarif atau cukai import ke atas hampir semua negara di dunia.

Malaysia telah dikenakan tarif pada kadar 24 peratus. Tetapi ada negara lain yang menghadapi kadar yang lebih tinggi seperti China (104 peratus), Kemboja (49 peratus), Vietnam (46 peratus).

Cara kadar ditentukan adalah sangat bergantung kepada jumlah defisit perdagangan antara Amerika dan negara terbabit. Jumlah tersebut dibahagikan dengan jumlah eksport dan kemudian dibahagi kepada dua.

Dalam kes China, ia dikenakan kadar yang sangat tinggi kerana tindak balas China mengenakan 34 peratus ke atas import dari Amerika.

Berita terkini menyatakan bahawa Trump telah membuat keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan dasar tarif di atas selama 90 hari, kecuali kepada negara China.

Kemungkinan besar, beliau telah dimaklumkan bahawa pelaksanaan dasar tarif beliau akan membuat keadaan ekonomi Amerika semakin teruk dan ramai rakyat Amerika tidak bersetuju dengan dasar beliau. 

Kita tunggu dan lihat selepas 90 hari nanti sama ada beliau akan teruskan dengan dasar tarif atau akan membatalkannya. Agak mencabar untuk meramalkan tindak-tanduk Trump pada masa akan datang.

Kenapa Trump pilih dasar tarif import

Faktor utama Trump mengenakan tarif ke atas import adalah akibat keyakinan beliau bahawa punca utama masalah ekonomi Amerika adalah kerana import yang terlampau banyak datang dari luar negara yang menimbulkan masalah ekonomi kepada Amerika.

Pada masa ini, ramai rakyat Amerika menghadapi masalah mencari pekerjaan serta kos sara hidup yang tinggi. Ramai tidak mampu memiliki perumahan yang baik. Membeli rumah kini menjadi sesuatu yang mustahil bagi kebanyakan rakyat Amerika kerana harga yang terlalu tinggi.

Malah, kadar sewa juga tidak mampu ditanggung oleh ramai, memaksa mereka tinggal di tempat perlindungan sementara atau bahkan di dalam kereta.

Trump menyalahkan situasi ini kepada beberapa faktor seperti kemasukan pendatang haram dari Mexico dan beberapa negara lain. Namun bagi beliau, faktor yang paling utama ialah import murah dari luar negara (terutama dari China, Kanada dan Mexico).

Di samping itu, Trump sangat tidak bersetuju dengan tindakan syarikat-syarikat Amerika yang membuka kilang di luar negara atau mendapatkan komponen daripada pembekal luar sehingga mengurangkan peluang pekerjaan untuk rakyat Amerika.

Trump berpendapat, jika import ini dapat disekat atau dikurangkan, kebanyakan barangan akan terpaksa dikeluarkan oleh kilang-kilang di Amerika, sekali gus akan membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Amerika. 

Faktor Dolar Amerika sebagai mata wang antarabangsa

Tetapi satu perkara yang gagal disedari oleh Trump ialah salah satu punca utama kenapa defisit perdagangan AS senantiasa tinggi ialah kedudukan dolar AS sebagai mata wang rizab antarabangsa. 

Kerajaan AS, syarikat perniagaan dan individu sebenarnya sudah lama berbelanja dan mengimport barang dari luar negara tanpa perlu risau tentang susut nilai dolar sekali gus mengakibatkan AS senantiasa mengalami defisit perdagangan dengan banyak negara.

Negara lain tidak boleh berbuat demikian kerana defisit perdagangan yang berterusan akan mengakibatkan nilai mata wang mereka akan susut nilai berbanding dolar AS. Ini akan membuat import menjadi terlampau mahal.

Di samping itu, hutang mereka dalam Dolar Amerika akan juga menjadi terlampau mahal. Masalah ini tidak berlaku dalam kes Amerika kerana kedudukan mata wang Dolar sebagai rizab mata wang antarabangsa dan oleh kerana itulah masalah defisit perdagangan Amerika terus berlaku dari tahun ke tahun.

Peningkatan daya saing faktor utama syarikat Amerika banyak mengimport dari luar atau memindahkan operasi ke luar negara

Seperkara lagi, apakah punca sebenar syarikat-syarikat Amerika berpindah ke luar negara atau mengimport bahan pembuatan daripada pembekal dari negara lain termasuk dari China? Sebenarnya mereka tidak melakukan semua ini kerana rasa belas kasihan terhadap pekerja asing atau ingin meningkatkan kebajikan mereka. 

Sebaliknya, sebab utama adalah untuk mengurangkan kos operasi dan meningkatkan daya saing syarikat.

Trump gagal menyedari bahawa keadaan persaingan yang sangat sengit wujud dalam banyak sektor pembuatan pada masa ini, dan ini disebabkan oleh beberapa faktor. 

Banyak firma pembuatan kini merupakan syarikat gergasi yang menghasilkan produk secara besar-besaran. Syarikat-syarikat ini mampu menjadi gergasi kerana wujudnya industri perbankan (riba) yang memberikan pinjaman besar-besaran kepada mereka dengan mencipta wang daripada tiada menjadi ada. 

Oleh kerana mata wang di seluruh dunia sekarang ini, termasuk Dolar Amerika, bukan lagi sepenuhnya berbentuk fizikal, maka adalah mudah untuk sektor perbankan memberi pinjaman berjumlah besar untuk memungkinkan wujud sektor pembuatan berskala besar.

Firma gergasi antarabangsa dibebani hutang

Akibatnya banyak syarikat antarabangsa gergasi dalam sektor pembuatan, yang berasal bukan sahaja dari Amerika, bahkan juga dari Eropah dan Asia. Namun sudah tentu mereka juga dibebani dengan hutang yang sangat besar seperti berikut:

Firma Global dan Jumlah Hutang Mereka pada Tahun 2024:

HP: USD10.921 bilion

NVIDIA: USD11.056 bilion

Tesla: USD13.62 bilion

Dell Technologies: USD24.57 bilion

Hyundai Motor: USD100 bilion

Apple: USD119.1 bilion

General Motors: USD130.69 bilion

Ford Motor Company: USD158.5 bilion

Toyota Motor: USD241.82 bilion

Dana hutang yang diperolehi daripada industri perbankan ini membolehkan firma perniagaan antarabangsa ini berkembang dengan pantas, melakukan  proses inovasi untuk menghasilkan produk inovatif. Trend ini akan berterusan selagi industri perbankan wujud dan berkembang. 

Syarikat-syarikat yang ingin kekal kompetitif akan terpaksa meminjam lebih banyak dana. Pada masa yang sama, tekanan persaingan yang sengit antara mereka memaksa mereka mencari kaedah untuk mengurangkan kos operasi.

Strategi pengurangan kos – Lokasi di luar Amerika

Salah satu strategi utama untuk mengurangkan kos adalah mencari lokasi pengeluaran di negara-negara yang menawarkan pekerja berkemahiran tinggi yang sanggup bekerja dengan gaji dan faedah yang lebih rendah.

Trend ini sebenarnya telah berlaku sejak tahun 1970-an terutama dalam sektor elekrik, elektronik, automotif dan lain-lain, terutama sekali apabila produk yang terbabit mencecah tahap kematangan dalam kitaran hayat produk mereka.

Pada peringkat ini, teknologi yang terlibat sudah matang, sekali gus membolehkan lebih banyak pemain memasuki industri tersebut dan meningkatkan lagi tahap persaingan.

Itulah sebab utama mengapa banyak syarikat elektrik dan elektronik Amerika, Eropah, Jepun dan Korea seperti Intel, Motorola, Texas Instruments, Matsushita, Samsung datang ke Malaysia dan negara-negara lain di rantau ini pada tahun 1970-an untuk menubuhkan kilang pembuatan. Kos buruh di rantau ini jauh lebih rendah berbanding kos buruh di Amerika dan Eropah. 

Akhir-akhir ini, lokasi lain seperti Indonesia, Kemboja, China, Taiwan, India dan Vietnam juga menjadi menarik bagi firma-firma ini, yang kemudiannya mengeksport produk kembali ke Amerika.

China kini menjadi lokasi utama bagi pembuatan komputer Apple, dengan syarikat-syarikat yang menjadi pembekalnya dari Taiwan seperti Foxconn, Pegatron, Wistron, dan Compal Electronics memainkan peranan penting.

Cip Blackwell Nvidia, yang dilancarkan pada Mac, dihasilkan di kemudahan TSMC di Taiwan. General Motors (GM) mendapatkan bahagian dari pelbagai negara, dengan Korea Selatan, China, dan Mexico antara pembekal utamanya.

Off-Shoring

Istilah yang digunakan untuk strategi ini ialah ‘off-shoring’, dan ia diamalkan oleh semua firma global utama untuk kekal kompetitif dengan sedikit variasi.

Sesetengah syarikat akan mensubkontrakkan pembuatan sebahagian produk mereka di luar negara dan mengeksportnya kembali ke Amerika untuk pemasangan akhir. 

Sebagai contoh, syarikat automotif Amerika seperti GM dan Ford mendapatkan banyak produk mereka daripada pembekal luar negara.

Dengan melaksanakan strategi ini, produk boleh dijual kepada pengguna Amerika pada harga yang lebih rendah dan membolehkan mereka bersaing dengan pesaing dari Eropah dan tempat lain.

Dengan kata lain, ‘off-shoring’ adalah usaha yang terpaksa dilakukan oleh syarikat pengeluar Amerika untuk kekal kompetitif dalam dunia persaingan sengit yang disebabkan oleh ketersediaan mudah wang pinjaman daripada industri perbankan dan kewangan.

Usaha Trump untuk memaksa syarikat Amerika memindahkan semula aktiviti pembuatan mereka ke Amerika tidak akan mudah kerana ini akan mengurangkan daya saing mereka.

Kesan negatif tarif

Jika tarif tinggi dikenakan ke atas import untuk melindungi pengeluar Amerika, harga produk mereka akan menjadi mahal dan syarikat di Amerika serta pengguna di Amerika akan menghadapi peningkatan kos yang sangat ketara dan akan menjejaskan ekonomi Amerika. 

Di samping itu, tindak balas negara Eropah, China, Kanada mengenakan tarif yang tinggi ke atas eksport Amerika akan menjejaskan daya saing syarikat-syarikat Amerika dan mungkin akan menyebabkan mereka terpaksa membuang pekerja. Ini berpotensi memberikan kesan yang sangat negatif kepada ekonomi Amerika. 

Kesimpulan

Kesimpulannya, Trump gagal memahami beberapa daya asas utama yang sedang beroperasi yang menyebabkan penutupan banyak kilang pembuatan di Amerika dan mewujudkan masalah pengangguran yang serius di sana. Yang paling penting antara daya ini adalah industri kewangan Amerika yang mengakibatkan kos operasi sektor pembuatan menjadi mahal di Amerika.

Di samping itu, industri kewangan global, yang bertindak sebagai steroid kewangan, menyebabkan situasi persaingan yang terlampau sengit di dalam semua industri.

Dasar Trump untuk mengenakan tarif bukan sahaja tidak akan membantu menyelesaikan masalah, bahkan  akan menimbulkan lebih banyak masalah untuk pengeluar dan pengguna Amerika. 

Beliau perlu memahami bahawa selagi industri perbankan dan kewangan terus berkembang, bukan sahaja Amerika yang menghadapi masalah ekonomi, bahkan juga negara-negara lain di dunia, terutama sekali yang paling terjebak dengan sistem perbankan riba.

 

Profesor Emeritus Dr. Mohd Nazari Ismail
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi
Universiti Malaya
9 April 2025

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia